Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) telah menganjurkan Diskusi Buku Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perlis pada 27 September 2022. Bertempat di Auditorium Berunai, IPG Kampus Perlis, program ini diadakan untuk membicarakan tiga buah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tujuannya adalah untuk mengangkat buku serta penulisnya agar lebih dikenali dan didekati oleh masyarakat.
Tiga buah buku yang dipilih, iaitu Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing karya Solihin Osman, Kumpulan Pantun Pak Nazel 3 karya Nazel Hashim Mohamad dan Hegemoni Kepengarangan A.Samad Ismail tulisan Dr. Azhar Wahid.
Ketiga-tiga buku ini dibicarakan oleh pakar bidang dalam genre buku-buku tersebut. Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing dibicarakan oleh Dr. Mohd Amir Mohd Zahari dan Dr. Norshah Aizat Shuaib, manakala Kumpulan Pantun Pak Nazel 3 dibahaskan oleh Dr. Julita@Norjietta Taisin dan Dr. Mohamad Shaidan. Buku terakhir, Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail dibincangkan oleh Dr. Nor Anita Mat Isa dan Dr. Roslan Chin.
Dalam ucapan perasmian, Pengarah IPG Kampus Perlis, Tuan Haji Abdul Muhaimin Osman menegaskan bahawa usaha pencarian ilmu boleh juga didapati melalui pembacaan buku-buku terjemahan. Ujarnya lagi, buku-buku terjemahan yang diusahakan oleh Malaysia masih berkurangan berbanding dengan Indonesia sehingga terdapat beberapa hal yang dapat kita fahami melalui pembacaan buku-buku terjemahan dari Indonesia.
Program Diskusi Buku ini diserikan dengan bacaan puisi oleh penulis Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing, Solihin Osman, Presiden BUDIMAN, Dr. Halim Ali dan saudara Ikmal Hakim Abd. Nasir.