Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi – Tidak dinafikan pihak media telah memainkan peranan yang penting dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi. Hal ini seiring dan amat bertepatan dengan pelancaran projek rintis Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik Langkawi pada 16 September 2021 yang lalu.
Berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Ketua Pegawai Eksektif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Mutalib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak media atas usaha mereka mengadakan persidangan, mesyuarat dan sebagainya di Langkawi yang secara tidak langsung telah menjadikan gelembung pelancongan di pulau legenda itu mencapai sasaran di luar jangkaan.
Kerjasama media yang memaparkan keindahan dan kelebihan Langkawi telah menambah keyakinan orang ramai untuk datang ke Langkawi bertambah baik.
“Pada bulan September sahaja, jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi adalah seramai 3700 orang sehari, dan sebanyak 25 penerbangan sehari. Hal ini hampir menyamai keupayaan maksimum Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya.
Menurut beliau, selepas pembukaan sempadan ini, bilangan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah semakin bertambah dari sehari ke sehari, iaitu melebihi 1000 orang pelancong sehari.
“Jadi kita anggap kerjasama paparan media dan publisiti yang diberikan oleh media telah menyumbang kepada kejayaan sektor pelancongan di Langkawi,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap agar usaha dan sokongan semua pihak terutamanya pihak media untuk menjayakan gelembung pelancongan ini akan terus dipererat lagi dari semasa ke semasa.