Oleh Noorilham Ismail
26 April 2024, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada garis geografi, Pulau Falkland (Pulau Malvinas bagi perspektif Argentina) terletak sebagai ruang yang membatasi kawasan di antara Eropah dengan Amerika Latin. Untuk garis masa pula, tahun 1833 telah membahaskan soal kedaulatan dan pemilikan pulau di Atlantik Selatan antara Argentina dengan Britain. Persimpangan masa yang ditandai pada tahun 1833 ini telah menyaksikan lahirnya pertikaian jangka masa panjang daripada kandungan sejarah dengan berbidankan tuntutan demi tuntutan antara kedua-dua buah negara. Daripada kebuntuan di meja rundingan, pertikaian tentang gugusan kepulauan ini seterusnya mengakibatkan konflik bersenjata. Pada tahun ini, genaplah 42 tahun berlalunya peristiwa tersebut.

Pada 2 April 1982, pertikaian tentang Pulau Falkland ini telah mengakibatkan tercetusnya perang antara Argentina dengan Britain. Kepimpinan junta tentera di bawah pentadbiran Presiden Leopoldo Galtieri mengarahkan angkatan tenteranya supaya melakukan pendaratan yang bermula di Port Stanley, pusat pentadbiran Pulau Falkland. Hubungan kedua-dua negara tersebut ibarat retak menanti belah walaupun sebelumnya mempunyai hubungan baik. Kabinet Parti Konservatif di bawah pimpinan Perdana Menteri Margaret Thatcher telah bertindak balas menerusi penamatan hubungan diplomatik dan sekatan ekonomi serta operasi ketenteraan. Jika diteliti dengan kanta retrospektif sejarah, peperangan terbabit terjadi kerana kedua-dua belah pihak gagal untuk mencapai kata putus atau ketetapan jelas berhubung status kedaulatan pulau yang sebahagian besarnya dihuni oleh penguin dan kambing biri-biri di Atlantik Selatan.

Pulau Falkland menjadi habitat semula jadi penguin.

Argentina menuntut Pulau Falkland yang disebutnya sebagai Las Islas Malvinas atas hujah sejarah, manakala Britain cuba mempertahankan pulau itu atas prinsip penentuan nasib sendiri. Pertembungan kedua-dua hujahan ini telah membentuk kesinambungan pertikaian yang tidak kunjung selesai meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah campur tangan.

Dari perspektif Argentina, tahun 1833 menandakan bermulanya perampasan Pulau Falkland oleh pihak Britain. Kuasa imperialis Barat itu telah menduduki pulau berkenaan atas dakwaan bahawa kawasan tersebut kosong tanpa penghuni atau apa-apa institusi pentadbiran semasa ketibaan pelayarnya pada bulan Januari 1833. Namun pada realitinya, gugusan pulau terbabit telah pun berada di bawah pentadbiran Argentina selepas Sepanyol menyerahkan wilayah itu kepada Rio De La Plata (Argentina hari ini) sebaik sahaja negara berkenaan dimerdekakan pada tahun 1816. Hal ini terjadi disebabkan oleh status Pulau Falkland dan Argentina yang pernah berada dalam penguasaan Sepanyol.

Sejak termeterainya Perjanjian Tordesilas pada 7 Jun 1494, Pulau Falkland diletakkan di bawah wilayah jajahan Sepanyol di Amerika Latin dari kurun ke-16 yang berlanjutan ke dekad awal kurun ke-19. Tidak hairanlah jika Sepanyol menyerahkan Pulau Falkland kepada Argentina bagi diuruskan dan ditadbir secara sah dalam lingkungan wilayah negara yang baru dibebaskan itu.

Bertitik-tolak daripada penyerahan oleh Sepanyol tadi, Argentina kemudiannya dengan konsisten telah menggunakan fakta dan faktor sejarah ini untuk mengesahkan tuntutannya dari Britain berkaitan kedaulatan Pulau Falkland. Hujah ini mendasari isi rundingan Argentina sekitar 1960-an hingga tempoh 1970-an, baik rundingan bilateral mahupun yang melibatkan PBB.

