Oleh Naimah Yusof
28 Jun 2021, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penularan pandemik COVID-19 yang masih lagi tidak menunjukkan penurunan kes yang ketara cukup memberikan kesan kepada masyarakat terutamanya kumpulan B40. Menyedari keperitan yang dialami oleh masyarakat, Pergerakan Pemuda Malaysia (Cawangan Jalan Raja Chulan) atau lebih dikenali sebagai YMM Raja Chulan (YMMRC) yang juga merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah merancang satu program yang sewajarnya dengan tujuan untuk membantu golongan yang terkesan dengan pandemik ini terutama golongan dalam kategori kemiskinan mutlak (absolute poverty) dan juga kemiskinan relatif (relative poverty).

Bak kata pepatah, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, pada 26 Jun 2021 yang lalu, YMMRC yang turut bernaung di bawah Pertubuhan Belia Malaysia sejak 12 tahun yang lalu, telah bersepakat antara ahlinya untuk turun padang bersama-sama melaksanakan pelan bantuan dengan mengedarkan sebanyak 200 pek makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Jalan Pudu dan Pasar Seni.

Tidak hanya terhad kepada pengedaran makanan, YMMRC juga membuat agihan barangan keperluan harian seperti beras, bawang, minyak masak dan keperluan lain kepada penduduk pangsapuri kos rendah di kawasan sekitar Kajang, Selangor. Sumbangan makanan dan barangan keperluan harian ini merupakan dermaan atau sumbangan daripada orang awam. Sebanyak 80 buah keluarga berpeluang menerima sumbangan tersebut.

Walaupun program ini diatur secara fizikal, namun ahli YMMRC sangat menitikberatkan Prosedur Operasi Standard (SOP). Sepanjang proses pengagihan barangan dan makanan, ahli YMMRC yang terlibat sentiasa mematuhi SOP dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE), memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Pelaksanaan pelan bantuan ini telah berlangsung selama seharian dari pukul 10.00 pagi hingga 5.30 petang. Sungguhpun begitu, ahli YMMRC berasa gembira dan teruja kerana usaha mereka sedikit sebanyak dapat membantu menyediakan keperluan asas bagi golongan berkenaan untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Menurut Choong Cui Mei (Nicole), Timbalan Setiausaha YMMRC yang terlibat dalam pelan bantuan ini, “Kerana rasa kasih dan cinta, dunia akan menjadi lebih indah”.  Dengan adanya bantuan daripada masyarakat, kita dapat mengatasi cabaran yang dialami secara bersama.

Pada waktu yang sama, Pengerusi YMMRC, Ang Soong King (Jeff), juga menyeru agar orang ramai turut menghulurkan bantuan kepada golongan ini atas nilai kemanusiaan.

Oleh yang demikian, YMMRC menggariskan misi mereka untuk memperkenalkan pelan yang sewajarnya berdasarkan kerjasama yang dijalin dengan pihak berkemampuan atau peniaga agar mereka diberikan peluang bekerja atau melakukan aktiviti sosial yang lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Seperti kata pepatah ini, “memberikan pancing lebih baik daripada memberi ikannya”. Sehubungan dengan itu, YMMRC berpendirian bahawa adalah lebih bermanfaat sekiranya mereka dapat memberikan tunjuk ajar dan/atau memberikan sokongan yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan supaya mereka dapat mencari rezeki dengan keringat mereka sendiri.

Pelbagai pihak perlu tampil memberikan bantuan pada saat masyarakat hilang punca mata pencarian. Maka, hulurkanlah bantuan kepada mereka kerana walaupun dengan sedikit bantuan yang diberikan, nescaya sumbangan tersebut akan dapat memberikan sinar hidup baharu kepada mereka yang memerlukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.