Oleh Zamimah Osman
16 September 2024, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 31 Ogos 2024 sekali lagi negara menyambut seruan kemerdekaan kali ke-64. Tarikh keramat dan sambutan kemerdekaan tidak pernah luput dalam sejarah dan ingatan rakyat Malaysia. Pada tarikh ini, patriotisme kembali meresap dalam sanubari setiap rakyat Malaysia. Laungan kemerdekaan bergema ke seluruh pelosok negara. Pelbagai acara dan sambutan kemerdekaan dianjurkan bagi menghidupkan semangat cinta akan negara. Namun begitu, sambutan kemerdekaan ini tidak akan lengkap tanpa slogan dan tema. Tema yang diangkat pada tahun 2024 ini ialah “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”. 

Malaysia MADANI menggambarkan konsep utama dan nilai-nilai yang dipegang oleh negara kita dalam mencapai kemajuan dan kesejahteraan. Manakala Jiwa Merdeka adalah inti dari tema ini. Jiwa yang merdeka melambangkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif. Kebebasan bukan bermakna bebas dari penjajahan tetapi juga semangat patriotik dan cinta akan negara. Oleh itu, slogan kemerdekaan yang ke-64 ini memberikan gambaran bahawa rakyat negara merdeka bukan sahaja sekadar mengecapi nikmat kemajuan dalam aspek pembangunan negara, malahan jiwa setiap rakyat Malaysia harus disulam dengan semangat patriotik yang tinggi.

Dalam membahaskan tentang makna jiwa merdeka, timbul persoalan tentang apakah yang dimaksudkan dengan jiwa yang merdeka ini? Sebenarnya Jiwa yang merdeka memberikan makna yang sangat mendalam. Jiwa yang merdeka lahir dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam erti kata yang lebih luas, negara merdeka bukan sekadar pembebasan daripada belenggu penjajahan dan tercapainya cita-cita untuk membentuk sebuah negara hukum, malah makna kemerdekaan itu adalah dengan terbinanya sebuah negara bangsa yang berdaulat.

Sesebuah negara itu dikatakan merdeka apabila pemimpin dan rakyat mempunyai hak dan kebebasan bersuara serta berpolitik dapat mengatur urusan pentadbiran negara tanpa campur tangan atau tekanan daripada pihak negara luar. Kemerdekaan membentuk sebuah negara yang mandiri. Pemimpin dan rakyatnya bebas menentukan arah tuju dan wawasan negara tanpa dipengaruhi oleh anasir luar. Malaysia sebagai sebuah negara merdeka pastinya memiliki kedaulatan yang penuh daripada aspek politik, kemampanan ekonomi dan kehidupan sosial masyarakat berbilang kaum dan ideologi yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Sebuah negara merdeka dapat diukur melalui kebebasan daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Kemapanan dalam Sistem Pentadbiran Negara

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka harus memiliki kemapanan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara. Keupayaan jentera pentadbiran yang cekap dan meyakinkan dapat mencorak dan menentukan hala tuju negara. Kemapanan daripada aspek politik mencerminkan kebolehan pemimpin untuk merancang pembangunan dan mengatur sistem pentadbiran negara yang cemerlang dan berdaya maju, tanpa dipengaruhi atau dikendalikan oleh negara lain. Negara ini mempunyai kuasa penuh untuk membuat dan melaksanakan undang-undang sendiri. Ia tidak perlu tunduk kepada kuasa luar dalam membuat keputusan politik, seperti menentukan dasar luar negara, hubungan diplomatik, dan pertahanan negara.

Sistem demokrasi terpimpin merupakan tunjang kepada kedaulatan negara merdeka Malaysia. Kerajaan atau pemerintahan yang dipilih dibentuk oleh rakyatnya sendiri. Sementara kerajaan yang dilantik bertanggungjawab untuk melaksanakan undang-undang dan dasar-dasar negara tanpa mengikat kebebasan rakyat. Hak keistimewaan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum terpelihara, keharmonian dan perpaduan rakyat dapat dipertahankan. Di negara ini, dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan politik, pelbagai mekanisme dilaksanakan seperti mengadakan pilihan raya yang bebas, telus dan adil serta menitikberatkan perlindungan hak asasi manusia.