Kedudukan Pulau Falkland. (Sumber gambar: Britannica)

Dalam isu ini, Argentina di satu pihak ingin mempertahankan tuntutannya ke atas Pulau Falkland melalui keabsahan fakta sejarah. Namun beberapa persoalan boleh dibangkitkan berhubung dengan perkara ini. Pertama, mengapakah Britain boleh menyatakan bahawa Pulau Falkland merupakan tanah “kosong” sewaktu ditemui? Jika pulau tersebut telah menjadi sebahagian daripada Argentina pada awal kurun ke-19, bagaimanakah kawasan terbabit boleh terbiar kosong tanpa urusan kawalan dan pentadbiran? Apakah wujud pengabaian oleh pentadbir elit Argentina terhadap hal ehwal pulau pada waktu itu?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Argentina sememangnya tidak pernah mengabaikan Pulau Falkland dalam pentadbirannya. Seorang gabenor, iaitu Luis Vernet telah dilantik bagi menguruskan dan mengawal pentadbiran gugusan pulau tersebut termasuklah urusan pembinaan kediaman. Vernet turut melaksanakan dekri yang mengehadkan kegiatan penerokaan dan operasi ekonomi kelautan oleh pelayar asing di kawasan Kepulauan Falkland. Antara negara yang terkesan dengan pelaksanaan dekri ini termasuklah Amerika Syarikat apabila para pelayarnya dihalang daripada berburu anjing laut dan ikan paus di perairan Pulau Falkland.

Sebagai contoh, tiga buah kapal pelayar Amerika Syarikat telah disita oleh Vernet dan berita tentang perkara tersebut turut dimaklumi oleh pentadbiran tertinggi di Amerika Syarikat. Hal inilah yang kemudiannya mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pelayar tersebut terutama Amerika Syarikat sekitar tahun 1829 hingga tahun 1832. Dengan itu, Kapal Perang USS Lexington melalui pimpinan Kapten Duncan telah dihantar oleh Presiden Andrew Jackson (Presiden Amerika Syarikat Ketujuh) bagi mengenakan tindakan ke atas pentadbiran Vernet di Pulau Malvinas. Natijahnya, Gabenor Vernet digulingkan pada Jun 1832 yang meninggalkan kekosongan pada pentadbiran pulau untuk sementara waktu.

Pada persimpangan peristiwa terbabit, Britain kemudiannya hadir dan seorang wakil, iaitu Kapten J. J. Onslow dilantik untuk mentadbir Kepulauan Falkland pada 2 Januari 1833. Lantikan berkenaan memberikan tanda bahawa Britain mula bertapak sebelum Pulau Falkland diletakkan sebagai koloni pada tahun 1853. Seiring dengan itu, usaha membangunkan kawasan tersebut terus dipergiat sekitar separuh kedua kurun ke-19. Antara program pembangunan yang dilaksanakan termasuklah pembinaan sekolah, jalan raya dan gereja terutamanya di Port Stanley. Gugusan pulau dalam lingkungan Pulau Falkland turut dinamai dengan nama yang beridentitikan Britain seperti Port Stanley, Port Howard dan Port Stevens untuk melambangkan pengaruh individu berketurunan British di situ.

Tidak terhad setakat itu, Britain turut menempatkan rakyatnya ke Pulau Falkland sekitar penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Dalam jangka masa panjang, Britain membentuk satu taburan demografi yang terdiri daripada masyarakat berbudaya dan berbahasa Inggeris di Pulau Falkland. Strategi sebegini cukup signifikan apabila pihaknya ingin mempertahankan kedudukannya di Pulau Falkland melalui prinsip penentuan nasib sendiri. Hal ini demikian kerana rakyat di situ pasti memilih Britain jika diminta berbuat begitu. Buktinya, referendum yang dilaksanakan pada tahun 2013 menyaksikan 99.8 peratus penduduk di Pulau Falkland memilih untuk kekal sebagai penduduk wilayah seberang laut Britain.

Jika kita beranggapan bahawa kolonialis Britain di kawasan di dunia kini telah berakhir secara keseluruhannya, ketahuilah bahawa penyataan tersebut tidak tepat. Dunia pada hari ini masih hidup di bawah bayang-bayang penjajahan yang menegakkan legasinya tersendiri sejak kurun ke-19 sama ada secara langsung atau tidak, persis penyataan tesis yang sering diulangi dan ditekankan oleh sarjana seperti Profesor Farish A. Noor. Pada saat negara bangsa di pelbagai belahan benua mengecap kemerdekaan pasca Perang Dunia Kedua, Pulau Malvinas yang pada satu ketika merupakan milik Argentina terus kekal berada di bawah penguasaan Britain. Keadaan demikian menyamai dan menyerupai status wilayah lain seperti Gibraltar.

Isu pertikaian terhadap kedaulatan dan hak pemilikan Pulau Falkland terus menjadi duri dalam daging dalam hubungan luar antara Argentina dengan Britain sehingga kini walaupun hal itu tidak lagi membabitkan konflik bersenjata. Biarpun begitu, Kerajaan Republik Argentina tetap konsisten hingga hari ini untuk menuntut Britain agar duduk berbincang soal kedaulatan Pulau Falkland walau dengan apa-apa instrumen rundingan meskipun masih belum tahu akan kesudahannya.

(Kredit foto: Paul Caroll dan Yuriy Rzhemovski | Unsplash)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.