30 Mac 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sandakan – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada rakan strategik Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Antara sumbangan diterima termasuklah sebuah televisyen pintar (Smart TV) 60 inci daripada Profound Radiance Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Datuk Azlan Shah Jaffril; wang tunai RM2000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pemerkasaan aktiviti keagamaan; dan komputer riba daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada dua orang penuntut UMS yang terpilih.

Penyerahan sumbangan tersebut dibuat semasa Tuanku Raja Muda merasmikan Perpustakaan Fakulti Pertanian Lestari UMS di Kampus Sandakan pada 27 Mac 2023 yang lalu.

Titah Baginda, UMS ditubuhkan hasil inspirasi pemimpin terdahulu dan merupakan impian rakyat negeri Sabah yang mencerminkan keinginan yang tinggi untuk memacu kecemerlangan ilmu serta merubah kehidupan rakyat.

Keberangkatan Baginda adalah bersempena dengan Program Titian Kasih 2023 yang dianjurkan oleh UMS dengan kerjasama YTSP.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UMS dengan UniMAP bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang pertanian dan agroteknologi lestari.

Surat Hasrat ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor (kiri) dan Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli (kanan) sambil disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah).

Berpaksikan moto “Bertekad Cemerlang” dan menerusi slogan “Leading Towards Innovative Societies”, UMS mewujudkan makmal hidup atau living lab yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran yang memanfaatkan para penyelidik, penuntut universiti dan juga komuniti.

Berikutan beberapa kejadian bencana seperti kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Sabah, Baginda turut menyokong usaha UMS yang membangunkan sebuah kompleks simulasi bencana sebagai Pusat Latihan Perubatan Bencana.

Contoh makmal hidup yang sudah dibangunkan oleh UMS dengan kerjasama Universiti Nagasaki ialah Rural Medicine Research Lab di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (RMEC), Kudat yang memberikan tumpuan kepada bidang sains kritikal seperti pengurusan bencana dan sains kesihatan luar bandar seperti penyakit tropika.

UMS juga telah bekerjasama dengan pelbagai pihak industri untuk membangunkan projek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang pertanian tanah tinggi di Mesilou, Kundasang.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan menanam sepohon pokok kelapa pandan sebagai simbolik peringatan sempena lawatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.