Oleh Norazman Radzin
27 Jun 2024, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selaras dengan kemajuan teknologi pada hari ini dan kebergantungan masyarakat pada penggunaan Internet, usaha Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) mampu mengubah dan membawa sistem pendidikan negara ini maju ke hadapan setanding dengan negara maju yang lain. Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, kegagalan kita untuk menjejak arus perkembangan bukan sahaja menyebabkan kita bakal jauh ketinggalan tetapi akan menjadikan generasi muda pada hari ini kurang daya saing di peringkat global.

Langkah KPM memperkenalkan DPD ini perlu disokong oleh semua pihak untuk memantapkan lagi sistem pendidikan walaupun kita sedia maklum masih terdapat banyak halangan dan kekangan yang perlu ditangani. Namun begitu, kita yakin bahawa pihak KPM sudah pasti berusaha keras mengenal pasti segala cabaran dan rintangan sebelum mengambil keputusan melancarkan seterusnya melaksanakan DPD ini. Apa-apa yang diperlukan ketika ini ialah sokongan daripada semua pihak termasuk para pendidik, ibu bapa dan kesediaan pelajar untuk menerima perubahan yang diinginkan.

Jika kita lihat dalam kalangan negara ASEAN kecuali Singapura, sistem pendidikan kita masih dikatakan antara yang terbaik dan penambahbaikan yang dilakukan oleh KPM bakal memberikan satu lagi nilai anjakan untuk kita maju ke depan dalam sistem pendidikan yang lebih terkini sesuai dengan tuntutan semasa. Kita tidak nafikan bahawa sistem pendidikan konvensional sekarang mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik tetapi memperkenalkan DPD kepada pelajar mampu menyediakan mereka untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan untuk jangka masa panjang.

Dalam kalangan pelajar, pelaksanaan DPD pastinya bukan halangan yang besar kecuali pelajar yang berada di kawasan luar bandar atau di kawasan terpencil. Rata-rata generasi pada hari ini sudah terdedah sepenuhnya dengan teknologi digital dan mampu menerima perubahan tersebut dengan mudah. Mungkin juga sesuatu yang menyeronokkan bagi mereka kerana penggunaan teknologi secara bersepadu dalam pendidikan, mampu menjadikan mereka lebih kreatif, berinovatif dan membuatkan suasana pengajaran dan pembelajaran  (PdP) tidak lagi kaku atau membosankan.

            Kita tidak menafikan bahawa pendidikan  merupakan aset kepada pembentukan masa depan negara. Di tangan pelajar pada hari ini lah terletaknya nasib dan jatuh bangun negara di masa hadapan. Di negara Barat, kemajuan yang mereka capai pada hari ini ada hubung kaitnya dengan kecemerlangan sistem pendidikan yang mereka terapkan kepada generasi penerus bangsa. Mereka begitu cepat mengadaptasi apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka termasuklah membangunkan sistem pendidikan selaras dengan tuntutan dan perkembangan semasa.  

            Pada hari ini kita berada pada fasa terakhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025) di mana antara objektif pelan berkenaan adalah untuk memastikan setiap murid mempunyai hak yang sama rata dalam mendapat peluang pendidikan yang selayaknya, walaupun mereka berada di rumah. Jika melihat kepada objektif yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi pelan tersebut, pelaksanaan DPD ini bakal menjadi pemangkin kepada perubahan sistem pendidikan negara seterusnya melahirkan golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga celik teknologi sesuai dengan tuntutan semasa. Yang paling penting, hal ini akan mengurangkan jurang dalam aspek pembelajaran dengan negara maju seterusnya membolehkan para pelajar bersaing secara sihat baik di dalam bidang akademik mahupun dalam alam pekerjaan kelak.

Mungkin ada sebahagian daripada kita agak skeptikal dan bimbang akan anak mereka tidak mampu untuk menyerap sistem DPD ini terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar atau kawasan pendalaman yang sama ada tidak memiliki akses Internet yang cekap.  Pihak KPM sebelum ini sudah  memaklumkan bahawa semua cabaran dan kekangan untuk melaksanakan DPD telah diambil kira terutamanya dalam mengenal pasti masalah utama  sebelum melaksanakannya.

