31 Disember 2022, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis mengiringi Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, yang bersantap malam di ibu negara, malam semalam.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan selamat menyambut tahun baharu 2023 kepada seluruh rakyat Perlis.

Baginda bertitah sedemikian selepas berangkat mengiringi Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, yang bersantap malam di ibu negara, pada malam semalam.

Menerusi titah tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin dan isteri berkeyakinan bahawa seluruh warga Perlis akan melipatgandakan usaha dalam memberikan fokus terhebat terhadap segala perancangan untuk tahun 2023.

Pada masa yang sama, baginda mengingatkan rakyat Perlis agar segala iktibar dan pedoman daripada gerak kerja dan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab pada sepanjang tahun 2022 diambil sebagai pengajaran demi memastikan segala perancangan yang disusun mempunyai nilai tambah, berkesan dan ditambah baik dengan lebih jitu dan pantas.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis yang baru menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-55 pada 30 Disember 2022 turut menitahkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah mendoakan kesejahteraan buat baginda seisi kerabat dan juga kepada mereka yang telah mempersembahkan ucapan melalui pelbagai medium termasuklah kad, surat, WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak sempat baginda jawab satu per satu.

Yang turut sama berangkat ialah anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.