Oleh Nur Atiesya
28 Ogos 2021, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan rancangan ekslusif Luar Jendela: Sekolah Ninja pada 28 Ogos 2021, pukul 9.00 malam, dengan penampilan lima orang ahli panel dari Jepun. Program berkonsep bual bicara santai yang bersiaran secara langsung dari Tokyo, Jepun ini menunjukkan gelagat para ahli panel yang begitu hebat dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Di samping itu, para panelis turut menceritakan perjalanan pembelajaran mereka di Jepun.

“Saya sangat seronok ketika berada di dalam kelas Bahasa Jepun kerana cerita yang disampaikan dalam buku sangat menarik minat pembaca. Tambahan pula, guru Bahasa Jepun bijak menarik minat para pelajar,” ujar Ryotaro Yuzawa atau lebih dikenali sebagai Razak.

Tambah Ryotaro Yuzawa, “semasa berada di universiti, saya amat berminat untuk mempelajari bahasa asing. Sebagai contohnya, bahasa Melayu dan bahasa Perancis. Hal ini dikatakan demikian kerana saya bukan sekadar memahami bahasa tersebut malahan turut memahami budaya yang diamalkan oleh penutur asalnya.”

“Bagaimana boleh timbul minat untuk mempelajari bahasa Melayu?”

Dalam program yang disiarkan melalui media sosial DBP tersebut, ahli panel Minamo Niizuma atau lebih dikenali sebagai Mirzanah berkata, “saya berminat dengan negara Asia Tenggara dan kenalan saya turut menetap di Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang baik dan perkara ini merupakan sebab mengapa saya ingin mempelajari bahasa Melayu.”

Dalam program bual bicara santai tersebut, ahli panel bernama Oga Morito atau lebih dikenali sebagai Osman menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang pelajar universiti. Katanya, “belajar di universiti mempunyai lebih banyak kebebasan berbanding ketika berada di peringkat sekolah menengah kerana jadualnya boleh dipilih oleh pelajar itu sendiri.”

“Di samping itu, ibu bapa bersetuju untuk membenarkan anak mereka bekerja sambilan. Hal ini dikatakan demikian kerana pekerjaan sambilan mampu untuk mengembangkan kemampuan dan kemahiran untuk hidup bermasyarakat,” ujar Shui Tsuda atau dikenali sebagai Syalinah.

Selain itu, ahli panel Kota Nakai atau dikenali sebagai Kamal berkata, “ibu bapa saya bersetuju untuk melakukan pekerjaan sambilan. Akan tetapi, sebagai seorang pelajar, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan lebih mengutamakan pembelajaran berbanding dengan pekerjaan sambilan tersebut.”

Demikian antara perkongsian beberapa orang pelajar Jepun yang berusaha mendalami dan menuturkan bahasa kebangsaan negara kita dengan sebaik mungkin. Tonton video penuh program Luar Jendela: Sekolah Ninja di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.