            Pada ketika ini, semua sekolah di bawah KPM mempunyai perkhidmatan Internet, namun masih terhad di beberapa buah kawasan seperti di sesetengah bahagian di Sabah dan Sarawak. Sebagai langkah awal, KPM memperkenalkan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di mana melalui sistem ini, para guru dan pelajar dapat mengakses DELIMa walaupun ketika ketiadaan Internet. Selaras dengan matlamatnya untuk memberikan akses DPD ke semua pelajar tanpa ada yang tercicir, KPM juga mengambil langkah memperkasakan sebanyak 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan sebagai inisiatif pendidikan digital. Sebagai langkah tambahan untuk memantapkan lagi DPD, KPM turut meneruskan kesinambungan TV Pendidikan dengan melancarkan Eduweb TV. Eduweb TV yang boleh diakses melalui laman rasmi YouTube Eduweb TV KPM.

Bagi memastikan matlamat tersebut dicapai, KPM turut membekalkan ke semua pusat tersebut dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam PdP. Selain itu, KPM juga turut menambahbaik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan sebanyak 550 buah bilik darjah bagi membolehkan PdP dapat dilaksanakan secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama.

Sebagai ibu bapa mahupun mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, kebimbangan seharusnya tidak wujud dalam berhadapan dengan perkembangan ini sebaliknya menyerahkan sepenuhnya  kepada pihak kerajaan untuk mencorakkan masa depan pendidikan negara. Kita juga sedia maklum bahawa pada setiap tahun menerusi belanjawan, peruntukan untuk membangunkan sistem pendidikan sentiasa diberikan keutamaan kerana kerajaan sedar tanpa sistem pendidikan yang diurus dengan baik, kesan langsungnya akan menjadi beban kepada negara untuk jangka masa yang panjang.

Sistem pendidikan bukan sesuatu yang statik. Sistem pendidikan perlu beradaptasi dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. DPD merupakan satu langkah yang sangat progresif dalam membentuk masa depan pendidikan di Malaysia. Kita tidak boleh menolak hakikat ini kerana dunia sentiasa bergerak maju dan berkembang. Begitu juga dengan kemajuan teknologi yang seakan-akan sudah tidak mampu lagi disekat yang menuntut kita untuk mengikut perkembangan tersebut, jika tidak, kita akan tercicir jauh.

Perkembangan teknologi akan mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita. Kebergantungan kita terhadap kemajuan teknologi merupakan sesuatu yang menuntut kita untuk beradaptasi dengannya, tidak terkecuali dalam dunia pendidikan. PDP bukan sekadar tentang penggunaan teknologi dalam PdP, tetapi PDP jauh lebih meluas, iaitu melibatkan pengintegrasian pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang berkaitan dengan teknologi digital secara kreatif dan inovatif.  Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan generasi yang mahir dalam dunia digital sekali gus mampu menggunakan teknologi bukan hanya untuk belajar, tetapi juga untuk mengatasi cabaran masa depan dan beradaptasi dengan dunia sekeliling mereka tanpa sebarang masalah setelah menamatkan pengajian kelak.

Adalah menjadi harapan kita semua di mana dengan usaha kerajaan melaksanakan DPD ini akan mengangkat martabat pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan selain menjadikan sekolah bukan sekadar tempat untuk menimba ilmu tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan untuk melahirkan generasi penerus bangsa yang gemilang dan terbilang. Pelaksanaan DPD juga diharap akan menjadikan suasana pembelajaran menjadi lebih menarik dan memberikan keseronokan kepada pelajar untuk menimba ilmu. Hal ini juga seterusnya akan dapat mengelakkan berlakunya budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar  seperti ponteng sekolah atau masalah disiplin lainnya yang mempunyai hubung kaitnya dengan suasana atau persekitaran sekolah yang tidak menarik minat mereka untuk belajar.

Sememangnya menjadi harapan kita juga agar pelaksanaan DPD bukan sahaja akan mengubah masa depan sistem pendidikan negara, tetapi juga akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dengan penambahbaikan infrastruktur sekolah di seluruh negara. Hal ini dikatakan demikian kerana persekitaran dan suasana pembelajaran juga menyumbang kepada minat para pelajar untuk menimba ilmu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.