Oleh Syaza Wardina
7 April 2021, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik seperti daripada cendawan yang tumbuh pada najis lembu untuk digunakan bagi tujuan hiburan.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad berkata, dadah jenis tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair yang sering digunakan dengan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.

Jelasnya, najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses menjadi dadah yang membolehkan orang yang mengambilnya berhalusinasi. Walau bagaimanapun, penggunaan dadah tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan berbanding dengan dadah jenis ganja, syabu dan heroin yang masih mendapat permintaan tinggi. Namun begitu, pihaknya sentiasa berwaspada dengan permintaan dadah pada masa kini.

Ketika diminta mengulas mengenai trend baharu pengedaran dadah ketika negara dilanda pandemik, Zainudin berkata, sindiket tersebut kini semakin aktif menggunakan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing), kurier dan e-dagang untuk meneruskan aktiviti mereka.

Ujarnya lagi kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, sejak 18 Mac tahun lalu hingga 5 Mac 2021, pihaknya telah membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu e-penggilan (40 tangkapan), kurier (100) dan e-dagang (16). Kerjasama PDRM dengan syarikat perkhidmatan kurier sangat baik dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.