26 April 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Koperasi bukanlah suatu entiti yang asing dalam masyarakat Malaysia pada hari ini kerana wujud sejak seabad yang lalu dan telah menyambut 100 tahun penubuhannya di Malaysia pada tahun 2022. Jika disoroti kembali, matlamat asal penubuhan koperasi adalah berpaksikan kepada peningkatan sosioekonomi anggotanya khusus bagi masyarakat di luar bandar. Menelusuri usia 100 tahun, gerakan koperasi semakin berkembang dan akhirnya menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara Malaysia dan melahirkan ramai usahawan koperasi.

Pada tahun 2023, bilangan koperasi di Malaysia mencatatkan sebanyak 15,809 dengan jumlah perolehan mencecah RM64.5 juta dengan keanggotaan hampir 7.3 juta. Manakala sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM17.4 juta dengan penjanaan aset berjumlah RM165.8 juta. Hal ini membuktikan bahawa gerakan koperasi masih lagi relevan di Malaysia walaupun peratus sumbangannya jika diukur masih lagi kecil berbanding dengan sektor ekonomi lain.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai tafsiran mengenai koperasi atau stigma masyarakat yang kurang tepat tentang koperasi. Kewujudan koperasi hanya dikenali oleh golongan yang berada dalam sektor koperasi sahaja. Pandangan majoriti masyarakat terhadap koperasi masih berada di takuk yang lama, iaitu pinjaman atau kredit semata-mata. Namun tanpa kita sedari, koperasi di Malaysia sudah pun meneroka pelbagai bidang perniagaan seperti pelancongan, perhotelan, pertanian, kewangan, hartanah dan lain-lain lagi yang mampu memberikan pulangan kepada koperasi masing-masing. Malah, koperasi juga telah melahirkan ramai usahawan dalam kalangan anggotanya.

Oleh sebab itu, masyarakat perlu didedahkan dengan peranan dan fungsi koperasi yang tepat. Selari dengan hasrat tersebut, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku kementerian yang memayungi agensi di bawahnya seperti Institut Koperasi Malaysia sentiasa menyediakan sokongan dan bantuan keusahawanan serta pembangunan kapasiti.

Peranan Institut Koperasi Malaysia

Institut Koperasi Malaysia atau IKMa bertindak sebagai satu-satunya institusi pendidikan dan latihan koperasi yang melatih golongan usahawan dan koperator. Sejak ditubuhkan pada tahun 1956, Institut Koperasi Malaysia telah melatih ramai koperator dan usahawan di seluruh negara melalui pelbagai program yang telah dijalankan khususnya dalam pembangunan modal insan koperasi.

IKMa giat menyebarluaskan ilmu tentang koperasi bukan sahaja melalui program yang diadakan secara bersemuka dan dalam talian sahaja, malah IKMa turut menjalankan penyelidikan dan menerbitkan bahan penerbitan berkaitan koperasi setiap tahun. Sehingga kini, lebih 100 bahan penerbitan yang telah diterbitkan dan diedarkan kepada gerakan koperasi di seluruh Malaysia dan luar negara. Antara bahan penerbitan IKMa ialah buku, kisah kejayaan koperasi dalam dan luar negara, majalah, jurnal, kajian kes, prosiding, monograf penyelidikan, laporan tahunan dan siri pengurusan. Bahan penerbitan ini dihasilkan sendiri oleh pegawai IKMa melalui program yang dihadiri sama ada di dalam atau luar negara.

Melalui hasil penerbitan tersebut, ilmu berkaitan dengan koperasi dapat dikongsi bersama dengan para koperator dan usahawan. Matlamat untuk menjadikan gerakan koperasi di Malaysia berdaya saing dan dikenali seantero dunia pasti dapat dicapai sekiranya masyarakat faham kepentingan koperasi dalam meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Penganjuran program seperti seminar, kolokium serta bicara ilmu yang menyasarkan para usahawan dan koperator sebagai audiens juga merupakan salah satu kaedah dalam mendidik masyarakat tentang ilmu berkoperasi mengikut peredaran zaman. Sebagai contoh, hangat diperkatakan tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan kehidupan manusia pada masa kini. Justeru, institusi koperasi tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini dalam pentadbiran mereka. Melalui IKMa, anggota koperasi dan para usahawan dapat manfaat dengan menghadiri kursus-kursus terkini dengan kadar yang sangat berpatutan. Hal ini bagi menggalakkan percambahan ilmu dalam kalangan koperator dan usahawan agar tidak ketinggalan dan dapat mengadaptasi ilmu baharu ke dalam koperasi masing-masing.

Merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030

Hasrat untuk melahirkan lebih ramai golongan usahawan ini didukung oleh Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang diperkenalkan sebagaisatu panduan untuk menyediakan kerangka atau ekosistem yangholistik untuk pembangunan keusahawanan di Malaysia. DKN 2030 menggariskan lima objektif utamanya iaitu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan, membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan, meningkatkan bilangan usahawan negara yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran globaldan kompetitif, mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi dan yang kelima ialah menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Melihat pada objektif yang ditekankan dalam DKN 2030, Malaysia komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan menjelang tahun 2030. Malah, kerjaya sebagai usahawan merupakan salah satu kerjaya penting yang diberi perhatian oleh kerajaan menerusi DKN 2023 yang dibangunkan ini. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan aspirasi ke arah pencapaian DKN 2030, ilmu tentang keusahawanan sangat penting. Disebabkan itulah wujudnya pelbagai agensi seperti IKMa, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan beberapa buah agensi lain untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan di Malaysia.

Bahkan, kewujudan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang dimiliki oleh IKMa membuktikan bahawa kerajaan serius dalam melahirkan lebih ramai graduan yang celik keusahawanan dan koperasi. UKKM merupakan universiti pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada bidang koperasi dan diwujudkan bagi melahirkan modal insan yang profesional dan kompeten dalam bidang keusahawanan.

UKKM telah mendapat kelulusan penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 28 Mac 2022. Antara objektif penubuhan UKKM termasuklah melahirkan tenaga mahir dan profesional dalam bidang pengurusan perniagaan di samping mengoptimumkan sumber melalui penggunaan kepakaran bersama antara agensi. di bawah KUSKOP yang disatukan di bawah universiti. Di samping itu, hal ini juga untuk menghasilkan standard pendidikan yang bercirikan keusahawanan koperasi di Malaysia. UKKM juga diwujudkan bagi mencapai objektif melahirkan barisan kepimpinan dan pengurusan koperasi yang berwibawa, profesional dan berwibawa untuk tempoh jangka panjang.

Memasyarakatkan Budaya Keusahawanan Koperasi

Dalam usaha memasyarakatkan budaya keusahawanan, masyarakat pada hari ini perlu diterapkan dengan nilai-nilai keusahawanan sejak  kecil. Amalan berkoperasi sememangnya telah wujud sejak zaman sekolah lagi. Buktinya, koperasi sekolah giat menjalankan aktiviti perniagaan barangan sekolah seperti buku, alat tulis, baju sukan dan sebagainya yang dijalankan oleh pelajar sekolah. Namun, budaya keusahawanan tersebut tidak dipraktikkan oleh semua pelajar dan ia terhenti sekadar aktiviti berjual beli sahaja.

Oleh itu, bagi memastikan hasrat Malaysia sebagai salah sebuah negara keusahawanan yang unggul, budaya keusahawanan dan berkoperasi perlu dititikberatkan sejak di bangku sekolah. Memperbanyakkan program perniagaan dalam pembelajaran dapat membantu para pelajar untuk berjinak dengan ilmu keusahawanan koperasi. Subjek keusahawanan dan koperasi perlu diperkenalkan agar institusi pendidikan koperasi dapat diperluaskan seterusnya dimartabatkan. Menerusi penerapan nilai keusahawanan kepada para pelajar, hal ini dapat membentuk pelajar sebagai pencipta kerja yang berpotensi dan bukan sekadar pencari kerja. Justeru, para pelajar dapat membudayakan kemahiran inovasi dalam kehidupan sebagai usahawan berjaya pada masa hadapan.

Malah, menerusi programHari Koperasi Negara yang diadakan pada setiap tahun perlu dipromosikan dengan lebih meluas agar masyarakat dapat mengenali dengan lebih dekat tentang koperasi. Penganjuran program sebegini harus diketengahkan lagi agar dapat menarik bukan sahaja masyarakat tempatan, tetapi juga masyarakat luar. Aktiviti sebegini dipercayai dapat menggalakkan dan menyemai semangat keusahawanan dan berkoperasi yang tinggi khusus kepada masyarakat.

Keusahawanan dan koperasi saling berkaitan rapat antara satu sama lain. Melalui koperasi, ilmu keusahawanan dapat dicipta.Usaha masyarakat untuk memartabatkan institusi pendidikan keusahawanan koperasi juga perlu diambil kira. Inisiatif kerajaan dalam membantu mendidik masyarakat tentang ilmu keusahawanan koperasi tidak boleh diperkecil. Masyarakat perlu cakna dan menyokong penuh dasar-dasar serta inisiatif yang dibangunkan oleh kerajaan bagi memastikan agenda transformasi pemikiran keusahawanan koperasi dapat digagaskan. Akhirnya, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030 dapat dicapai dengan jayanya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.