31 Mac 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah melakukan tinjauan operasi Op Pasir Utara Sektor Bravo Siri 1/2023 ke beberapa buah pos keselamatan negara di sekitar perairan Pantai Timur Sabah, hari ini.

Menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, lawatan tinjauan tersebut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Raja Muda Pelis berkenan melakukan tinjauan operasi Op Pasir Utara Sektor Bravo Siri 1/2023 di Pulau Berhala dan Pulau Bakungan Kecil, Sabah, hari ini.
Lawatan itu dikenali sebagai Eksesais PERBAH.

Lawatan itu dikenali sebagai Eksesais PERBAH, yakni satu siri eksesais yang dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dan merupakan singkatan kepada perkataan Negeri Perlis dan Sabah.

Keberangkatan baginda ke Pulau Berhala dan Pulau Bakungan Kecil disambut oleh Pegawai Memerintah 23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), iaitu Leftenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah di Pulau Berhala dan Ketua Penempatan Pos Pulau Bakungan Kecil oleh Kapten Muhd Farith Ibrahim.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Panglima 5 Divisyen TDM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee Shoib, Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Johari Ismail dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin.

Sementara itu, baginda dan delegasi turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), iaitu elemen tempur Polis DiRaja Malaysia di Pulau Libaran dan Pulau Pamaguan.

Ketika di Markas Operasi Pulau Berhala, baginda yang merupakan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada rakan strategik yayasan berkenaan dalam kalangan peserta.

Antara yang disumbangkan, termasuklah satu unit televisyen 55 inci daripada Yayasan Kebajikan Perlis oleh Affendi Rajini Khan dan satu unit televisyen 45 inci, iaitu sumbangan peribadi Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad; beg sekolah bagi kanak-kanak tadika daripada SWCorp oleh Shamsuharizal Basir; serta RM2000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah di keempat-empat buah pulau yang dikunjungi tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.