Oleh Mubarak Ismail
27 Jun 2021, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Tiada kompromi soal integriti dalam pengurusan organisasi”. Itulah kenyataan tegas Peguam Cara Negara, Dato’ Abdul Razak Musa ketika dihubungi bagi mengulas perkara ini. Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) agar memperluas peranannya bagi memantau dan menasihati agensi serta organisasi, khususnya berhubung dengan prosedur pengurusan kes-kes tatatertib agar diperkemas. Beliau juga mencadangkan pegawai integriti yang ditempatkan di jabatan dan agensi memainkan peranan lebih aktif supaya peranan dan tanggungjawab dapat dilihat dengan jelasnya.

Peguam Cara Negara, Dato’ Abdul Razak Musa.

Dato’ Abdul Razak menyokong dan menyambut baik segala usaha yang telah dilaksanakan oleh ACeIO dalam membudayakan integriti. Walau bagaimanapun, beliau menasihati ACeIO agar turut memperkukuh hala tuju serta memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan organisasinya agar tidak menjejaskan imej dan kredibiliti. Tambahan pula dengan keahliannya yang terdiri daripada para pegawai integriti bertauliah, soal integriti memang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Kenyataan tegas Peguam Cara Negara ini mendapat maklum balas positif daripada ACeIO. Ungku Mohamad Alhady Ungku Mohd Zam yang merupakan Bendahari ACeIO ketika mengulas perkara ini bersetuju supaya peranan pegawai integriti diperluas di agensi dan organisasi. Beliau turut menyatakan bahawa ACeIO juga bersetuju dengan saranan Peguam Cara Negara supaya ACeIO mengamalkan pengurusan berasaskan integriti (Integrity Based Financing), khususnya dalam pengurusan kewangan. Menurut Alhady, ACeIO sentiasa memberikan penekanan kepada aspek nilai untuk wang (value for money) dan kos rendah berimpak tinggi (low cost high impact) dalam pengurusannya. Hal ini bagi mengelakkan sebarang pemborosan, pembaziran, penyelewengan serta salah guna kuasa yang merupakan pelanggaran integriti yang serius berlaku dalam pengurusan. Beliau turut bersetuju bahawa ahli ACeIO tidak boleh terlibat dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan reputasi dan integriti.

Bendahari ACeIO, Ungku Mohamad Alhady Ungku Mohd Zam.

Mengulas lanjut, Alhady yang merupakan antara pengasas ACeIO menyatakan bahawa pelanggaran integriti dalam organisasi adalah umpama wabak penyakit yang membarah. Jika tidak dicegah dan diubati, pasti penyakit tersebut menyerang sehingga runtuh sesebuah institusi. Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dalam pemilihan menu makanan. “Makanan boleh menjadi punca penyakit sama ada penyakit jasmani mahupun rohani. Penyakit jasmani berpunya daripada pemakanan yang tidak bersih dan beracun, manakala penyakit rohani pula disebabkan pemakanan yang tidak berkat dan tidak halal serta mengambil hak orang lain,” ujar Alhady.

Rosli Husin, Pengarah SPRM Negeri Kelantan ketika dihubungi di pejabatnya bersetuju dan menyokong sepenuhnya kenyataan Dato’ Abdul Razak bahawa soal integriti tidak boleh dikompromi dalam pengurusan organisasi. Beliau juga berpendapat bahawa penyeliaan yang rapi dan tindakan yang tegas adalah perlu dalam memastikan tahap integriti serta disiplin warga organisasi sentiasa terpelihara. Beliau turut menegaskan bahawa ketua jabatan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap integriti warga di bawah penyeliaannya. Rosli turut senada dengan pandangan Bendahari ACeIO bahawa pemakanan adalah punca kepada penyakit dan keruntuhan nilai integriti. Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan masyarakat tentang peri pentingnya seseorang itu berkerja dan mencari rezeki yang halal dengan mengelakkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Menurut beliau lagi, rezeki yang bersih dan halal pasti membawa berkat jika dinikmati serta dikongsi.

Wan Hardilah Wan Husain, seorang kakitangan bank di ibu kota turut menyambut baik ketegasan Peguam Cara Negara apabila menyentuh isu integriti dalam pengurusan organisasi. Beliau yang juga bekas pemain bola tampar kebangsaan turut bersetuju dengan pandangan Bendahari ACeIO dan Pengarah SPRM Negeri Kelantan bahawa pemakanan mempengaruhi kesejahteraan hidup. Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua masyarakat Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan berintegriti tanpa rasuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.