Oleh Aisyah A.
27 April 2022, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 3 Mei 2022 kelak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil insiatif untuk melancarkan aliran trafik dengan melancarkan OP Selamat 18.

Operasi tersebut diumumkan dalam satu kenyataan media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani pada 27 April 2022. OP Selamat 18 dilancarkan bagi memastikan pengguna jalan raya selamat tiba di destinasi di musim perayaan, selain menurunkan kadar jenayah pecah rumah, meminimumkan kes kemalangan dan memastikan harta benda dan premis berada dalam keadaan selamat semasa ketiadaan penghuni.

Bagi mengoptimumkan kejayaan operasi ini, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan OP lancar di lebuh raya yang dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan oleh pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman dan kembali semula setelah berakhir tempoh cuti kelak.

Jentera PDRM yang terdiri daripada anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi memastikan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran berjalan lancar.

Pihak PDRM memohon kerjasama semua pengguna jalan raya untuk mengikuti perkembangan trafik di media sosial rasmi JSPT dan sentiasa peka dengan informasi terkini dalam merancang perjalanan mereka bagi mengelakkan tempoh pemanduan yang panjang dan memenatkan.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk memandu dengan berhemah dan tidak melanggar segala peraturan lalu lintas, seperti memotong barisan secara berbahaya, menyalahguna lorong kecemasan atau meninggalkan kenderaan sehingga menghalang laluan pemandu lain.

Dalam memastikan operasi ini meliputi setiap lebuh raya yang dilalui oleh para pengguna, PDRM mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan kesalahan trafik kepada pihak JSPT melalui rakaman video atau gambar agar tindakan sewajarnya dapat diambil kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Polis Negara turut berkata, pelancaran OP Selamat 18 ini membuktikan PDRM terus komited dalam memastikan orang ramai dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan dan selamat dari perkara yang tidak diingini.

Dalam Majlis Pelancaran OP Selamat 18 yang telah diadakan pada 26 April bertempat di Menara Telekom Malaysia, Timbalan Polis Negara, DIG Dato’ Razarudin Husain menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk menjadi pemandu yang berhemah dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sebelum meninggalkan kediaman.

Perayaan Aidilfitri tahun ini dijangka mencatatkan 4.7 juta kenderaan yang akan berada di jalan raya menuju ke destinasi masing-masing.

Oleh itu, semua pengguna jalan raya disyor untuk mematuhi jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan sentiasa mengikuti aliran trafik semasa di laman sosial JSPT untuk memastikan perjalanan yang lancar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.