Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Lebih daripada 1500 orang warga kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) berjaya memanfaatkan tempoh bekerja dari rumah (BDR) dengan mengikuti taklimat integriti yang disampaikan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) yang berlangsung pada hari ini.
Program yang diadakan secara dalam talian itu membuktikan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara bukanlah alasan kepada ahli ACeIO untuk tidak meneruskan usaha pembudayaan integriti dalam masyarakat. Pendekatan secara lebih berstrategik dengan penyesuaian mengikut kebiasaan baharu dan norma baharu terus diterokai dalam menyampaikan maklumat berkaitan dengan pengurusan integriti.
Selain warga kerja JKDRM, ACeIO juga menyediakan program taklimat bersiri secara dalam talian dengan warga kerja Mahkamah Persekutuan Malaysia. Taklimat ini diadakan mengikut zon dan disertai oleh semua lapisan warga termasuklah hakim, majistret dan pendaftar mahkamah.
Oleh itu, ACeIO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Abdul Latif Abdul Kadir atas sokongan serta penyediaan platform program interaktif ini untuk dijayakan bersama-sama ACeIO.
ACeIO juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membuka ruang untuk perkongsian paparan integriti menerusi JendelaDBP.