Diterbitkan pada 24 Disember 2021, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

CYBERJAYA – Koridor Pengetahuan ICT (Huawei Malaysia) telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon Timbalan Menteri Pendidikan I, bertempat di Cyberjaya pada hari ini, sebagai sebahagian daripada sambutan untuk memperingati ulang tahun ke-20 syarikat gergasi tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) global itu di Malaysia. Koridor Pengetahuan ICT direka bentuk sebagai Hab Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda untuk memahami jejak industri ICT.

Koridor tersebut bertujuan untuk mencapai sasaran yang lebih luas, iaitu merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi, guru, agensi kerajaan serta orang awam di Malaysia, selain untuk memperkenalkan mereka kepada sejarah pembangunan industri ICT dan sumbangan Huawei Malaysia kepada aspek pendigitalan negara dan pembangunan bakat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah, Encik Zac Chow, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Rangkaian Huawei Malaysia. Semasa menyampaikan ucap utama pelancaran, Timbalan Menteri Pendidikan I berkata, peralihan pantas ke arah teknologi digital akibat COVID-19 telah mengubah sepenuhnya cara hidup manusia dan akan terus menjejaskan komuniti global dan daya saing antarabangsa melalui cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa inisiatif perlu diambil untuk membuktikan masa depan seseorang itu dengan pengetahuan yang betul dan set kemahiran yang relevan untuk terus berada di hadapan.

Idea bahawa teknologi digital akan menjadi tunjang ekonomi mampu merangsang tindak balas yang luar biasa terhadap cabaran dan memupuk inovasi untuk merangsang pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu, penubuhan koridor ini merupakan satu daripada langkah-langkah yang diambil untuk memastikan generasi muda dapat membiasakan diri mereka dengan ICT dalam usaha untuk membentuk mereka menguasai ekonomi digital Malaysia.

YB Datuk Dr. Mah Hang Soon percaya koridor itu akan menjadi manifestasi inovasi dan pembangunan teknologi Malaysia yang akan membantu generasi muda membiasakan diri dengan peralatan digital sekali gus menguasai kemahiran tersebut. Tambah beliau, kerjasama antara sektor awam dengan swasta amat digalakkan untuk melaksanakan pelan digital strategik dan menghasilkan penyelesaian yang kondusif bagi mempercepat proses inovasi dan mewujudkan ekosistem digital yang berkesan.

“Langkah-langkah ini boleh membentuk anak muda kita untuk menjadi kompeten pada peringkat tempatan dan global. Dengan itu, saya memuji usaha besar Huawei dalam usaha melancarkan Koridor Pengetahuan ICT serta memacu pembangunan bakat di Malaysia,” ujar YB Datuk Dr. Mah.

Menurut beliau, program Huawei seperti Seeds for the Future, Huawei Spark Malaysia, Huawei ASEAN Academy dan Huawei ICT Academy hanyalah sebahagian daripada program-programnya yang telah meninggalkan impak yang tinggi dalam memupuk bakat digital di negara ini dan mengukuhkan asas ekonomi digital negara.

Pada majlis yang sama, dalam ucapan alu-aluannya, Encik Chow, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Rangkaian Pembawa Huawei Malaysia, berkata beliau berharap Koridor Pengetahuan ICT Huawei akan menjadi jambatan antara pemahaman dengan inovasi. “Kami berharap hal ini dapat menyemarakkan minda, mencabar kreativiti dan diharapkan dapat membantu membentuk generasi bakat digital pada masa kan datang.

Bagi beliau, Koridor Pengetahuan ICT akan menjadi platform pendidikan dan perkongsian pengetahuan yang berkesan yang memupuk dan memperkaya pembangunan bakat di negara ini. “Huawei percaya dalam memupuk bakat digital, kita mesti memupuk bakat digital yang mencukupi untuk meraih faedah ekonomi digital dan kami berharap Koridor Pengetahuan ICT ini bersama-sama program kami yang lain dapat membantu memupuk ekosistem bakat ICT di negara ini,” akhiri beliau.

Antara pameran semasa acara tersebut :-

  1. Sejarah perkembangan komunikasi.
  2. Sejarah pembangunan terminal.
  3. Sejarah pembangunan telekomunikasi (evolusi rangkaian).
  4. Masyarakat pintar dan zon pengalaman yang menampilkan dinding interaktif pada masyarakat pintar, lampu jalan pintar, pengurusan sisa pintar, pemeteran pintar, bandar pintar dan pendidikan pintar.
  5. Pengalaman foto 3D (Augmented Reality, AR).
  6. Pembangunan Rangkaian Tetap pintar, pembangunan rangkaian wayarles, sejarah Terminal, 5G & Masyarakat Pintar, Pendidikan Masa Depan, Bandar Pintar dan Pendidikan Pintar. Koridor Pengetahuan ICT juga memaparkan peranti infrastruktur rangkaian yang menggunakan kemajuan teknologi terkini Huawei dalam 5G dan telekomunikasi.
  7. Gelombang magnetik-pelawat boleh mempelajari cara gelombang magnetik berfungsi.
  8. Pendidikan realiti maya-pelawat dapat mempelajari tentang pendidikan pintar masa depan dan mengalami pengalaman pembelajaran secara maya.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi