22 Jun 2024, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di lembayung sejarah tanah air, terserlah sebuah institusi yang terus teguh bersemayam dalam hati nurani rakyat Malaysia, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada tahun 1956, DBP telah menyulam jalur-jalur emas dalam kain sutera bangsa, menjadikan bahasa Melayu sebagai tunjang utama budaya dan ilmu.

68 tahun melambangkan kematangan DBP untuk terus kekal relevan sebagai institusi bahasa yang memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Melalui perjalanan selama 68 tahun, DBP telah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, namun semangatnya tidak pernah luntur dan terus memahat nama dalam sanubari setiap insan yang menghargai warisan nenek moyang.

Pada 22 Jun 1956, DBP lahir di pangkuan ibu pertiwi, dengan satu azam dan tekad yang murni untuk menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa yang menyatu padu setiap lapisan masyarakat. Pada detik kelahirannya, DBP sudah menyandang tanggungjawab besar, yakni memikul amanah untuk memelihara, mengembangkan dan mengindahkan bahasa yang menjadi cermin jati diri bangsa.

Sejak awal, DBP telah menggenggam erat tanggungjawab ini dengan menerbitkan karya-karya yang memukau jiwa. Daripada novel epik hinggalah kepada buku akademik, DBP memastikan setiap helaian kertas yang dicetak sarat dengan ilmu dan nilai. Penerbitan Kamus Dewan pada tahun 1970 menjadi bukti nyata yang menjadi pedoman bagi pelajar, pendidik dan cendekiawan untuk menelusuri keindahan bahasa Melayu. Kamus ini tidak sekadar kitab rujukan, tetapi juga sebagai khazanah yang menggambarkan usaha gigih DBP dalam menyusun permata bahasa.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek melancarkan dua buah buku koleksi penulisan karyawan dan mantan karyawan DBP sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-68.

Tidak dilupakan, karya-karya sastera yang diterbitkan oleh DBP telah memperkaya khazanah negara. Nama-nama besar seperti Usman Awang, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad telah melakar kisah dalam tinta yang kekal abadi yang mencerminkan keindahan bahasa dan realiti kehidupan. Setiap karya adalah pantulan jiwa masyarakat sehingga membawa kita mengembara ke alam fikiran dan perasaan yang mendalam. Anugerah demi anugerah yang telah diraih, membuktikan bahawa hasil terbitan DBP diiktiraf dan tidak bersifat syok sendiri.

Peranan DBP dalam pembentukan istilah baharu dalam keselarasan bahasa juga tidak kurang hebatnya. Dalam era moden yang diselubungi istilah asing, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, DBP muncul sebagai pelindung bahasa dalam usaha untuk memastikan bahasa Melayu tetap relevan dan dinamik. Maka itu, DBP berterusan memperkenalkan istilah-istilah baharu demi mengekalkan keutuhan bahasa yang memudahkan setiap pengguna untuk menelusuri maksud perkataan kontemporari dengan tepat dan beridentiti.

Satu daripada sumbangan besar DBP yang tidak boleh dikesampingkan pastinya melibatkan peranan institusi ini dalam sektor pendidikan. Buku teks untuk kegunaan pelajar dan bahan pembelajaran yang diterbitkan untuk sekolah di seluruh negara diterbitkan dengan harapan untuk memastikan bahasa Melayu diajar dengan kaedah yang betul dan penuh berkesan. Setiap buku tidak hanya memenuhi kehendak kurikulum, malah turut mengandungi elemen budaya dan nilai murni yang penting dalam pembentukan sahsiah pelajar. Program latihan untuk guru-guru bahasa Melayu juga dianjurkan supaya dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mendidik generasi muda dengan cara yang inovatif dan berkesan.

