21 Oktober 2021, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Ketika diamanahkan dengan gelaran, jawatan dan ketika berhadapan dengan peranan dan tanggungjawab baharu, perkara utama yang wajib difahami ialah bidang kuasa seorang raja pemerintah dalam sistem kerajaan yang mengamalkan doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen.”

Demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dizahirkan dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pukul 9.30 pagi tadi. Baginda bertitah bahawa sudah menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memastikan terjalin hubungan harmoni serta semangat saling menghormati dan saling memahami antara institusi istana dengan institusi rakyat berlandaskan perlembagaan.

Menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memastikan terjalin hubungan harmoni serta semangat saling menghormati dan saling memahami antara institusi istana dengan institusi rakyat.

Tambah baginda lagi, “Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semangat perlembagaan dan falsafah yang tersirat di sebalik perkara-perkara yang digubal difahami dan dilindungi. Setiap istilah dan perkataan yang termaktub dalam perlembagaan memiliki maksud yang tersendiri. Hal ini hendaklah ditafsirkan secara bijaksana, halus, teliti dan tepat agar keadilan tidak tercicir.”

Baginda bertitah bahawa raja memerintah bukan mentadbir, sebaliknya bertanggungjawab mengawasi dan memastikan berlakunya pentadbiran yang adil, saksama dan telus. Hal ini bermaksud bahawa raja yang memerintah hendaklah berperanan sebagai penimbang tara yang bijak kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman demi memastikan peranan tersebut terlaksana berdasarkan mekanisme semak dan imbang, sekali gus membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap amalan demokrasi yang telus.

Tambah baginda lagi, Vernon Bogdanor dalam bukunya The Monarchy and The Constitution menyatakan bahawa penumpuan mengenai kuasa perlembagaan yang ada pada raja berdaulat memberikan gambaran yang mengelirukan terhadap peranan kontemporari raja berperlembagaan. Hal ini demikian kerana peranan utama raja adalah berlandaskan perlembagaan yang bukan sahaja ketika sesebuah kerajaan bermula atau berakhir, tetapi berlangsung dalam urusan harian kerajaan melalui pengaruh berbanding dengan kuasa.

Bogdanor selanjutnya memetik konsep klasik triniti Walter Bagehot pada pertengahan abad ke-19 yang menghuraikan pandangan bahawa raja berperlembagaan memiliki tiga hak, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberikan galakan dan dorongan; dan hak untuk memberikan peringatan dan teguran.

Beta memilih untuk memberikan nasihat dan pandangan, galakan dan dorongan serta teguran dan peringatan melalui titah yang dizahirkan ini.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan bahawa raja pemerintah yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah. Baginda menginsafi bahawa takhta kerajaan ialah amanah dan anugerah Ilahi selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat ke-26 yang bermaksud:

Katakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Raja pemerintah yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak berjaya dikendalikan secara bijaksana dan berhemah.

Titah DYMM Sultan Nazrin lagi, “Amanah dan anugerah Ilahi dikembari dengan peranan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sesempurna mungkin agar rakyat meyakini bahawa institusi raja tetap relevan dan mempunyai peranan. Yang Arif Hakim Raja Tan Sri Azlan Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam pidato sewaktu menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1980, menzahirkan peringatan bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap raja dan menghormati institusi raja, selagi itu takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium. Takhta juga tidak boleh lari daripada hukuman Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.