30 Mac 2023, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan tiga entiti bagi memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Tiga entiti berkenaan ialah Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, MABM mempunyai peranan sebagai badan penyelaras perancangan dan pelaksanaan program, serta aktiviti pembinaan, pengembangan, pemupukan, pemeliharaan dan pemantapan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

“Antara aktiviti yang dijalankan, termasuklah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa yang telah memasuki siri ke-18,” kata beliau dalam kenyataan jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada hari ini.

Tambah KPM, MABBIM pula bertujuan untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan dan bahasa ekonomi.

“Antara kejayaan MABBIM termasuklah penerbitan 60 judul kamus istilah dan dua judul daftar istilah MABBIM dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi.

“Istilah yang dihasilkan boleh dirujuk secara dalam talian melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).”

Selain itu, Mastera pula ditubuhkan sebagai organisasi serantau sastera yang ternama pada peringkat antarabangsa dalam pembangunan dan pengembangan penyelidikan, penerbitan, pemasaran dan pengiktirafan sastera.

“Antara program Mastera termasuklah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera dan penghargaan Sasterawan Muda Mastera,” menurut KPM yang cakna akan perkembangan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.