Oleh Mubarak Ismail
23 Jun 2021, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu memainkan peranan yang  lebih besar dalam usaha pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat. Program yang dicetuskan daripada Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 Siri 1 No. 1 Tahun 2011 itu bertujuan untuk melahirkan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan integriti di sektor awam dan swasta. Hingga kini, lebih daripada 1500 orang CeIO telah dilatih di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Dato’ Idris Zaharudin, Pengarah MACA.

Mengulas perkara ini, Dato’ Idris Zaharudin, Pengarah MACA menyarankan agar semua CeIO bernaung di bawah Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia agar usaha pengurusan integriti dapat dilaksanakan dengan lebih profesional. Beliau turut memuji usaha ACeIO dalam menyediakan pelbagai pelantar untuk perkongsian maklumat berkaitan dengan integriti dalam kalangan ahli. Idris turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ACeIO yang sentiasa menyokong dan menjayakan program anjuran MACA. Setiap pelibatan ahli ACeIO dalam pelbagai program pembudayaan integriti tersebut boleh direkodkan bagi tujuan perlanjutan pentauliahan masing-masing, tambahnya lagi.

Idris turut mengalu-alukan sokongan dan kerjasama ahli ACeIO untuk bersama-sama menyebarluaskan mesej integriti dan antirasuah kepada masyarakat. Penyesuaian kepada kebiasaan baharu dalam usaha menyebarkan mesej integriti dan antirasuah perlu dipergiatkan. Ketika ditemu ramah, Idris turut berkongsi pautan di Facebook MACA yang memaparkan tiga video pendek yang dihasilkan oleh peserta program CeIO yang sedang mengikuti program di MACA sebagai inisiatif CeIO yang terpuji.

Video 1: Vhttps://fb.watch/6ggDfi9uGW/
Video 2: https://fb.watch/6ggFZOpDKp/
Video 3: https://fb.watch/6ggI0uWX-p

Pengerusi Perhubungan ACeIO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohamad Zamir Wan M. Zuki.

Pengerusi Perhubungan ACeIO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohamad Zamir Wan M. Zuki, turut sama menyokong saranan Pengarah MACA. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua CeIO agar menyertai ACeIO. Penyertaan dalam ACeIO ini akan dapat mengukuhkan jati diri masing-masing dan saling berkongsi pengalaman, pengetahuan serta amalan terbaik dalam pengurusan integriti sesama ahli serta sentiasa menyebarluaskan mesej integriti dan antirasuah kepada masyarakat. Zamir turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik pengurusan integriti di RISDA menerusi pelantar IM ACeIO. Beliau turut berkongsi kepuasan yang diperoleh apabila integriti dijadikan sebagai teras jati diri dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab harian.

ACeIO sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan semua pihak dalam mengukuhkan lagi tadbir urus persatuan serta peranan ACeIO untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat.                                                                                                                                                                           

Timbalan Presiden ACeIO, Azmi Ahmad.

Azmi Ahmad yang merupakan Timbalan Presiden ACeIO turut menyambut baik saranan Pengarah MACA agar ACeIO dan MACA saling bekerjasama dalam program yang melibatkan CeIO. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ahli ACeIO untuk turut bersama-sama menyebarluaskan dan menjayakan projek yang dilaksanakan oleh peserta program CeIO seperti Enhancement Integrity Project (EIP) dan Seminar Kelestarian Integriti (SKI). Azmi turut memaklumkan bahawa beberapa program sedang diatur oleh ACeIO dalam masa yang terdekat seperti Konvensyen CeIO dan Simposium Integriti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengukuhkan lagi usaha pembudayaan integriti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.