Oleh Syaza Wardina
2 Jun 2023, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memotivasikan penulis sastera kanak-kanak dengan mempergiat usaha pemupukan dan pemugaran cinta terhadap penulisan buku kanak-kanak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Puan Mahaya Mohd. Yassin

Menurut penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2015, Puan Mahaya Mohd Yassin, dalam penulisan sastera kanak-kanak, perlu ada daya persona dan variasi agar karya sastera yang dihasilkan tidak sama dengan buku lain di pasaran.

“Ilmu, nilai murni, kemahiran dan ketinggian bahasa yang sesuai selaras dengan perkembangan khalayak pembaca merupakan elemen yang penting dalam penulisan sastera kanak-kanak.”

“Kita boleh bersaing dengan teknologi dan mempersembahkan keempat-empat elemen tersebut, agar khalayak pembaca terbimbing dan terasuh dengan pendidikan dan hiburan,” katanya dalam program “Jom, Tulis Buku Kanak-kanak!” anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) DBP, bertempat di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi.

“Tanggungjawab sebagai penulis amat besar, maka perbanyakkan menilai, mengkaji dan memberikan yang baik-baik sahaja dalam penulisan,” ujar beliau.

Encik Ahmad Patria Abdullah

Sementara itu, menurut penulis fiksyen sains dan fantasi, Encik Ahmad Patria Abdullah, seseorang penulis perlu jujur pada dirinya terlebih dahulu dan perlu memiliki keikhlasan dalam penulisan.

Antara penulis dengan pembaca tiada hijab.

“Kejujuran dan keikhlasan dalam penulisan membolehkan sesuatu karya tidak lapuk dan pudar,” jelasnya.

Selain Puan Mahaya dan Encik Ahmad Patria, program “Jom, Tulis Buku Kanak-kanak!” turut menampilkan mantan editor DBP, Puan Rozninah Abd Azib, dan Profesor Madya Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi dari Universiti Putra Malaysia sebagai ahli panel, manakala Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Encik Ghani Abu bertindak sebagai moderator.

Barisan ahli panel dan moderator program “Jom, Tulis Buku Kanak-kanak!” di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan program tersebut, Ketua Editor BKR DBP, Encik Armin Azhari Salleh berkata, “Program ini berjaya menghimpunkan seorang penulis sepenuh masa, seorang mantan editor, seorang pengkaji sastera kanak-kanak dan seorang penulis yang bukan dalam bidang sastera sebagai ahli panel.”

“Perkongsian pada hari ini memperlihatkan setiap ahli panel mempunyai pengalaman dan idea yang tersendiri yang diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penulis,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.