Diterbitkan pada 9 Disember 2021, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta pada hari ini apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob hadir merasmikan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi meraikan pentadbiran 100 hari di bawah kepemimpinan beliau. Pelbagai acara yang bermula pada hari ini hingga 12 Disember diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut dijangka menarik lebih 70 000 orang pengunjung. Terdapat pelbagai pameran melibatkan penyertaan 32 kementerian, selain merangkumi segmen peluang pekerjaan, budaya, perniagaan, saluran bantuan dan lain-lain lagi.

Secara keseluruhannya, jumlah pengunjung di semua lokasi di KLCC membabitkan Dewan 1 hingga 6 turut dikawal rapi apabila kira-kira 10 000 orang pengunjung sahaja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa. Tegasnya, hal ini memerlukan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri sepanjang berada di pusat konvensyen tersebut.

Dalam ucapan Perdana Menteri (PM), beliau menyatakan bahawa untuk merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia, kerajaan telah menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari ini, iaitu menstrukturkan semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkat infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia; serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan. Teras ini menjadi tunjang kekuatan Aspirasi Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara, khususnya daripada kelelahan kesan pandemik COVID-19.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kira-kira 24 300 peluang pekerjaan yang melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini.

“Saya tidak dapat menyebut Aspirasi 100 hari bagi kesemua kementerian satu persatu, namun rakyat boleh meneliti pencapaian mereka melalui program pada hari ini yang berlangsung sehingga 12 Disember. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk melihat program yang disediakan, termasuklah program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia,” jelas Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Aspirasi keluarga Malaysia. Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut menyarankan semua pihak hendaklah mematuhi SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sepanjang berada di KLCC.

Pencapaian kerajaan pada hari ini terhasil melalui kerjasama tuan-tuan dan puan-puan sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa menyokong, membantu dan bersatu hati. Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini. Namun begitu, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambahbaikkan. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat.

“Pada kesempatan ini saya mengucapkan sedalam-dalam terima kasih, tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini. Keluarga kita ialah tanggungjawab bersama. Kita tetap bermuafakat dalam apa-apa jua keadaan, kerana aspirasi dan matlamat kita ialah inspirasi kita bersama-sama,” demikian jelas Perdana Menteri semasa mengakhiri ucapan beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi