Oleh Hamidah Zabidi
17 September 2021, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam usaha untuk memperlahankan penyebaran COVID-19, banyak negara telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Biarpun ada pendapat yang bertentangan mengenai apakah pelitup muka mampu mencegah penyakit ini daripada menular dari satu orang ke orang yang lain, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan pelitup muka perubatan untuk pesakit, mereka yang mempunyai gejala COVID-19, pekerja kesihatan, orang yang merawat kes yang disyaki atau disahkan, mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai isu kesihatan seperti menghidap penyakit diabetes, penyakit jantung, kanser, obesiti dan penyakit buah pinggang. WHO juga mengesyorkan pelitup muka jenis kain untuk masyarakat umum sekiranya terdapat risiko penyebaran dalam komuniti secara meluas dan sukar untuk melakukan penjarakan fizikal.

Pelitup muka hanya berkesan apabila digunakan bersama pembersihan tangan yang kerap dengan menggosok tangan menggunakan pensanitasi berasaskan alkohol atau sabun dan air.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) oleh penyelidik Universiti Austin, Texas pada Januari lalu mendapati bahawa pelitup muka adalah 79 peratus berkesan untuk mencegah penularan virus jika digunakan sebelum timbulnya gejala. Kajian ini tidak melihat risiko relatif pelbagai jenis pelitup.

Pemakaian pelitup muka awam paling berkesan untuk mengurangkan penyebaran virus apabila kadar kepatuhannya tinggi. Memandangkan kekurangan pelitup perubatan semasa, pihak penyelidik mengesyorkan penggunaan pelitup muka kain, sebagai bentuk kawalan sumber yang berkesan, bersama dengan strategi kebersihan, penjarakan sosial dan pengesanan kontak rapat yang ada.

Bagaimanapun, negara seperti United Kingdom dan Singapura bertindak sebaliknya. Kedua-dua belah negara meminta rakyatnya agar tidak memakai pelitup untuk memastikan bekalan dan peralatan perlindungan diri (PPE) mencukupi untuk pekerja kesihatan.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) tidak secara khusus menganjurkan penggunaan pelitup muka pembedahan tetapi menasihatkan penggunaan penutup muka kain sederhana yang diperbuat daripada kain kapas biasa untuk memperlahankan penyebaran virus dan mencegah mereka yang asimtomatik daripada menyebarkannya kepada orang lain.

Di negara Asia seperti China, Taiwan atau Hong Kong, pelitup muka agak lazim bahkan sebelum kemunculan COVID-19, mereka telah biasa memakai pelitup muka sama ada disebabkan oleh pencemaran atau pengalaman sebelumnya dengan wabak SARS dan H1N1. Di negara ini, pelitup muka diwajibkan di tempat awam lebih setahun lalu, iaitu bermula pada 1 Ogos 2020. Hingga Julai 2020, lebih 120 negara telah mewajibkan pemakaian pelitup muka dengan Venezuela muncul sebagai negara pertama bermula bulan Mac tahun lalu. Namun begitu, hingga Mei tahun ini, Israel, New Zealand, Bhutan, Hawaii, Amerika Syarikat dan China tidak lagi mengarahkan rakyatnya memakai pelitup muka di luar rumah kerana jumlah kes COVID-19 menurun dan lebih ramai yang telah mendapat vaksin.

Walau bagaimanapun, pelitup muka diperlukan apabila berada dalam persekitaran tertutup seperti pusat penjagaan kesihatan atau perniagaan serta di dalam kapal terbang, bas, kereta api dan pengangkutan awam yang lain. Jadi, dijangkakan kita akan terus memakai pelitup muka di pusat beli-belah, salun pendandan rambut dan ke sekolah untuk tempoh dua tahun ke depan atau lebih. Oleh itu, timbul banyak persoalan mengenai bagaimana pelitup muka disesuaikan dengan kehidupan kita yang sibuk.

Memandangkan COVID-19 telah pun bertapak selama hampir dua tahun, sebilangan besar daripada kita mempunyai asasnya, seperti jenis pelitup muka, cara menyimpan dengan selamat dan menanggalkannya, persoalan mengenai bahan terbaik sama ada anda perlu menggunakan pelindung muka, dan cara bersin atau batuk sewaktu memakai pelitup muka telah pun diketahui jawapannya.

Memang benar, pelitup muka tidak pernah diterima secara universal sebelum ini berbanding sekarang. Namun begitu, hal itu tidak menjadikannya lebih mudah dipakai terutama ketika cuaca panas, bau nafas sewaktu berpelitup muka, kulit merengsa jika dipakai dalam tempoh yang lama setiap hari, senyuman yang tersembunyi, alat pendengaran tertarik keluar dan cermin mata yang berkabus akibat nafas yang dihela dari dalam pelitup muka.

Letak di Bawah Dagu

Perkara yang akan dibincangkan ini merupakan antara penyelesaian pakar bagi keluhan yang paling sering dialami masyarakat ketika memakai pelitup muka. Misalnya, adakah selamat untuk menarik pelitup dan meletakkannya di bawah dagu?

Anda mungkin pernah melihat banyak orang melakukan perkara ini ketika mereka bergerak berulang alik antara ruang dalaman di mana-mana pelitup biasanya diperlukan dan di luar tempat yang tidak memerlukannya. Adakah amalan ini selamat?

“Tidak, itu mungkin perkara terburuk yang boleh anda lakukan dengan pelitup muka,” kata Profesor Dr. Zain Chagla, Pakar Penyakit Berjangkit di Universiti McMaster di Hamilton sewaktu wawancara dengan CBC News. Hal ini dikatakan demikian kerana pelakunya berisiko mendapat titisan atau kuman di bahagian luar pelitup ke dagu dan bibir bawah.

Tentu saja, menarik pelitup ke bawah dagu sering melibatkan sentuhan pada bahagian depannya dan amalan ini tidak digalakkan kerana boleh mencemarkan tangan anda. Ingat, anda hanya boleh memegang pelitup pada gelung telinga dan mencuci tangan anda sebelum dan selepas memegang pelitup. Virus yang menyebabkan COVID-19 dianggap menular ketika titisan berjangkit masuk melalui mata, hidung atau mulut.

Penyimpanan Pelitup Muka

Amalan kedua yang paling kerap dilakukan adalah menggantung pelitup pada cermin pandang belakang sewaktu berada di dalam kenderaan.

Anand Kumar, Profesor Perubatan di Universiti Manitoba mengatakan, amalan tersebut bergantung pada tahap risiko yang dihadapinya. “Sebagai doktor, memandangkan saya mendapat pendedahan di hospital, saya mungkin tidak akan melakukannya,” katanya. Dr. Lynora Saxinger, Profesor Bersekutu di Bahagian Penyakit Berjangkit di Universiti Alberta di Edmonton, juga pernah mengesyorkan untuk tidak mengamalkannya.

Akan tetapi, menurut Dr. Kumar, jika anda memakai pelitup di persekitaran berisiko rendah, tidak salah membiarkannya tergantung di cermin semalaman untuk dipakai pada keesokan harinya. Sebaiknya anda menukar dan mencuci pelitup muka selepas setiap penggunaan.

Melihat kepada keadaan ini, apakah kaedah terbaik untuk menyimpan pelitup muka semasa dalam perjalanan? Anda disyorkan menyimpan pelitup muka anda di dalam beg kertas, sampul surat, atau sesuatu yang tidak dapat mengekalkan kelembapan jika anda akan memakainya lagi.

Dr. Kumar menyatakan, beg plastik tidak digalakkan kerana menyimpan kelembapan, yang memungkinkan bakteria tumbuh pada pelitup muka. Namun begitu, beliau mengakui langkah ini agak janggal, tetapi di kawasan berisiko rendah, maka tiada masalah untuk meletakkan pelitup di dalam poket anda. Sebaliknya, Dr. Kumar mengatakan, dalam lingkungan berisiko tinggi seperti komuniti dengan wabak, lebih baik sentiasa memakai pelitup muka walaupun ketika berada di luar bangunan. “Sekiranya anda memakai pelitup dan kemudian menanggalkannya, tindakan ini mendedahkan anda kepada risiko mencemarkan diri dengannya,” katanya.

Menggunakan Semula Pelitup Muka Pakai Buang

Bolehkah anda menggunakan semula pelitup muka pakai buang? Kalau boleh, berapa kali dibenarkan?

Walaupun pelitup muka kain boleh dicuci dan digunakan kembali, kebanyakan pelitup muka perubatan secara rasmi dirancang untuk satu kali penggunaan terutamanya di persekitaran yang berisiko tinggi.

Akan tetapi, Dr. Kumar mengatakan bahawa anda boleh menggunakannya semula, terutama jika anda baru keluar dan sekeliling anda kawasan yang kadar jangkitannya rendah. Antara cara menggunakannya adalah dengan meninggalkan pelitup di dalam beg kertas sekurang-kurangnya tiga hari. Selama masa itu, sebarang virus pada pelitup secara beransur-ansur akan berkurang. Dia mengatakan bahawa wajar sekali mempunyai lima hingga tujuh pelitup muka yang dikitar untuk digunakan pada hari-hari berikutnya.

