Oleh Syaza Wardina
10 Julai 2021, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) telah menjalinkan kerjasama strategik dalam menjayakan Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) di institusi pengajian tinggi (IPT). Hal ini dimaklumkan oleh Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor pada hari ini.

Datuk Razim Mohd Noor

Antara kerjasama yang telah dipersetujui adalah dalam penyediaan latihan pelatih (TOT) kepada tenaga pengajar KIAR. Menurutnya, kerajaan telah bersetuju KIAR diperkenalkan di IPT pada September tahun ini sebagai kursus elektif sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2023.

Menurut beliau lagi, SPRM memilih ACeIO sebagai rakan strategik kerana ACeIO telah berjaya membuktikan keupayaan sebagai peneraju dan penghubung utama agenda membudayakan integriti dalam masyarakat. Pengurusan yang berstruktur dan bersistematik juga turut memberikan keyakinan kepada SPRM untuk menjayakan agenda integriti dan antirasuah ini bersama-sama ACeIO.

Ahmad Sabri Mohamed

Presiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed mengesahkan kerjasama tersebut serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SPRM atas kepercayaan dan keyakinan kepada ACeIO untuk turut bersama-sama menjayakan KIAR. Beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli ACeIO yang terdiri daripada pakar dan pengamal pengurusan integriti daripada pelbagai bidang dan sektor sentiasa bersedia membantu SPRM dan kerajaan dalam menjayakan KIAR, seterusnya agenda integriti dan antirasuah nasional.

Sabri berkata demikian sebaik-baik selesai melancarkan Town Hall ACeIO bersama-sama ahli secara dalam talian, pada hari ini. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa ACeIO juga telah melantik dua orang ahlinya, iaitu Mohd Juhari Abd Kadir dan Abdul Razak Misban sebagai Pegawai Penyelaras untuk universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan kelancaran kerjasama KIAR nanti. Beliau mengharapkan kerjasama SPRM-ACeIO dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah negara ini terus diperkukuh demi generasi serta masa depan yang bakal diwarisi.

Mohd Juhari Abd Kadir

Sementara itu, Juhari memaklumkan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu menjayakan KIAR. Pihaknya juga telah mengenal pasti ahli-ahli yang kompeten jika diperlukan sebagai tenaga pengajar KIAR.

Abdul Razak Misban

Abdul Razak pula ketika mengulas perkara ini berkeyakinan tinggi dengan keahlian yang ada. Menurut beliau, ACeIO boleh memberikan sumbangan bagi menjayakan KIAR sama ada dalam pembangunan modul mahupun sebagai tenaga pengajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.