Oleh Mubarak Ismail
27 Januari 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan program The Royal Professor Ungku Aziz Public Lecture: Ungku Aziz’s Thoughts and Public Policies pada petang tadi. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform Zoom dan media sosial UAC seperti Facebook.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob.

Tujuan forum diadakan adalah untuk mengupas tentang sumbangan, jasa dan pengorbanan Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara. Forum ini menampilkan seorang panel jemputan, iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Manakala Profesor Madya Dr. Raja Noriza Raja Ariffin, Pengarah Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan UM (INPUMA) selaku moderator program.

Forum dimulakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob yang berkongsi tentang latar belakang diri dan kehidupan Profesor Diraja Ungku Aziz. Seterusnya, beliau menghuraikan tentang Indeks Sarung (Sarung Index) yang dicipta oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai penunjuk kadar kemiskinan dalam kalangan orang Melayu pada era tahun 1950-an dan 1960-an.

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, teori Indeks Sarung merujuk jumlah kain sarung dalam isi rumah (household) dan dibahagikan dengan jumlah penghuni rumah itu (tolak bayi dan anak kecil). Apabila semakin kurang bilangannya, maka semakin tinggi kadar kemiskinan.

“Dengan pengamatan dan pendekatan praktikal seperti inilah Profesor Diraja Ungku Aziz membuat analisis isu kemiskinan luar bandar. Namun begitu, beliau percaya kemiskinan tidak mengenal kaum. Selain itu, beliau juga melihat tiga faktor yang menjadikan kemiskinan kronik luar bandar berlaku, iaitu produktiviti rendah, diskriminasi dan kekangan institusi,” ujar Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob.

Tambah beliau, sumbangan, jasa dan pengorbanan Profesor Diraja Ungku Aziz dalam meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat Malaysia tidak ternilai harganya. Profesor Diraja Ungku Aziz membuat kajian dan sering menekankan tentang isu masalah kemiskinan pendidikan, kebuluran dan kekurangan makanan berkhasiat bagi masyarakat luar bandar.

Peluang pendidikan dan pekerjaan, ketidaksamaan agihan pendapatan serta bekalan air dan elektrik yang terhad di kawasan desa juga merupakan isu yang sering disentuh dan dikupas oleh Profesor Diraja Ungku Aziz demi membangunkan negara. Bahkan, tokoh ilmuwan ini turut berkongsi dan menghuraikan tentang punca-punca kemiskinan serta kaedah-kaedah yang berkesan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Tan Sri Datin Paduka Dr. Ungku Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz.

Turut hadir dalam forum ini ialah Tan Sri Datin Paduka Dr. Ungku Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan satu-satunya anak Profesor Diraja Ungku Aziz.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.