Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah baik sebarang kelompangan atau kekurangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi memastikan kelancaran peperiksaan itu untuk calon SPM 2021.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, pelbagai perkara dipelajari oleh KPM ketika pelaksanaan SPM 2020 termasuklah dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
“KPM akan meneliti setiap proses bagi memastikan proses ini terus ditambah baik kerana ini merupakan proses penambahbaikan yang berterusan. Selain itu, KPM juga akan mengkaji sebarang jurang yang wujud dan boleh dirapatkan. Hal ini akan diambil kira untuk SPM 2021,” ujar beliau pada program Soal Rakyat Khas bertajuk “Cabaran SPM dalam Era Pandemik”.
Radzi berkata, SPM 2020 menjadi penanda aras apabila banyak pembaharuan dilakukan seiring situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara bahkan buat kali pertama dalam sejarah negara, sebanyak 83 kertas peperiksaan kecuali mata pelajaran Pendidikan Seni Visual disemak secara dalam talian.
“Di samping itu, KPM turut melaksanakan kaedah pemarkahan secara dalam talian untuk mengehadkan pergerakan dengan lebih lima juta skrip kertas jawapan peperiksaan yang perlu diimbas satu persatu. Hal ini juga memudahkan proses penyemakan dan pemarkahan kerana kita tidak lagi perlu mencari kertas tersebut di bilik kebal atau sebagainya, sebaliknya hanya perlu mencari secara dalam talian,” jelas Radzi.
Beliau turut berkata, tempoh pengeluaran keputusan SPM dipendekkan dari 90 hari kepada 76 hari selepas tarikh akhir peperiksaan dan calon SPM juga tidak lagi perlu mengambil keputusan di sekolah, sebaliknya boleh dibuat secara dalam talian. Slip keputusan SPM juga boleh dimuat turun secara dalam talian, manakala sijil SPM boleh diperoleh dalam tempoh sebulan berbanding lima hingga enam bulan sebelum ini.
“Guru bagi kelas yang bakal menghadapi peperiksaan akan diberikan keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya situasi pandemik semakin pulih dan terdapat keperluan menghadiri pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka,” ujar Radzi pada program bual bicara tersebut.