Pun begitu, berapa kali kita boleh menggunakan semula pelitup muka? Menurut beliau lagi, pelitup jenis ini boleh digunakan semula sehingga kotor, usang atau rosak. Akan tetapi, sudah pasti, anda tidak mahu menggunakan pelitup yang kotor,” katanya. Topeng muka kain yang boleh digunakan semula biasanya disyorkan untuk mengekalkan bekalan pelitup perubatan sekali pakai untuk pekerja penting yang memerlukannya.

Memandangkan pelitup muka datang dalam pelbagai gaya dan harga, jenis manakah yang harus kita cari? Dr. Kumar mencadangkan pelitup muka dengan pelbagai lapisan kerana lapisan tambahan meningkatkan kadar perlindungan. Dalam pada itu, WHO mengesyorkan pelitup muka tiga lapisan. Dalam pemilihan pelitup muka, bentuknya tidak menjadi masalah, hanya perlu saiz yang bersesuaian kerana pemakaian yang lebih ketat memaksa udara melalui pelitup dan bukan di sekelilingnya.

Dari segi bahan, Dr. Kumar mengesyorkan penggunaan kain kapas kerana virus tetap dapat dikesan pada beberapa bahan sintetik untuk jangka masa yang lebih lama. WHO pula mengesyorkan kain kapas atau bahan penyerap air lain untuk lapisan dalam, tetapi mengesyorkan bahan kalis air sintetik untuk lapisan luar.

Pencemaran Lautan

Dianggarkan di peringkat global, 65 bilion sarung tangan digunakan setiap bulan. Jumlah pelitup muka hampir dua kali ganda ‒ 129 bilion sebulan dan diterjemahkan menjadi 3.0 juta pelitup muka yang digunakan setiap minit.

Kajian berasingan melaporkan bahawa 3.4 bilion pelitup muka atau pelindung muka dibuang setiap hari. Negara Asia pula diramalkan membuang 1.8 bilion pelitup muka setiap hari ‒ jumlah tertinggi di mana-mana benua di seluruh dunia. China, dengan jumlah penduduk terbesar di dunia (1.4 bilion) membuang hampir 702 juta pelitup muka setiap hari. Boleh dikatakan kesemua pelitup muka tersebut sekali pakai kerana harganya cukup murah untuk digunakan sekali dan kemudian dibuang.

Permasalahannya, peralatan penjagaan kesihatan ini tidak akan hilang apabila dibuang. Pelitup muka, sarung tangan dan tisu dibuat daripada pelbagai serat plastik, terutamanya polipropilena yang kekal dalam persekitaran selama beberapa dekad, mungkin berabad-abad, terurai menjadi mikroplastik dan nanoplastik yang lebih kecil dan lebih kecil.

Satu pelitup muka boleh melepaskan sebanyak 173 ribu mikrofiber setiap hari ke laut, berdasarkan kajian Environmental Advances. Pelitup muka dan sarung tangan yang masuk ke dalam sungai kemudiannya akan masuk ke dalam laut. Para saintis telah mencatat kehadiran barangan ini di pantai Amerika Selatan, saluran sungai di Teluk Jakarta, Bangladesh, pantai Kenya dan di Kepulauan Soko yang tidak berpenghuni di Hong Kong. PPE yang dibuang telah menyumbat saluran air dari New York City ke Nairobi dan telah menghalang mesin dalam sistem kumbahan perbandaran di Vancouver, British Columbia.

Perkara tersebut juga mempengaruhi haiwan. Burung Coot yang inovatif, berwajah putih setinggi kaki, telah diperhatikan di Belanda sambil membawa pelitup muka untuk membina sarang — dengan anggapan kakinya yang besar tidak terjerat dalam gelung pelitup muka. Perkara ini dikesan pernah mengakibatkan kejadian yang membunuh angsa, burung camar, helang peregrine dan burung penyanyi, berdasarkan kajian dalam Biologi Haiwan.

Pelitup muka, sarung tangan dan tisu tidak boleh dikitar semula di kebanyakan sistem perbandaran dan tidak boleh dimasukkan ke dalam tong sampah kitar semula isi rumah. Topeng muka mengandungi campuran kertas dan polimer, termasuk polipropilena dan polister, yang tidak dapat dipisahkan menjadi aliran tulen dari bahan tunggal untuk dikitar semula. Mereka juga sangat kecil sehingga terperangkap dalam mesin kitar semula dan menyebabkan kerosakan.

