Oleh Syaza Wardina
29 Oktober 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya ‒ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November 2021 jika telah mencapai kadar vaksinasi lengkap sebanyak 90 peratus atau lebih.

Menurut KPM, keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

Dalam satu kenyataan media pada hari ini, KPM menjelaskan, “Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran pada 8 November ini melibatkan kedua-dua kumpulan negeri, iaitu Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) memandangkan 7 November 2021 merupakan cuti tambahan bersempena dengan perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.”

Tambah KPM, “Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.”

Dalam pada itu, KPM turut menjelaskan, “Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasian kekal secara penggiliran. Walau bagaimanapun, murid prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.”

“KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa. KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu,” tambah KPM.

Dalam kenyataan media tersebut, KPM turut menjelaskan institusi pendidikan bawah KPM yang dinyatakan turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.