Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi ‒ Timbalan Menteri Pendidikan 2, YB Datuk Mohamad Alamin berkata, pihak sekolah pada hakikatnya sudah bersedia untuk menerima murid bagi menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, pada pagi ini.
Menurut YB Datuk Mohamad, tujuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat lawatan ke SK Seksyen 7 adalah bagi meninjau dan memantau persediaan sekolah untuk beroperasi semula seperti sediakala.
“Hari ini merupakan hari pertama sekolah dibuka untuk murid prasekolah di Lembah Klang. Kami dapati pihak sekolah sememangnya sudah bersedia untuk menerima kehadiran murid,” ujarnya.
Hasil lawatan pada hari ini, saya amat berpuas hati.
YB Datuk Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, “ibu bapa perlu yakin dengan usaha KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah sendiri, kerana kami sentiasa mengambil kira aspek keselamatan anak di sekolah.”
Tambah beliau, “bermacam-macam persiapan telah dilakukan oleh KPM untuk membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka. Kami akan pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) diikuti sepanjang tempoh keberadaan murid dan guru di sekolah, juga dari aspek keselamatan dan kesihatan yang sentiasa menjadi keutamaan KPM.”
Pada sesi lawatan tersebut, YB Datuk Mohamad turut menyeru ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah bagi menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dengan guru. Katanya, “saya dapati anak-anak sangat gembira dan ghairah untuk hadir ke sekolah. Oleh itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar tidak berasa risau dan khuatir, hantarlah anak-anak untuk bersekolah seperti biasa.”
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan murid.
Vaksinasi dalam kalangan murid sangat menggalakkan dan mereka sedar akan kepentingan mengambil vaksin.
“Hingga 17 Oktober 2021, sebanyak 86.9 peratus murid yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19. Yang pastinya, jumlah ini akan terus meningkat dari hari ke hari. Kami dapati murid bersedia menerima vaksin demi menjaga kesihatan dan keselamatan terutamanya untuk menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka,” katanya.