“Oleh sebab itu, sangat penting untuk belajar bagaimana membuang pelitup muka dengan betul bagi memastikan peralatan ini tidak berakhir di lautan, tasik dan sungai,” kata Erin Simon, Ketua Sampah Plastik dan Perniagaan di World Wildlife Fund (WWF).

“Cabarannya, masyarakat umum menggunakannya dan tidak membuangnya dengan betul. Dalam hal ini, pilihan yang tepat adalah penyediaan tempat pembuangan sampah perubatan seperti ini,” kata Simon.

Peralatan pelindung diri diperbuat daripada plastik dan tidak boleh dikitar semula dan sekarang ditemui di mana-mana di muka bumi, termasuk lautan. Sejak itu, para saintis telah mengumpulkan lebih daripada 40 kajian yang mendokumentasikan penggunaan dan pelupusan PPE dan memodelkan penampilannya dalam skala global.

Risiko Jika Tidak Dibuang dengan Betul

Ketika dunia sedang berjuang menentang wabak COVID-19, satu trend mengganggu yang muncul adalah insiden di mana pelitup muka dilupuskan tanpa berfikir terlebih dulu.

Pada hari ini, kita melihat pelitup muka yang terpakai tidak dibuang di dalam tong sampah sebaliknya dicampak di tepi jalan, di dalam lif, tersangkut di troli beli-belah dan kawasan awam lain. Topeng muka terpakai yang terdapat di persekitaran menimbulkan risiko kesihatan awam. Dr. Wong Chen Seong, perunding di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit, Singapura mengatakan bahawa pelitup muka yang dibuang secara tidak betul, terutama yang kotor atau mempunyai sejumlah besar rembesan pernafasan yang berisiko membahayakan kesihatan jika orang lain menyentuhnya.

“Virus merebak melalui kontak, iaitu jika orang lain secara tidak sengaja menyentuh pelitup muka yang kotor, dan kemudian menyentuh pula wajah mereka sendiri,” kata Dr. Wong.

Turut bersetuju dengan pendapat tersebut ialah Dr. Leong Hoe Nam, Pakar Penyakit Berjangkit di Pusat Pakar Gunung Elizabeth Novena. Beliau menyatakan bahawa pelitup yang terdedah membawa risiko dengan menyebarkan virus ke udara.

“Jika terkena tempat terbuka, dengan angin kencang, ada risiko kecil aerosolis,” katanya. Aerosolisation merujuk kepada proses apabila bahan seperti ludah atau lendir seseorang tersebar dan disebarkan melalui udara. “Bagaimanapun, (membuang pelitup muka dalam bekas yang tidak betul) menjijikkan dan tidak sihat,” tambahnya. Menurutnya lagi dengan iklim panas dan lembap di Singapura, virus itu kemungkinan dapat bertahan berjam-jam di permukaan yang terdedah serta berupaya hidup antara dua hingga tiga hari.

Dr. Leong menambah, kuman yang berbeza dapat bertahan pada pelitup muka yang digunakan untuk jangka masa yang berbeza. Sebagai contoh, bakteria boleh hidup selama berbulan-bulan hingga bertahun-tahun jika disimpan di tempat yang sejuk, katanya.

Lipat, Ikat dan Bungkus

Dr. Leong memperincikan beberapa langkah yang harus diambil sekiranya anda ingin membuang pelitup muka. Beliau menjelaskan bahawa kita harus selalu mencuci tangan sebelum menanggalkan pelitup muka kerana menyentuh wajah dengan tangan yang tidak dicuci akan mendedahkan diri untuk lebih mudah diserang penyakit.

Kita harus menanggalkan pelitup muka dan melipatnya separuh ke dalam, supaya titisan dari mulut dan hidung tidak terkena. Kemudian, lipat pelitup menjadi separuh lagi, dan kemudian separuh lagi, sehingga pelitup muka kelihatan seperti bergulung. Topeng juga boleh dibalut dengan gelung telinga sehingga tidak terurai.

Kemudian, pelitup muka itu perlu dibungkus dengan sehelai tisu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. Profesor Madya Alex Cook, Wakil Dekan Penyelidikan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura mengatakan bahawa mangsa yang dijangkiti virus harus lebih berhati-hati semasa membuang pelitup muka.

“Jika anda dijangkiti virus dan memakai pelitup muka untuk mencegah penularan, semestinya anda boleh membuangnya di tempat sampah biasa,” kata Dr. Cook. Tambah beliau, “ … menjadi idea yang baik untuk memasukkannya ke dalam beg plastik atau kertas dan membuangnya segera ke dalam tong sampah daripada membiarkannya terdedah.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.