Laungan keramat yang penuh semangat oleh Bapa Kemerdekaan, YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada tanggal 31 Ogos 1957 menjadi detik paling bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia hingga kini. Tarikh bersejarah itu menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British.
Hari Kebangsaan 2023 diraikan penuh gilang-gemilang dengan menyaksikan pelbagai kaum dan peringkat usia menzahirkan semangat patriotik dan rasa cinta akan tanah air. Lebih daripada 100 000 rakyat dengan penuh teruja dan bangga mengibarkan Jalur Gemilangdi Dataran Putrajaya.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, acara perarakan dan perbarisan ini berjaya melibatkan 17 262 peserta, 67 kontijen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset ketenteraan negara dan 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam.
Acara sambutan ini bersaksikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir dalam majlis sambutan ini ialah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Seri Fadillah Haji Yusof; Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil; dan dif-dif kenamaan.
Yang berikut dikongsikan suasana kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2023 melalui lensa JendelaDBP yang dirakamkan oleh kumpulan jurufoto Bahagian Multimedia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang terdiri daripada Mohd Farid Janudin, Muhammad Adib Zulkifli dan Khairul Azhar Baharuddin yang berjaya mewarnai keceriaan sambutan di Dataran Putrajaya semalam.