Oleh Syaza Wardina
13 Julai 2021, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang, Selangor – Semua lapisan masyarakat perlu cakna tentang agenda pembudayaan integriti dan antirasuah nasional. Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato’ Nordin Muhamad, proses pembudayaan integriti perlu bermula dengan langkah pencegahan, iaitu menutup ruang dan peluang perlanggaran peraturan dan undang-undang, disusuli dengan penguatkuasaan serta dilengkapi dengan proses pemulihan.

Dato’ Nordin Muhamad

Menurut beliau, proses pemulihan integriti juga memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru setiap lapisan masyarakat agar sentiasa memberikan sokongan kepada proses pemulihan integriti supaya mereka yang pernah tersilap langkah tidak mengulanginya kembali dan menjadi duri dalam daging kepada usaha pembudayaan integriti.

Mohd Juhari Ab. Kadir

Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu, Mohd Juhari Ab. Kadir menyokong penuh apa-apa yang dikatakan oleh Dato’ Nordin. Menurut beliau, semangat dan proses pembudayaan integriti turut tersurat dan tersirat dalam Rukun Negara. Kewujudan segelintir masyarakat yang tidak peduli dan menghayati semangat yang cuba diterapkan menerusi Rukun Negara menyebabkan ada yang tersilap langkah dan terlibat dengan perlanggaran peraturan dan undang-undang serta amalan yang tidak berintegriti.

Menurutnya lagi, sekiranya kita semua berpegang teguh pada Rukun Negara, pastinya kita dapat menjayakan agenda murni pembudayaan integriti ini. Seterusnya hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti serta bermoral tinggi akan berjaya direalisasikan. Juhari turut mengajak semua sahabat CeIO untuk turut cakna terhadap apa-apa yang berlaku dan terus bersama-sama ACeIO menjuarai usaha pembudayaan integriti.

Firdaus Ramlan

Firdaus Ramlan, individu yang pernah tersungkur kerana langkah sumbang akibat gagal mempertahankan integriti apabila diuji turut berkongsi pandangan berhubung dengan perkara ini. Beliau memohon supaya insan yang senasib dengannya diberi peluang sewajarnya untuk memulihkan integriti. Beliau juga berharap agar diberi peluang dan sokongan oleh masyarakat khususnya untuk bersama-sama dalam agenda pembudayaan integriti dan antirasuah nasional. Beliau berterima kasih kepada keluarga dan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Penjara Malaysia yang banyak membantu beliau untuk bangkit kembali. Beliau juga turut berterima kasih kepada ACeIO yang turut memberikan peluang kepada beliau untuk bersama-sama menjayakan agenda murni ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.