Oleh G. Manimaran
12 November 2021, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Antologi Pantun: Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi yang terdiri daripada 191 pantun dilancarkan semalam, dengan harapan akan membantu usaha membina bangsa Malaysia yang bermaruh dan berintegriti.

Buku yang diterbitkan oleh Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM) setebal 111 halaman itu dilancarkan oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans dan Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff di sini, semalam.

Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff menyempurnakan pelancaran Antologi Pantun: Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi.

Dalam ucapan majlis pelancaran itu, Dr. Anis berkata, “Penerbitan buku antologi pantun ini menunjukkan bahawa kaedah yang pelbagai perlu digunakan dalam usaha mendidik masyarakat tentang integriti.”

Tambah beliau, “Tidak semua orang yang sedar daripada mendengar khutbah Jumaat atau dalam majlis syarahan dan ceramah. Kalau khutbah Jumaat itu berhasil membentuk ummah, sepatutnya semua orang Islam jadi orang baik-baik belaka.”

“Oleh sebab itu, semasa saya di Institut Integriti Malaysia dahulu, kita mempelbagaikan cara dan saya bersama seorang teman, Izal Arif menghasilkan sebuah buku bertajuk Integriti: Keaslian dalam Kepelbagaian yang menghimpunkan semua kaedah yang telah kita gunakan,” kata beliau.

Beliau yang juga mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia berkata, “Ada orang yang belajar daripada melihat berbanding dengan mendengar manakala yang lain menggunakan kaedah lain mengikut kesesuaian dan keperluan masing-masing.”

“Jadi, untuk orang seperti itu kita perlukan kaedah yang berbeza. Ada yang belajar sambil mendengar lagu. Ada yang belajar sambil mengalami sendiri pelajaran hidup itu seperti experiential learning dan kaedah-kaedah lain. Pada hari ini, kita memilih pantun sebagai medium untuk kita mendidik masyarakat,” kata beliau sambil menambah, “Bukan setakat mendidik masyarakat sahaja, malah penganjur mengharapkan pantun sebagai medium untuk membina bangsa Malaysia yang bermaruh dan berintegriti.”

Saya percaya harapan ini boleh dicapai.

“Akan tetapi, kita semua yang hadir pada majlis ini harus menjadi jaguh pelopornya. Kita harus mulakan menggunakan pantun sebagai cara untuk berbahasa,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menyempurnakan majlis penutupan program ini menasihatkan agar usaha dipertingkatkan bagi memupuk nilai integriti dalam kalangan masyarakat.

Bersempena dengan majlis pelancaran buku tersebut, turut diadakan Forum Memperkasakan Pantun sebagai Medium untuk Membina Bangsa yang Bermaruah dan Berintegriti, yang menampilkan ahli panel Pakar Sastera Tradisional, Mohamad Shaidan dan Aktivis Masyarakat dan Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Dr. G. Manimaran, serta dimudahcarakan oleh Ketua Penyelenggara buku antologi pantun ini, Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh; beliau merupakan Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkap Ketua Kluster Bahasa, Seni dan Budaya GMM.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan dan Penasihat Kehormat GMM, Muhammad Saedi Abdul Maad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.