16 Oktober 2021, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pengumuman tentang pembukaan sekolah untuk murid darjah satu, dua dan tiga pada 17 Oktober ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada golongan ibu bapa dan murid. Hasil tinjauan sidang editor Majalah e-Dewan Masyarakat mendapati kebanyakan mereka menyatakan rasa gembira dengan berita tersebut.

Ibu kepada tiga orang anak, Nur Izatun Ibrahim berkata, dia sangat gembira kerana anaknya tidak perlu lagi belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Nur Izatun Ibrahim menyatakan kelegaan apabila sekolah kembali beroperasi.

“Tentu sekali saya seronok apabila mendapat tahu yang sekolah akan dibuka. Walaupun mereka belajar di rumah, tetapi suasananya tidak sama dengan belajar secara bersemuka. Saya memang memantau anak-anak belajar di rumah, tetapi jika di sekolah mereka lebih mudah bertanya jika tidak faham. Masalah talian Internet juga menjadi kekangan jika belajar di rumah,” katanya.

Mengenai persiapan barangan persekolahan, Izatun berkata, dia hanya menggunakan kelengkapan sekolah yang sedia ada memandangkan sesi persekolahan hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Hasbi Hareh pula berkata dia amat lega kerana risau akan pembelajaran anak-anak akan terjejas apabila belajar secara dalam talian.

“PdPR ini amat merisaukan saya. Saya dan isteri tidak dapat memantau sepenuhnya pembelajaran anak-anak kerana saya bekerja dan isteri pula sibuk mengurus hal-hal lain. Jadi bila sekolah dah dibuka saya berasa sangat lega dan amat bersyukur,” katanya melahirkan rasa lega.

Untuk menjaga keselamatan anaknya daripada pandemik COVID-19, Hasbi dan isteri akan menyediakan bekal setiap hari dan memastikan anaknya mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Bagi murid tahun dua, Aqib Rayyan dia tidak sabar untuk ke sekolah untuk berjumpa dengan kawan-kawan dan cikgu.

“Aqib nak pergi sekolah. Di sekolah seronok sebab Aqib dapat jumpa kawan-kawan. Aqib pun dah lama tak jumpa cikgu, dah rasa rindu,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Lagenda.

Begitu juga dengan Nur Batrisyia Abadi Abdul Mukmin, murid tahun tiga dari sekolah yang sama. Katanya, dia sudah lama menunggu untuk ke memakai pakaian sekolah dan pergi sekolah seperti biasa.

“Dah lama tak pakai baju sekolah, jumpa kawan-kawan dan belajar di dalam kelas sama-sama. Tak sabar rasanya nak jumpa mereka,” katanya dengan nada gembira.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.