Oleh Mubarak Ismail
18 Julai 2022, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Unit Integriti telah menganjurkan Sembang Integriti: Rasuah dan Salah Guna Kuasa pada 18 Julai 2022 (Isnin) pukul 9.30 pagi. Majlis yang diadakan secara langsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.

Majlis sembang ini menampilkan seorang panel jemputan, iaitu Tuan Muhammad Asri Dollah, Ketua Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Manakala Norhasmanalinda Mustapa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP selaku moderator dan pengacara majlis.

Melalui gandingan ahli panel dan pengacara berpengalaman selaku moderator, tujuan utama sembang ini dianjurkan adalah untuk mengupas tentang gejala rasuah dan salah guna kuasa yang semakin berleluasa dalam kalangan penjawat awam era ini di samping tanggungjawab penjawat awam untuk membanteras budaya rasuah serta mengenal pasti jenis-jenis rasuah yang sering berlaku dalam sesebuah jabatan atau organisasi, khususnya dalam jabatan-jabatan kerajaan.

Tuan Muhammad Asri Dollah memberi penerangan tentang isu rasuah dan salah guna kuasa.

Sembang dimulakan oleh Tuan Muhammad Asri Dollah yang berkongsi tentang enam peruntukan undang-undang yang terdapat dalam negara Malaysia bagi membendung gejala rasuah. Antaranya termasuklah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Seksyen 213-215 Kanun Keseksaan (mengambil atau menawarkan hadiah), Seksyen 403-409 Kanun Keseksaan (Jenayah Pecah Amanah), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) serta Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat No. 22, 1970 – Kesalahan salah guna kuasa dan percanggahan kepentingan.

Tuan Muhammad Asri Dollah turut mengupas tentang jenis-jenis kesalahan rasuah menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang merangkumi empat cabang, iaitu meminta dan menerima rasuah, menawar dan memberi rasuah, mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Dalam majlis yang sama, Tuan Muhammad Asri Dollah menjelaskan tentang hukuman jika disabitkan bersalah kerana rasuah yang meliputi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda nilai suapan, atau RM 10 ribu bergantung kepada mana-mana yang lebih tinggi.

“Terdapat tujuh tanda seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah. Tujuh tanda tersebut adalah perubahan gaya hidup mewah secara tiba-tiba, kegagalan menjelaskan punca perolehan harta, enggan dinaikkan pangkat atau ditukarkan, panggilan telefon yang mencurigakan, suka hidup berlagak seperti orang kaya, peletakan jawatan secara tiba-tiba dan perhubungan rapat antara pelanggan syarikat dengan jabatan,” ujar Tuan Muhammad Asri Dollah.

Menurut Tuan Muhammad Asri Dollah, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh SPRM, terdapat tujuh kaedah bagi menghindari jenayah rasuah daripada berlaku. Tujuh kaedah tersebut adalah seperti berikut:

  • Jangan mengatakan “ya” sewaktu pelawaan pertama.
  • Jangan membiasakan diri menerima sebarang bentuk keraian daripada mereka yang mempunyai urusan rasmi dengan kita walaupun sekadar belanja minum.
  • Elakkan perhubungan yang terlalu rapat dengan pihak syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan kita.
  • Jangan sesekali menampakkan perbuatan atau tingkah laku yang menggambarkan seolah-olah kita yang meminta-minta.
  • Tolak tawaran atau pujukan dengan tegas.
  • Berkawan dengan orang yang jujur dan boleh menasihati serta membimbing kita.
  • Berhati-hati dengan pujian yang diberikan kerana boleh menyebabkan seseorang itu lupa diri dan boleh membawa kepada pelanggaran peraturan.

“Tiada pemberi, tiadalah penerima. Rasuah dihina, maruah dibina. Sikap yang tidak cakna, sambil lewa dan terlampau percaya kepada seseorang menjadi faktor utama ketirisan rasuah dalam kalangan penjawat awam,” kata Tuan Muhammad Asri Dollah.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.