5 Jun 2021, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berakhirnya Kursus Pemasaran Penulis Sesi 1 secara dalam talian anjuran Bahagian Pemasaran dan Pengedaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Akademi DBP yang diadakan selama 3 hari. Kursus yang bermula pada jam 9.00 hingga 10.00 malam dibahagikan kepada tiga kelas. Kelas yang pertama diadakan pada 31 Mei, manakala kelas kedua pada 2 Jun dan kelas ketiga pula pada 4 Jun 2021.

 

Jadual Kursus Pemasaran Penulis.

          Panel pembimbing jemputan bagi kursus ini ialah Puan Ainon Mohd, Ahli Lembaga Pengelola DBP serta Pengasas dan Pengerusi PTS Media Group Sdn. Bhd. Manakala para peserta kursus ini terdiri daripada kalangan ahli akademik dan ilmuwan negara, golongan pengurusan, profesional serta editor.

          Kursus ini dibahagikan kepada tujuh kandungan modul. Menurut Puan Ainon Mohd, modul 1 menjelaskan tentang cara-cara memahami buku yang dipasarkan dalam era ekonomi digital dan ekonomi media sosial. Selain itu, modul 2 pula merujuk kaedah untuk memahami komponen strategi pemasaran personel berasaskan pengikut dan peminat. Melalui modul 3, Puan Ainon Mohd menjelaskan teknik-teknik memahami strategi penjenamaan personel, penempatan personel dan pemasaran personel secara terperinci dan mendalam.

        “Modul 4 turut menjelaskan tentang memahami strategi kandungan pemasaran serta memahami strategi corong pemasaran dan tiga fasa laluan pelanggan dalam modul 5 kursus ini,” ujar Puan Ainon Mohd.

         Dalam modul 6, Puan Ainon Mohd turut mengupas tentang cara penulis dapat membangunkan banyak sumber pendapatannya. Bahkan, beliau turut menghuraikan cara edisi e-buku dihasilkan dan ciri-ciri e-buku yang laris dalam pemasaran dan jualan dalam modul 7.

      Menerusi kursus ini, Encik Azhar Mohamad Dora, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP turut mengajak penulis memasarkan buku mereka secara aktif melalui Program Pengarang Niaga untuk menambahkan pendapatan mereka. Syarat untuk menyertai program ini ialah:

1. Penulis membuat permohonan untuk menyertai Program Pengarang Niaga.

2. Buku (karya penulis) akan dibekalkan secara kirim jual atau belian tunai.

3. Jika penulis memilih kirim jual, tempoh kredit selama 30 hari akan diberikan.

4. Penulis boleh memulangkan buku yang tidak terjual dalam tempoh tersebut.

5. Penulis menjelaskan bayaran bagi buku yang terjual.

          Kursus Pemasaran Penulis ini diadakan secara percuma serta sijil pengiktirafan oleh Akademi DBP turut diberikan kepada para peserta. Turut hadir dalam kursus ini ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP, M Azahari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP dan Encik Zulhilmi Baharudin, Pengurus Pemasaran DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.