Oleh Nur Atiesya
31 Ogos 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ‒ Program Wacana Hari Kebangsaan anjuran Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64 telah diadakan pada pukul 10.00 pagi hari ini.

Program yang bertemakan “Patriotisme Benteng Pertahanan” ini telah disempurnakan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari UPNM bertindak sebagai moderator program yang mengupas beberapa aspek penting berkaitan dengan patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air ini.

“Kemerdekaan merupakan ejen sosialisasi yang terbaik bagi memantapkan perasaan cinta akan tanah air dalam jiwa rakyat Malaysia. Apa-apa yang penting, kita hendaklah terus bersemangat mempertahankan kemerdekaan negara. Tanpa kemerdekaan, kita tidak mempunyai nilai kehidupan,” ujar Dr. Awang Sariyan memulakan bicara.

Kemerdekaan sangat penting dan patriotisme merupakan suatu tunggak bagi menjamin pertahanan dan ketahanan negara.

Dalam program tersebut, beliau turut menyatakan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam memperkukuh kemerdekaan negara. Menurut Dr. Awang Sariyan, “terdapat empat fungsi bahasa sebagai jiwa bangsa, iaitu asas pembentukan konsep diri manusia; asas pengilmuan manusia; perantaraan perhubungan sosial; dan perantaraan pewarisan tamadun.”

Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin telah menjelaskan mengenai keperluan menguasai bahasa sebagai ilmu permulaan untuk seseorang memperoleh ilmu dan memperkembangkan ilmu yang diperolehi mereka. Demikian juga yang disebut oleh Hamka dan juga sarjana barat.

Tambah beliau, “dalam hal tersebut, patriotisme juga penting dalam konteks menguasai bahasa untuk ilmu. Andai kata seseorang individu tidak mempunyai ilmu yang kuat, maka patriotisme individu tersebut juga tidak begitu kuat dan tiada perkara yang dapat dibanggakan untuk menunjukkan diri sebagai seorang warganegara yang merdeka.”

Dalam program berdurasi satu jam 33 minit 49 saat yang disiarkan melalui media sosial DBP dan Facebook Pejabat Pendaftar UPNM tersebut, Dr. Wan Hashim berkata, “sejarah merupakan jati diri seseorang individu. Malaysia telah memasuki tahun ke-64 merdeka dan ini merupakan suatu tempoh yang pendek jika dibandingkan dengan tempoh negara kita dijajah oleh empat kuasa besar dunia.”

Antara Nasionalisme dengan Patriotisme

Berdasarkan forum tersebut, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme merupakan semangat sedar akan nilai kebangsaan dan nasionalisme merupakan akarnya. Apabila sudah terbentuknya negara yang merdeka, maka segala ciri negara tersebut diadun dan membentuk asas patriotisme. Secara dasarnya, patriotisme menjadi satu matlamat dan kaedah yang lebih besar. Akan tetapi, nasionalisme merupakan asas dan memerlukan semangat kebangsaan agar rakyat dapat mempertahan unsur patriotik dalam diri dan jiwa mereka. Kedua-dua unsur tersebut, iaitu patriotisme dan nasionalisme mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain. Namun demikian, pada akhirnya, unsur patriotisme jualah yang lebih besar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!