Oleh Zulkifli Salleh
2 Julai 2024, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika berjumpa dengan kawan saya, Dr. Jomo di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, saya sempat bertanya tentang beberapa orang kawan yang sudah lama saya tidak berhubung atau berjumpa, termasuk Dr. Syed Husin Ali. Dr. Jomo memberitahu, “beliau uzur”. Kali terakhir saya berkesempatan membaca beberapa makalah Dr. Syed Husin yang diterbitkan melalui portal berita tempatan, iaitu tulisannya yang mengkritik tindak-tanduk Perdana Menteri Ketujuh.

Selain sebagai ahli akademik dan intelektual awam, saya juga mengenali Dr. Syed Husin sebagai ahli politik. Ketika beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada tahun 1990 di Parlimen Batu sebagai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) menentang calon Barisan Nasional, Tan Sri  Alex Lee, saya bersama-sama beberapa orang kawan, termasuk dari Dewan Bahasa dan Pustaka, bekerja untuk beliau. Saya juga pernah bergiat dalam Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), yang pada ketika itu beliau sebagai Presiden.

Tanpa membaca memoir, autobiografi atau biografi, orang ramai kebanyakannya mengetahui akan pelibatan dan sumbangan Dr. Syed Husin Ali.  Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Profesor di  Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya.

Sebagai intelektual awam, kajian dan tulisan beliau  tentang kemiskinan, kemunduran dan kepimpinan masyarakat luar bandar, stratifikasi sosial dan hubungan etnik, dirujuk dan dipetik secara meluas. Pelajarnya tidak sekadar banyak pada peringkat ijazah pertama, tetapi juga pada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.  Mana-mana pelajar yang berada di bawah seliaannya untuk ijazah lanjutan, tidak mempunyai masalah untuk lulus, asalkan mereka menyiapkan kajian atau tesis mereka.

Dr. Syed Husin pernah dilantik sebagai Profesor di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaya untuk Program Pembangunan Manusia selama tiga tahun.  Pernah berlaku “kekecohan” antara beliau dengan Profesor Diraja Ungku Aziz  tentang pelantikan jawatan Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi. Pada mulanya, Ungku Aziz mahu melantik bekas pelajar Dr. Syed Husin dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Syed Husin mengemukakan bantahan kepada Majlis Universiti dan pihak Majlis menerima bantahan itu. Maka beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi.

Berikutan pemilihannya sebagai Presiden PRM, Dr. Syed Husin meletakkan jawatan sebagai ahli akademik secara pilihan, setelah berkhidmat selama 28 tahun. Sekali lagi timbul “kekecohan”, kerana beliau pada mulanya enggan meletakkan jawatan atau bersara awal, manakala Syed Hussein Alatas, Naib Canselor Universiti Malaya ketika itu dikatakan bertegas mahu beliau meletakkan jawatan.

Dr. Syed Husin memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan bidang antropologi dan sosiologi, khususnya dalam bidang sains sosial. Sumbangan kesarjanaan beliau menjangkau ruang lingkup yang luas, termasuklah budaya dan politik hubungan kelas di luar bandar, pembangunan luar bandar, etnisiti, kemiskinan dan buruh.  Penerbitan beliau yang terkenal pastinya dua kajian perintis tentang hubungan kelas komuniti Melayu luar bandar, iaitu “Social Stratification in Kampung Bagan” dan Malay Peasant Society and Leadership.

Karya Dr. Syed Husin Ali yang mendapat perhatian meluas dan diterbitkan dalam dua versi.

Kedua-dua penerbitan ini dikatakan mencetuskan minat besar kesarjanaan terhadap kaum tani Melayu dalam kalangan kumpulan sarjana Malaysia yang seterusnya.  Sumbangan abadi Syed Husin dalam pengajian tani berpunca daripada analisis empirikal yang kaya beliau tentang struktur kelas kaum tani Melayu.  Walau bagaimanapun, dalam kalangan ahli sains sosial tempatan, khususnya ahli antropologi dan ahli sosiologi, berdasarkan kajiannya dalam Malay Peasant Society and Leadership, yang edisi bahasa Melayu berjudul, Masyarakat dan Pimpinan Kampung di Malaysia,  beliau dianggap lebih Weberian berbanding dengan Marxian.

Buku Masyarakat dan Pimpinan Kampung di Malaysia, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Syed Husin,  ialah kajian mengenai masyarakat dan pimpinan dalam kampung di Malaya. Tujuan utama kajian adalah untuk melihat bentuk masyarakat yang wujudnya pimpinan itu, mengenali jenis pemimpin yang wujud dalam komuniti yang berlainan, mengetahui kedudukan dan peranan pemimpin-pemimpinnya dalam konteks persekitaran sosial, ekonomi dan politik mereka dan menilai sejauh mana kesan pimpinan ini kepada rakyat kampung.  Dalam buku yang berdasarkan  tesis Ph.D. di London School of Economics and Political Science (LSE) tentang  kajiannya  di Bagan, Kangkong, dan Kerdau, Dr. Syed Husin dapat mengenal pasti kewujudan susun lapis masyarakat di tiga kawasan  berkenaan.

