Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 ditangguhkan selama seminggu. Oleh hal yang demikian, tarikh baharu bagi sesi persekolahan Penggal 3, 2021/2022 akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 10 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).
Keputusan KPM tersebut dibuat berdasarkan penelitian terhadap kesan banjir besar yang melanda negara baru-baru ini. Sehingga 24 Disember 2021, terdapat 475 buah institusi pendidikan di seluruh negara dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, KPM sentiasa prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, murid dan ibu bapa yang terkesan akibat banjir.
Oleh sebab itu, ketetapan penangguhan ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM dan semua sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan. Manakala, operasi bagi sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat disarankan mengikut kalendar persekolahan masing-masing. Bagi tadika yang berdaftar bawah KPM pula dibenarkan beroperasi mulai 2 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan B. Institusi pendidikan bawah KPM yang dinyatakan tersebut merujuk pada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
Pada masa yang sama, KPM turut menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.