Oleh Mubarak Ismail
7 Ogos 2021, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rasuah yang membarah dalam masyarakat umpama pandemik COVID-19 yang melanda. Hal ini bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada individu, malahan melemahkan sistem penyampaian perkhidmatan dan melumpuhkan ekonomi, seterusnya meruntuhkan sesebuah tamadun. Mencegah rasuah juga perlu melalui pendekatan yang sama seperti pencegahan jangkitan wabak, iaitu dengan memutuskan rantaiannya sehingga mencapai imuniti kelompok atau herd immunity dengan elemen rasuah tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kelompok masyarakat atau organisasi.

Jayantha Kumar Sen Gupta

“Integriti imuniti merupakan satu pendekatan yang seiras dengan pencegahan COVID-19 dan bertujuan untuk mencegah penularan amalan atau gejala yang tidak baik, khususnya rasuah daripada meresap dan membarah dalam diri, organisasi serta masyarakat. Menghindari rasuah dan mewujudkan Komuniti Imuniti – Imuniti Kelompok (Herd Immunity) atau Pasukan Imuniti Kelompok (Corp-Herd Immunity) yang boleh menolak rasuah ialah tanggungjawab semua pihak,” ujar Ketua Perhubungan Masyarakat dari Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jayantha Kumar Sen Gupta selaku moderator Wacana Integriti ACeIO (WI ACeIO) dengan tajuk “Malaysia Prihatin: Integriti Imuniti Organisasi” pada hari ini yang dilaksanakan secara dalam talian.

Asrul Shah Razali

Pengerusi Perhubungan ACeIO Sektor Awam, Asrul Shah Razali selaku panel undangan berkata, cara terbaik untuk mencapai imuniti kelompok antirasuah adalah melalui pemberian vaksinasi integriti kepada semua lapisan masyarakat. Menurut beliau, vaksinasi integriti ini perlu bermula di rumah dan di peringkat kanak-kanak lagi. Ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk membentuk imuniti dalam diri anak-anak yang boleh mencegahnya daripada dijangkiti atau diresapi oleh amalan-amalan yang tidak berintegriti.

“Apabila berada dalam organisasi, ketua jabatan atau pengurusan tertinggi organisasi bertanggungjawab sepenuhnya untuk membentuk Pasukan Imuniti Kelompok Antirasuah (Anti-Corruption Corp-Herd Immunity) dalam kalangan warga organisasi,” jelas Asrul Shah. Menurut beliau lagi, pengukuhan integriti ialah tindakan berterusan yang perlu dilaksanakan di semua peringkat khususnya dalam organisasi dan tidak boleh terhenti walaupun telah mencapai tahap Komuniti Imuniti – Imuniti Kelompok (Herd Immunity) atau Pasukan Imuniti Kelompok (Corp-Herd Immunity) .

Nurirdzuana Ismail

Seorang lagi panel WI ACeIO, iaitu Pengerusi Perhubungan ACeIO Sektor Swasta, Nurirdzuana Ismail menjelaskan bahawa pematuhan kepada sistem dan prosedur juga adalah perlu bagi mewujudkan persekitaran berintegriti yang akan membentuk prinsip pentadbiran berintegriti. Menurut beliau, integriti perlu diperkukuh dari dalam mahupun luaran sehingga diterjemahkan menjadi budaya dalam komuniti atau organisasi. Bahkan, integriti perlu terus diperkukuh biarpun sebahagian besar daripada anggota komuniti atau warga organisasi tersebut telah mencapai imuniti kelompok dan terlindung daripada penyebab atau punca penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

“Pengamalan integriti dalam organisasi perlu dizahirkan oleh warga organisasi dan dimaklumkan kepada semua pihak, khususnya pihak yang berkepentingan dengan organisasi. Menjadi peranan dan tanggungjawab pegawai integriti termasuklah CeIO yang merupakan barisan hadapan dalam pembudayaan integriti dan antirasuah untuk memastikan imuniti kelompok antirasuah berjaya dicapai demi memutuskan rantaian rasuah dalam organisasi dan komuniti,” ujar Nurirdzuana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.