Ketika membahaskan kemunduran luar bandar di negara Dunia Ketiga,  Dr. Syed Husin mengkritik tesis Max Weber yang diteruskan dalam banyak kajian sosiologi pembangunan. Beliau menyanggah teori yang menyatakan kemunduran luar bandar berlaku, terutamanya daripada beberapa “kekurangan” dari segi nilai dan sikap  petani  yang selalu dianggap sebagai sifat  konservatif semula jadi.  Beliau juga menolak konsep “kitaran ganas” yang diperkenalkan ahli ekonomi Ragnar Nurkse untuk menjelaskan kemiskinan dan seterusnya menjelaskan bahawa kitaran ini hanya dapat dihancurkan dengan menanam modal lebih banyak.

Sebaliknya,  Dr. Syed Husin lebih cenderung kepada “teori pergantungan” atau disebut juga “pendekatan pergantungan”,  dengan ahli teori terkenal, antaranya Paul Baran, Andre Gunder Frank, dan Samir Amin.  Frank, seperti yang dipetik oleh Dr. Syed Husin, berhujah bahawa “penguasaan dan pemilikan ini menimbulkan sejenis susunan yang selalu disifatkan susunan metropolis-satelit,” yang juga boleh ditinjau sebagai “hubungan yang menaung” dengan “yang dinaungi” antara dua negara yang berbeza kekuasaannya.

Buku terbtian DBP yang menceritakan tentang soal kemiskinan rakyat.

Dalam buku Apa Erti Pembangunan (diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka), yang tebalnya kurang daripada 100 halaman, yang merupakan himpunan makalah yang pernah diterbitkan dari tahun 1966 – 1974,  Dr. Syed Husin menulis dalam pengantar: “Sudah lama saya memandang berat kepada masalah kemiskinan rakyat dan kemunduran negara…masalah ini sangat serius dan melibatkan sebahagian besar penduduk negeri ini.”  Beliau mempersoalkan tentang ukuran yang digunakan oleh ahli ekonomi untuk mengukur pembangunan ekonomi atau kemajuan ekonomi, iaitu pendapatan individu dalam masyarakat.

Antara buku yang mendapat perhatian pembaca.

Dalam bukunya yang lain, Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan, Dr. Syed Husin berhujah bahawa “kemiskinan dan jurang ketidaksamaan ekonomi yang kian melebar itu akibat yang berhubung rapat dengan sistem ekonomi yang menggalakkan falsafah laissez faire atau ekonomi bebas.”  Beliau meragui bahawa sistem ekonomi bebas ini menguntungkan orang Melayu, bahkan mana-mana golongan miskin di negara ini. Bahkan,  beliau mengingatkan penyusunan semula masyarakat melalui sistem ekonomi bebas boleh menimbulkan sebilangan kecil pemodal atau kapitalis Melayu yang jauh lebih besar pendapatan mereka daripada sebilangan besar petani.

Pada suatu ketika, kajian kemiskinan di Semenanjung Malaysia menjadi tumpuan ahli ekonomi, seperti Ungku Aziz dan E.K. Fisk, kemudian oleh ahli antropologi/sosiologi, seperti Raymond Firth, Michael Swift dan Syed Husin Ali.  Walau bagaimanapun, Kamal Salih, melalui makalahnya yang dimuatkan dalam Mokhzani Abdul Rahim dan Khoo Siew Mun (ed.), Some Case Studies on Poverty in Malaysia:  Essays Presented to Professor Ungku A. Aziz, lebih selesa dengan teori Dr. Syed Husin. Beliau menegaskan bahawa “sementara dalam teori Aziz, akar umbi kemiskinan orang Melayu terletak pada tiga faktor, iaitu pengabaian, produktiviti rendah dan eksploitasi pengeluaran tani oleh orang tengah monopoli-monopsoni”, Syed Husin “dengan menggunakan ragam analisis yang berbeza,  menganalisis  bahawa proses penumpuan tanah ialah faktor ekonomi paling penting dalam menjelaskan kemiskinan luar bandar.”

Dalam sebuah buku kecil, Peranan Intelektual (2016), yang mengandungi makalah Usman Awang, Pramoedya Ananta Toer, Ahmat Adam dan Rustam A. Sani, Syed Husin Ali menulis pendahuluan.  Setelah memperkenalkan keempat-empat makalah itu dengan panjang lebar, beliau menegaskan bahawa walaupun lebih banyak sekolah dan universiti didirikan dan lebih ramai orang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang, tetapi tidak bererti pula jumlah intelektual bertambah berlipat ganda.

Buku yang mengabadikan kenangan Dr. Syed Husin Ali pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Seterusnya, Dr. Syed Husin membincangkan peranan intelektual, iaitu menegakkan keadilan sosial, menjana semangat nasionalisme, dan membentuk negara bangsa.  Tentang menegakkan keadilan sosial, beliau membangkitkan isu yang dekat dengan dirinya, iaitu kemiskinan. Menurut beliau, kemiskinan mutlak bertambah baik kerana peratusan mereka di bawah garis kemiskinan semakin kurang, tetapi kemiskinan relatif (kemiskinan perbandingan) semakin buruk akibat bertambah lebarnya kesenjangan sosioekonomi antara golongan miskin dengan kaya, bukan sahaja antara kaum, tetapi juga dalam setiap kaum itu sendiri.

Seandainya Dr. Syed Husin Ali kekal sebagai intelektual awam, pastinya beliau dikagumi dan dihormati sebagai ahli sains sosial yang ulung di negara ini.  Sebaliknya, pelibatannya dalam politik tidak  menampakkan kejayaan.

Penulis, Mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.