Selain itu, sistem perundangan yang diperuntukkan dan dimasyhurkan dalam rang undang-undang Perlembagaan negara juga memainkan peranan. Sistem perlembagaan ini menjamin hak dan kebebasan rakyat serta kedaulatan Parlimen. Oleh itu, kegemilangan sebuah negara merdeka akan tercapai daripada tegaknya sebuah negara hukum yang mengangkat kemuliaan dan nilai insaniah. Negara Malaysia sebagai negara merdeka dapat mengecapi nikmat sebagai sebuah negara yang makmur kerana kepimpinan bukan sahaja dapat mengamalkan kebebasan politik tetapi juga dapat mengekalkan kesejahteraan secara holistik.

 Kebebasan, Dasar Ekonomi dan Sumber Asli

Dari aspek ekonomi pula, negara merdeka ialah sebuah negara yang mempunyai kebebasan atau kuasa penuh untuk mengatur ekonominya sendiri. Hal ini termasuklah kebebasan dalam menetapkan sesuatu dasar kewangan, peraturan perdagangan, tarif dan sistem percukaian. Dalam konteks ini, Malaysia bebas untuk membuat perjanjian ekonomi dan perdagangan dengan negara lain tanpa perlu mendapatkan kelulusan atau campur tangan daripada mana-mana pihak luar.

Sebagai negara merdeka, Malaysia juga mempunyai hak mutlak ke atas sumber asli yang terdapat dalam sempadan negara, seperti tanah, air, minyak, dan mineral. Kerajaan bebas memanfaatkan dan menguruskan sumber asli ini mengikut kepentingan nasional. Pada akhirnya, hasil sumber asli ini dapat dikembalikan kepada rakyat bagi tujuan untuk meningkatkan kemakmuran rakyatnya. Kebebasan sebuah negara merdeka, dari aspek ekonomi bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan mengurus sumber asli negara, malahan dalam konteks yang lebih luas merangkumi perancangan dasar ekonomi negara termasuk dasar dalam sektor pertanian, industri, perbankan dan pelaburan. Selain itu, negara merdeka mempunyai mata wang sendiri dan pihak pentadbiran negara bebas mengawal dasar monetari, termasuk kadar faedah dan inflasi negara.

Identiti Nasional, Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan dan Kestabilan Sosial

Malaysia merupakan sebuah negara merdeka yang unik. Dari aspek sosial, kepelbagaian kaum dan agama di negara ini melahirkan kepelbagaian budaya, bahasa dan identiti sosial yang unik. Semua ini harus dipertahankan dan dilindungi oleh negara. Pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan untuk mempromosikan nilai kebangsaan, sejarah dan warisan budayanya tanpa perlu terikat kepada anasir luar negara. Pihak kerajaan harus memberikan ruang kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan dengan bebas dan terbuka. Janji kemerdekaan harus ditunaikan dan dipenuhi kepada semua. Hak mutlak rakyat untuk mengamalkan agama dan fahaman tertentu dan menganut ajaran yang tidak bercanggah dengan prinsip keadilan harus dihormati dan tidak digugat.

Jika kita membicarakan dari aspek pendidikan dan kesihatan, Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang dirancang secara tersusun bagi memenuhi keperluan dan aspirasi rakyatnya. Kebebasan untuk menentukan kurikulum pendidikan, sistem kesihatan dan program kebajikan sosial ini menjadi bukti bahawa Malaysia sebagai sebuah negara merdeka. Sistem kebajikan sosial diuruskan secara berhemah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk perlindungan sosial, perumahan dan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

Dalam konteks sebuah negara merdeka, aspek kestabilan sosial perlu dipertahankan untuk memastikan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat terpelihara, menggalakkan toleransi antara kaum dan menyelesaikan konflik sosial secara adil dan berhemah. Hal ini turut menyumbang kepada keharmonian dan progresif untuk semua rakyat berbilang kaum.

Sebagai sebuah negara merdeka, erti kemerdekaan itu dapat dinilai melalui pencapaian dan kemajuan yang progresif dari aspek politik, ekonomi, dan sosial. Sebuah negara merdeka harus mempunyai identiti, kestabilan, dan kemakmuran yang berasaskan keperluan dan nilai-nilai rakyatnya sendiri. Bersempena dengan Hari Malaysia, kita harus memugar semula makna kemerdekaan yang sebenar untuk digarap dan dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda. Sambutan Hari Kebangsaan harus diisi dengan penghayatan dan nilai untuk mewujudkan masyarakat MADANI yang mempunyai jiwa yang merdeka. Semangat ini harus dilonjakkan bagi menggerakkan usaha membentuk generasi rabbani yang dapat memugar semula hasrat kemerdekaan yang lebih gagah dan dapat diwarisi oleh generasi baharu pada hari muka.

Kredit Foto: Angie J | Unplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.