12 September 2021, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keselamatan murid merupakan aspek utama yang dititikberatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa memutuskan pembukaan sesi pengoperasian sekolah mengikut fasa negeri masing-masing bermula 3 Oktober 2021 akan datang.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media yang berlangsung kira-kira satu jam pada petang tadi menyatakan bahawa pihak KPM sentiasa mengutamakan keselamatan murid dan mengambil kira kebimbangan ibu bapa jika berlaku kes COVID-19 semasa pengoperasian sekolah.

KPM telah berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan panjang lebarnya. Maka itu, KKM telah menetapkan bahawa jika terdapat kes positif COVID-19 di sekolah, pihak sekolah akan memaklumkan hal itu kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan melaporkannya dalam sistem aplikasi data COVID-19 yang dibangunkan oleh pihak kementerian.

Seterusnya, PKD akan membuat penilaian risiko bagi menentukan tindakan yang akan diambil. Kami ingin memohon jasa baik ibu bapa untuk memahami bahawa dalam konteks ini, KPM akan bekerjasama dengan PKD dan melaksanakan apa-apa sahaja nasihat yang diberikan oleh PKD serta memaklumkannya kepada ibu bapa.

Pengoperasian sekolah perlu dilaksanakan untuk memastikan anak-anak tidak terus berjauhan daripada sistem pendidikan. Bukan sahaja Malaysia, negara lain seperti Filipina dan India juga turut mencari inisiatif bagi melaksanakan persekolahan secara bersemuka untuk mengelakkan keciciran murid dalam pelajaran walaupun penularan pandemik COVID-19 dalam negara tersebut masih belum reda.

Oleh hal yang demikian, bagi memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan secara penggiliran mengikut jadual yang ditetapkan oleh KPM mulai 3 Oktober 2021 berjalan dengan lancarnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mempersiapkan aspek keselamatan anak-anak sebelum ke sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa perlu prihatin akan pemilihan pemandu bas yang akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya pemandu yang dipilih oleh mereka tidak berada dalam senarai yang diberikan oleh pihak KPM. Pemandu tersebut sewajarnya telah dipastikan menjalani dua dos vaksinasi demi keselamatan anak-anak.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, bagi membantu ibu bapa menguruskan pengangkutan anak-anak ke sekolah, pihak KPM telah mendapatkan senarai pengusaha bas sekolah daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia dan menggunakan senarai itu untuk berbincang dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) supaya pemandu bas sekolah dalam senarai KPM divaksinkan.

Dalam soal pemakaian anak-anak ke sekolah pula, ibu bapa perlu memastikan anak-anak memakai pelitup muka. Pemakaian pelitup muka berganda adalah sangat digalakkan.

Tambah YB Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, sebagai langkah mengurangkan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan, KPM turut memberikan kelonggaran kepada murid memakai pakaian yang sesuai, kemas serta sopan jika pakaian seragam sekolah yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

Bagi kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan yang dibenarkan bagi aktiviti sukan, murid disarankan untuk memakai pakaian sukan dari rumah bagi mengelakkan kesesakan di tandas atau di bilik persalinan di sekolah, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 antara mereka.

Di samping itu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan bahawa KPM juga tidak memaksa ibu bapa yang berasa ragu-ragu tentang tahap keselamatan anak mereka daripada dijangkiti COVID-19 apabila anak mereka hadir ke sekolah. Pihak sekolah tidak akan mengeluarkan surat amaran atau mengenakan sebarang tindakan disiplin ke atas murid sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Ketidakhadiran murid ke sekolah tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu menulis surat untuk menjelaskan sebab-sebab ketidakhadiran sebagai rekod kepada pihak sekolah. Kelonggaran ini terpakai bagi sesi pengoperasian sekolah hingga hujung tahun ini.

Kesimpulannya, KPM cuba untuk membawa dan mendekatkan anak-anak kembali ke sekolah dan pada masa yang sama akan sentiasa mengutamakan keselamatan mereka, dan mengambil kira tahap kebimbangan ibu bapa dalam konteks menghantar anak-anak ke sekolah. Sememangnya KPM sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.