Oleh Sahidan Jaafar
26 Mac 2021, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Sama ada kita sedari atau tidak, kadar pertumbuhan penduduk Malaysia yang tinggi dicatatkan sejak lebih 50 tahun lalu sebenarnya telah memberikan impak yang besar terhadap wajah kelestarian pembangunan negara hari ini meliputi sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan, infrastruktur dan sosial masyarakat kita.

Berpandukan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bertajuk: Evolusi Penduduk Malaysia, perkembangan dan pertumbuhan penduduk di Malaysia berlaku secara dramatik sejak zaman penjajahan (1890-an), seterusnya kian meningkat dalam tempoh lima dekad lalu nyata memberikan kemakmuran ekonomi sehingga membolehkan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Laporan Evolusi Penduduk 2020 menyebut bahawa Malaysia mencatatkan anggaran jumlah penduduk sebanyak 32.6 juta pada tahun 2019 berbanding dengan 32.4 juta orang pada tahun 2018. Jumlah ini merangkumi sebanyak 29.4 juta orang atau 90.2 peratus dalam kalangan warganegara dan 3.2 juta orang atau 9.8 peratus bukan warganegara.

Perangkaan pada tahun 2019 itu menunjukkan bahawa penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan. Penduduk lelaki meningkat daripada kadar 16.7 orang (2018) kepada 16.8 juta (2019). Penduduk perempuan turut meningkat daripada 15.7 juta (2018) kepada 15.8 juta orang bagi tempoh yang sama. Penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan dalam kumpulan umur muda (0 – 14 tahun) dan umur bekerja (15 – 64 tahun). Sebaliknya penduduk perempuan melebihi penduduk lelaki dalam kumpulan umur tua (65 tahun dan lebih), iaitu 1.13 juta orang perempuan dan 1.06 juta orang lelaki.

Berdasarkan statistik Jangkaan Hayat Malaysia 2019, bayi yang lahir pada tahun 2019 dijangka boleh hidup hingga umur 74.5 tahun. Jangka hayat perempuan ialah 77.4 tahun bagi perempuan dan 72.7 tahun bagi lelaki. Jangka hayat ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Tinjauan Ekonomi Malaysia 2020 menyaksikan penduduk Malaysia dijangka akan meningkat pada kadar 1.42 peratus daripada 32.6 juta pada tahun 2019 kepada 38.1 juta pada tahun 2030. Sesuatu yang perlu diambil perhatian ialah Malaysia akan mencapai status negara menua pada tahun 2030 berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menjangkakan sebanyak 15 peratus daripada penduduk Malaysia pada tahun 2030 terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan dikategorikan sebagai warga emas, iaitu kumpulan penduduk yang tidak memberikan sumbangan yang besar kepada produktiviti negara terutamanya sektor ekonomi.

Mengapakah begitu penting data seperti ini kepada kerajaan? Sebenarnya, data kependudukan, jantina, perumahan, isi rumah dan pendapatan sangat penting kepada kerajaan untuk menyediakan keperluan asas kepada 32.6 juta rakyatnya. Hal itulah sebabnya mengapa banci penduduk ini perlu dijayakan pada setiap lima tahun sekali yang bertujuan untuk mengenal pasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi kependudukan serta perumahan negara kita.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah gagal menjalankan aktiviti Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang dilakukan pada setiap dekad sejak tahun 1970. Malaysia mencatatkan jumlah penduduk sebanyak 10.4 juta pada tahun 1970 berasaskan data banci yang dijalankan pada era tersebut. Hal ini bermakna Malaysia telah melakukan lima kali banci dalam tempoh 30 tahun lalu dan kali keenam pada Julai 2020.

Untuk banci kali keenam ini, kerajaan telah memperkenalkan kaedah Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS), iaitu ke arah memodenkan MyCensus 2020. Sistem berbanci berpusat dan komprehensif ini dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri pembancian secara elektronik (e-Census) menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.

Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam banci 2020 memberikan manfaat kepada kedua-dua pengumpulan data dan responden bagi memastikan semua penduduk di seluruh negara diliputi melalui gerakan banci. Beberapa soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan dalam Banci 2020 bagi memenuhi corak gaya hidup masyarakat.

Malah, menurut Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, Banci Penduduk merupakan satu aktiviti yang sangat penting yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Sebagai rekod, negara kita berada di tangga keenam populasi Asia Tenggara, manakala Malaysia menduduki tangga ke-42 daripada 193 buah negara di dunia yang memiliki rekod sistematik populasi penduduknya. Selain Malaysia, negara jiran yang turut menjalankan Banci Penduduk tahun lalu ialah Filipina, Indonesia dan Singapura.

“Selain menyediakan statistik penduduk dan perumahan yang terperinci dan komprehensif  mengikut ciri demografi dan sosioekonomi penduduk pada satu-satu masa, banci pada kali ini juga menyediakan maklumat asas untuk memantau Agenda Pembangunan Lestari 2030 yang merangkumi komitmen untuk membasmi kemiskinan, kesamarataan, kelestarian alam sekitar dan memastikan semua penduduk diliputi,” jelas beliau.

Hasilnya, kerajaan berjaya memperoleh data yang lebih baik selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih.

Melalui Banci Malaysia 2020, sebanyak 11.7 juta atau 36 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini selesai dibanci meliputi 3.9 juta tempat kediaman. Daripada dapatan 11.7 juta orang penduduk yang direkodkan, warganegara Malaysia mencatatkan sebanyak 97.4 peratus berbanding dengan bukan warga negara (2.6 peratus).

Namun begitu, akibat penular pandemik  COVID-19, fasa kedua Banci 2020 (secara bersemuka) yang bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 lalu terpaksa dijadualkan semula kepada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Akta Banci 1960 (disemak 1969) mewajibkan semua orang awam untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci. Objektif utama pelaksanaan Banci 2020 adalah bertujuan untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif serta terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras bagi cici demografi dan sosioekonomi penduduk.

Maklumat daripada banci ini juga akan menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan yang bernilai berbilion-bilion ringgit dapat dibelanjakan di seluruh negara. Penghasilan profil yang terperinci ini akan digunakan oleh kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti, seperti hospital, sekolah, jalan raya, bekalan air dan elektrik serta pengangkutan awam. Sama ada kita sedari atau tidak, kejayaan negara dan kesejahteraan hidup yang kita nikmati pada hari ini merupakan hasil daripada penyaluran maklumat penduduk daripada banci terdahulu.

Oleh itu, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hanya akan dapat dijayakan dengan baik melalui Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang komprehensif untuk menetapkan hala tuju baharu ekonomi bagi memastikan kesejahteraan bersama-sama semua rakyat Malaysia. Pastinya melalui data Banci 2020, wawasan 2030 yang bermatlamatkan pembangunan mampan dengan pengagihan ekonomi saksama serta inklusif merentasi setiap peringkat rantaian bekalan, etnik dan wilayah dapat dijayakan bagi mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi