Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 1 hingga 14 Jun 2021 tidak menghalang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan pemasaran bagi meningkatkan permintaan terhadap buku yang diterbitkan. Bagi DBP, usaha mempromosikan buku amat penting dalam menggalakkan masyarakat membeli bahan yang bermanfaat untuk kepentingan pendidikan dan meningkatkan budaya membaca. Pembacaan dapat menambah kosa kata, merangsang minda, menguatkan daya ingatan, meningkatkan kemahiran berfkir dan memberikan ketenangan emosi kepada pembaca. Tambahan pula, medium digital yang ada di hujung jari mereka membolehkan masyarakat membuat pesanan secara dalam talian. Misalnya untuk penerbitan buku DBP, pesanan boleh dibuat menerusi portal DBPNiaga.
Melihat peri pentingnya pemasaran buku, Puan Ainon Mohd, Ahli Lembaga Pengelola DBP serta Pengasas dan Pengerusi PTS Media Group Sdn. Bhd. terus bersemangat memberikan panduan kepada para penulis dalam membantu memasarkan karya yang dihasilkan oleh mereka melalui Kursus Pemasaran Penulis Sesi Kedua yang diadakan pada 7 Jun 2021, 8 Jun 2021 dan 11 Jun 2021 dari pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam. Kursus yang diadakan melalui aplikasi Zoom selama tiga hari anjuran Bahagian Pemasaran dan Pengedaran dengan kerjasama Akademi DBP dan Jabatan Penerbitan DBP itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penulis.
Kursus yang diadakan untuk sesi kedua ini lebih tertumpu terhadap usaha memasarkan buku kanak-kanak dan remaja. Menurut Puan Ainon Mohd, memasarkan buku kanak-kanak memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding dengan memasarkan buku untuk golongan dewasa. Hal ini disebabkan penggunanya ialah kanak-kanak dan pembelinya ialah ibu bapa atau orang dewasa. Walaupun demikian, kedua-dua golongan ini perlu didekati melalui pendekatan promosi yang berkesan.
Pada masa ini, bakat menjadi nilai ekonomi yang amat penting. Bakat jika dimanfaatkan dapat melariskan produk yang akan dijual. Sebelum menjual produk, perkara yang harus dilaksanakan oleh penulis adalah dengan membangunkan jenama peribadi.
Melalui jenama yang dibina oleh penulis, Puan Ainon Mohd mengesyorkan penulis melaksanakan strategi pemasaran buku seperti yang berikut:
Melalui kursus ini, Puan Ainon sangat menitikberatkan bakat yang ada pada penulis.
“Jika ada bakat tetapi tidak dikenali, tidak jalan. Penulis perlu lihat penulis sebagai pemilik bakat dan bukan penulis. Penulis jangan sekadar menulis. Katakan bahawa ‘Saya Pemilik Bakat’. Oleh itu, penulis perlu ubah definisi penulis dalam konteks pemasaran”.
Pesan yang amat bermakna yang ditinggalkan oleh Puan Ainon menerusi kursus itu telah membakar semangat para penulis untuk turut serta dalam membantu penerbit seperti DBP memasarkan buku. Antara penulis buku kanak-kanak dan remaja yang hadir dalam kursus tersebut ialah Raja Azman Raja Awang, penulis buku Siri Cantiknya Gigi: Kacip, Geraham dan Taring, dan Fon-Miau; Lailah Elok, penulis Okong Srikandi Sungai dan Suha Dwi Changi, Mohd Khairul Azman Ismail, penulis Sang Gagak dan Seri Merak, Sayangku Apai, Siapa Menang? dan Umar dan Atuk; dan Nor Azhar Ishak, penulis Indahnya Pulau Sipadan, Wah, Sedapnya Ayam!, dan Antologi Drama Kanak-kanak: Farquhar dengan Kala Jengking.