25 November 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuanku Canselor Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, telah bertitah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, pada pukul 9.00 pagi hari ini, iaitu 25 November 2023 (Sabtu) bersamaan dengan 11 Jamadilawal 1445H.

Yang berikut diperturunkan titah baginda.

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

  1. Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-63 melibatkan 15 sidang yang akan berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2023. Sebanyak 8326 graduan telah memenuhi kriteria akademik, layak dianugerahkan ijazah dan diploma; 500 graduan akan menerima ijazah Doktor Falsafah, 2643 ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 4186 ijazah Sarjana Muda dan 997 Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan Diploma.
  2. Ilmu berperanan sangat penting dalam kehidupan manusia. Islam sangat mengutamakan ilmu. Hampir 800 ayat dalam al-Quran merujuk perkara berkaitan dengan ilmu. Usaha dan upaya menerokai dunia ilmu, memahami dan mendalami ilmu, menguasai ilmu dan mengaplikasikan ilmu merupakan amalan yang sangat dituntut kerana sejarah perkembangan peradaban manusia menunjukkan hanya bangsa yang berilmu berupaya mencapai kemajuan. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) diiktiraf sebagai pemimpin unggul lagi dimuliakan kerana kehebatan Baginda menguasai, mengamalkan dan menyebarkan ilmu kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala (SWT). Sewaktu dimaklumkan bahawa Baginda dipilih untuk diangkat menjadi Rasul, Malaikat Jibrail Alaihissalam menyampaikan ilmu berbentuk lima ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan oleh Allah SWT, iaitu ayat satu hingga ayat lima surah al-Alaq, yang mengandungi tiga perkara besar:

Pertama: Allah SWT Tuhan seluruh alam.

Kedua: Manusia telah diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik keadaan dan diberikan keistimewaan berbanding dengan makhluk lain.

Ketiga: Nikmat ilmu pengetahuan yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada manusia melalui pena dan tulisan apa-apa yang tidak diketahui oleh manusia.

Berpandukan lima ayat terawal yang diturunkan oleh Allah SWT, peradaban Islam telah menobatkan ilmu dan kebijaksanaan sebagai wahana penting bagi melahirkan bangsa yang maju dan bertamadun.