Untuk memupuk kecintaan terhadap bahasa dan sastera, DBP menganjurkan pelbagai acara kebahasaan dan sastera. Minggu Sastera, Minggu Penulis Remaja, Pertandingan Menulis Esei, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu dan pelbagai sayembara lain merupakan antara acara yang menjadi platform bagi mencungkil bakat-bakat muda untuk menonjolkan kebolehan mereka. Di sini, cinta akan bahasa kebangsaan disemai, dipupuk dan disuburkan agar dapat memastikan generasi akan datang terus menghargai dan memperjuangkan warisan budaya kita.

Hala Tuju dan Masa Depan

Menghadapi era digital, DBP perlu terus berinovasi. Pendigitalan bahan-bahan terbitan DBP merupakan langkah penting yang perlu diambil. Dengan adanya aplikasi kamus dan perisian pembelajaran interaktif, akses kepada bahan-bahan ilmiah dan sastera dalam bahasa Melayu akan menjadi lebih mudah dan menarik. DBP perlu menyantuni perkembangan teknologi semasa, terutamanya melibatkan penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi-aplikasi bahasa agar lebih mesra pengguna dan meluas jangkauannya.

Demi pemerkasaan yang lebih tinggi terhadap nilai bahasa Melayu, DBP perlu memperluas kerjasama antarabangsa dengan institusi bahasa dan sastera di seluruh dunia. Pertukaran budaya dan ilmu dengan negara lain akan membuka peluang untuk bahasa Melayu dikenali dan dihargai pada peringkat global. Nilai bahasa Melayu juga boleh dijelmakan terutamanya menerusi media baharu seperti media sosial yang capaiannya lebih meluas tanpa sempadan. Perlu diakui, penglobalan bahasa ini merupakan resipi unggul dalam memanjangkan jangka hayat sesuatu bahasa.

Kesedaran ini diterjemahkan oleh beberapa institusi bahasa di negara lain yang telah mengorak langkah gemilang dalam memperkasakan bahasa masing-masing ke peringkat global. Sebagai contoh, institut Goethe di Jerman yang giat mempromosikan bahasa Jerman di seluruh dunia melalui kursus bahasa, acara budaya dan penyelidikan linguistik serta menggunakan teknologi untuk menawarkan kursus dalam talian dan berinteraksi dengan pelajar.

Di Jepun, Japan Foundation turut menggunakan modus operandi yang hampir sama, yakni mempromosikan bahasa Jepun melalui kursus bahasa, bahan pembelajaran dalam talian, dan acara budaya seperti festival filem dan pameran seni, serta bekerjasama dengan universiti luar negara dan menawarkan biasiswa.

Manakala, Alliance Française di Perancis pula memperkenalkan program lengkap untuk mempromosikan bahasa Perancis melalui kursus bahasa yang disesuaikan, acara budaya seperti konsert, pameran seni dan festival filem serta menggunakan teknologi untuk menawarkan kursus dalam talian dan berinteraksi dengan pelajar.

Maka itu, DBP perlu mengambil pendekatan sama dan memperkasakan lagi program penglobalan bahasa Melayu dalam memastikan bahasa ini unggul dan lebih dikenali di persada global. Strategi ini merupakan satu daripada kaedah organik untuk memastikan penyebaran bahasa Melayu dapat dilakukan menerusi pendekatan lunak dan efektif.

Mengimbau 68 tahun usia penubuhan DBP melambangkan sebuah nostalgia yang penuh kegemilangan. Daripada penerbitan karya sastera hinggalah kepada pembentukan istilah dan penyelarasan bahasa, DBP memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nostalgia 68 tahun DBP tidak sekadar sejarah, namun sebuah inspirasi untuk terus memajukan bahasa Melayu demi generasi akan datang.

Dengan komitmen secara berterusan dan usaha gigih, DBP terus relevan untuk menjadi penjaga dan pengembang bahasa Melayu. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa DBP juga perlu cakna dengan lemparan kritikan yang membina agar tidak dilamun oleh halusinasi sehingga menjurus pada kemunduran. Jika perlukan perubahan, maka lakukanlah tanpa kompromi demi sebuah kemajuan yang mendatang.

Penulis sedang mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.