  1. Konvokesyen kali ke-63 menyaksikan pengijazahan 8327 graduan yang diiktiraf telah memenuhi kriteria akademik menguasai pelbagai bidang ilmu. Imam al-Ghazali dalam karyanya Mizan al-‘Amal menyatakan, kebahagiaan insan tidak tercapai sekadar menguasai ilmu; tetapi hendaklah disusuli dengan amal sebagai penyempurna ilmu. Amal yang baik berperanan untuk mengangkat darjat keluhuran ilmu. Bahawa tujuan ilmu pengetahuan adalah untuk melahirkan manusia yang baik kerana masyarakat terdiri daripada individu dan individu yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik. Oleh yang demikian, ilmu yang telah dipelajari dan dikuasai oleh para graduan perlulah dilengkapi dalam bentuk amal.
  2. Para graduan wajiblah mengamalkan watak insan berilmu berpaksikan keluhuran ilmu, mencerminkan nilai diri insan yang berhikmah, berkeperibadian terpuji, berbudi bahasa, beradab lagi bersopan. Islam dan masyarakat timur sangat mementingkan budi bahasa dan adab sopan dalam kehidupan harian. Kesopanan bahasa semasa bertutur serta kesantunan tingkah laku yang mencerminkan akal budi seseorang insan, bukannya ijazah, jawatan, pangkat atau gelaran. Sopan santun tidak terhad kepada kesantunan tingkah laku, bahkan kesopanan bahasa semasa bertutur mencerminkan akal budi seseorang insan.
  3. Untuk sekian lamanya, negara kita Malaysia kaya dengan adat, budaya, nilai dan moral. Amat membimbangkan apabila kebelakangan ini, aspek budi bahasa dan sopan santun semakin diketepikan. Diperhatikan budi bahasa dan sopan santun diketepikan bukan oleh golongan yang tiada berpendidikan atau tidak berjawatan tinggi, tetapi dikorbankan oleh kumpulan yang berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran; berlaku bukannya di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi berlaku di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah ada kalanya berlaku di tempat-tempat ibadah. Bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina, semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan.
  4. Islam amat menitikberatkan pemilihan perkataan yang ingin digunakan ketika berbicara, malah turut meletakkan prinsip yang lebih utama, iaitu penghormatan. Islam menegaskan konsep komunikasi ketika berbicara agar memilih kata-kata yang baik dan lemah lembut, bahkan lebih penting memperlakukan orang lain dengan penuh rasa hormat dan tertib, menjaga tingkah laku, menunjukkan bahasa badan yang sesuai, menghormati posisi orang yang kita sentuh dalam tutur percakapan kita.
  5. Demi memastikan minda warga, terutamanya anak-anak di bangku sekolah, tidak terpengaruh dengan teladan perangai tidak beradab yang mempunyai nilai yang salah, amatlah penting komponen Rukun Negara yang kelima, iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan” dijadikan sebahagian daripada input dalam program pengilmuan, agar elemen kesopanan dan kesusilaan difahami, dihayati dan diamalkan oleh warga.
  6. Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1971 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Keempat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Nasiruddin Shah (Almarhum). Rukun Negara diperkenalkan setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 susulan berlakunya perang mulut dan laungan yang menyentuh sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan kaum. Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah-langkah preventif, menghentikan suara-suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama. Amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang telah diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan saling menghina yang berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan. Warga dan negara jangan dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak-tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemimpin samaran.
  7. Ilmuwan tersohor, Syed Muhammad Naquib al-Attas, seawal tahun 1973 telah memperingatkan tentang kemunculan pemimpin samaran, terbentuk dalam acuan “guru sihir” yang pintar, sebagai pelita baharu menyamar yang lama. Pemikiran serta cara, gaya dan teladan yang ditayangkan oleh pemimpin samaran dan pengikutnya, bagai adukan kebenaran dan kepalsuan, serta campuran yang hak dan yang batil, yang merupakan ramuan kekeliruan, yang didiayahkan ketika kaum Muslimin sudah tenat keliru, putus asas kewarasan akal, serta semangatnya dalam keadaan kacau, tiada berdaya meresapi lagi kekeliruan tambahan, lalu membawa kesan buruk pada kefahaman awam yang terpengaruh dengan diayah yang dilakukan itu; akibatnya pemimpin yang palsu itu disamatarafkan dengan pemimpin yang benar. Lalu berlaku kebingungan yang teruk kerana ketiadaan adab, tidak hanya bererti telah rosaknya ilmu (corruption of knowledge), tetapi ketidakmampuan mengakui pemimpin yang benar, di sebaliknya memberikan jalan dan mendukung munculnya pemimpin palsu.
  8. Universiti hendaklah menjadi taman ilmu yang berupaya mengilmukan warga yang dapat membezakan antara intan dengan kaca, antara pemimpin yang tulen dengan pemimpin samaran. Universiti hendaklah menjadi taman didikan yang berupaya melahirkan warga yang berjiwa besar, warga yang mengamalkan semangat hormat-menghormati, warga yang berupaya berinteraksi dalam suasana harmoni, warga yang sopan dan memiliki tatasusila, dan warga yang beradab dan bertamadun. Universiti hendaklah menjadi taman asuhan mengasuh warga untuk menghargai budaya syura, budaya yang mengamalkan penyuaraan pendapat secara tertib lagi bersopan, berhujah dengan fakta, dilangsungkan secara beradab; dan semangat bermesyuarah untuk mengolah resipi penyatuan secara terhormat ketika berhadapan dengan pandangan yang berlainan.
  9. Nilai kesopanan dan kesusilaan merupakan asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera. Sedarilah! Perilaku warga, apatah lagi dalam kalangan pemimpin akan memberikan imej, wajah dan identiti negara kita di mata dunia. Kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan oleh warga merupakan suatu ukuran kemajuan dan ketamadunan negara.
  10. Firman Allah SWT dalam ayat enam dan tujuh, surah al-Alaq, bermaksud:

Ingatlah! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajarnya. Apabila melihat dirinya serba cukup.

Ayat 6 hingga ayat akhir merupakan bahagian kedua surah al-Alaq, diturunkan pada waktu Nabi Muhammad SAW menyebarkan Islam dan mendapat tentangan daripada kaum Musyrikin di Mekah.  Pada bahagian ini Allah SWT menggambarkan sifat dan tabiat sesetengah manusia, apabila sudah senang, mendapat kemewahan, mereka bersikap sombong dan bongkak, melupakan Allah SWT yang mengurniakan nikmat, tidak menghiraukan suruhan Allah SWT dan larangan-Nya, sehingga akhlak dan budi pekertinya tidak lagi berperikemanusiaan.

  1. Pada hari ini para graduan telah dikurniai kejayaan setelah melalui satu tempoh dan proses pendidikan. Saudara saudari akan berhadapan dengan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Janganlah bersifat kacang lupakan kulit. Jadilah insan yang mengamalkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu saudara saudari menjadi aset atau liabiliti kepada negara.
  2. Istiadat konvokesyen ini mencipta kejayaan yang membawa kebanggaan kepada diri – kepada keluarga; lengkapkan kejayaan ini dengan nilai moral yang murni, jadikan diri insan yang bersopan dan beradab, agar saudara saudari terus mengangkat martabat diri dan nama baik keluarga; hindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan di samping memperingatkan agar menghargai dan membalas jasa ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan senantiasa mendoakan kejayaan anda. Semoga Allah SWT memberikan petunjuk membimbing saudara saudari menemui jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang dapat memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat.
  3. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pro-Canselor-Pro-Canselor yang senantiasa bersama beta mengamalkan semangat berat sama dipikul, gunung sama didaki. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan warga akademik universiti, begitu juga kepada warga pengurusan dan warga kerja universiti yang sama-sama berusaha memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagu, berusaha untuk memastikan Universiti Malaya mencapai objektif penubuhannya. Semoga segala usaha dan khidmat bakti tersebut diterima sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

Demikianlah titah Tuanku Canselor DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dalam majlis tersebut. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya para graduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.