Oleh Hafizul Osman
6 Mei 2024, 18:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang Mei 2024, kalendar bola sepak Malaysia kian rancak apabila saingan bola sepak Liga Super bakal membuka tirai aksinya pada 10 Mei 2024. Seperti tahun sebelumnya, perlawanan Liga Super akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Untuk edisi ke-39 ini, juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim F.C. akan berentap menentang Naib Juara Liga Super 2023, Selangor F.C. di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. Perlawanan ini merupakan antara perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tempatan kerana menemukan dua kelab bola sepak terbaik di Malaysia, baik dari segi kekuatan pasukan mahupun sejarah yang dimiliki oleh kedua-dua kelab itu.

Penaja rasmi Kejohanan Liga Super pada tahun ini.

Menyoroti sejarah Liga Super, kejohanan liga bola sepak ini bermula pada tahun 2004 bagi menggantikan Liga Perdana 1. Seperti mana kejohanan liga bola sepak di negara lain, Liga Super merupakan liga divisyen pertama yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada ketika itu sebelum disusuli oleh Liga Premier yang menjadi liga divisyen kedua. Sebanyak lapan pasukan menyertai edisi pertama Liga Super yang dipilih melalui kedudukan pasukan dalam Liga Perdana 1 bagi tahun 2003. Pasukan Pahang yang ketika itu diberikan nama jolokan Real Madrid Malaysia telah berjaya menggondol kejuaraan pertama liga itu.

Liga Super terus mengalami perubahan apabila bilangan pasukan yang bertanding dalam liga itu bertambah. Sebanyak 12 hingga 14 pasukan pernah bertanding dalam Liga Super dan jumlah itu berubah-ubah setiap tahun. Untuk musim 2024/2025, sebanyak 13 kelab akan bersaing bagi merebut kejuaraan liga ini.

Sejak tahun 2014, Johor Darul Ta’zim F.C. telah menjadi “raja bola sepak” Malaysia apabila berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super selama 10 edisi berturut-turut sehingga tahun 2023. Kekuatan yang dimiliki oleh kelab ini kelihatan seperti sukar ditandingi oleh kelab lain untuk musim baharu ini. Kelab seperti Selangor F.C., Terengganu F.C., Sabah F.C. dan Kedah Darul Aman F.C. dilihat mampu menjadi pencabar sekali lagi seperti mana yang berlaku dalam edisi sebelum ini.

Sejajar dengan perubahan kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bakal menganjurkan kejohanan Liga Juara-juara Elit AFC (AFC Champions League Elite) dan Liga Juara-juara AFC 2 (AFC Champions League 2) bermula bulan September 2024 hingga bulan Mei 2025, pihak Malaysian Football League (MFL) yang mengendalikan saingan liga bola sepak profesional di Malaysia telah mengubah kalendar bola sepak Malaysia bermula bulan Mei 2024 hingga pertengahan tahun 2025. Hal ini bagi membolehkan kelab Johor Darul Ta’zim F.C. dan Selangor F.C. yang mewakili Malaysia dapat memberi tumpuan dalam dua kejohanan kelab Asia itu.

Saban tahun, isu tunggakan gaji pemain dan staf kelab bola sepak terus menjadi “barah” dalam kancah bola sepak Malaysia. Sebelum liga musim 2024/2025 bermula, kelab Kelantan F.C. tidak diberikan lesen kebangsaan oleh pihak MFL. Setiap tahun, pihak MFL akan menilai keupayaan kewangan setiap kelab yang bersaing dalam Liga Super sebelum diberikan lesen kebangsaan untuk bersaing dalam liga pada musim seterusnya. Kelantan F.C. dilihat gagal meyakinkan pihak MFL untuk diberikan lesen kebangsaan selain masalah tunggakan gaji pemain dan staf yang dihadapi oleh kelab itu ketika liga musim 2023. Jika sebelum ini kelab Melaka United dan Sarawak United tidak diberikan lesen kebangsaan dan digugurkan daripada saingan Liga Super 2023, begitu juga yang berlaku kepada Kelantan F.C.

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Kelantan F.C. telah memberikan peluang kepada kelab-kelab yang bertanding dalam Liga M3 2023 untuk menghantar permohonan kepada MFL bagi menyertai Liga Super 2024/2025. Liga M3 merupakan liga semi-profesional yang dianjurkan oleh Amateur Football League Malaysia (AFL) sejak tahun 2023. Liga ini merupakan liga divisyen tiga yang dianjurkan bagi membuka peluang kepada pasukan-pasukan bertaraf semi-profesional dan amatur untuk mengetengahkan bakat-bakat yang ada.

Kelab Imigresen F.C., Kuala Lumpur Rovers F.C., Harini FTdan Perlis United merupakan empat kelab Liga M3 2023 yang menghantar penyertaan kepada pihak MFL bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi beraksi dalam Liga Super. Namun begitu, ketiadaan liga divisyen dua seperti Liga Premier yang kebiasaannya menjadi liga perantara antara liga profesional dan liga semi profesional menyebabkan permohonan keempat-empat kelab ini ditolak oleh pihak MFL. Apabila tiadanya satu liga divisyen dua, pasukan yang berjaya mendapat kedudukan terbaik dalam Liga M3 tidak mempunyai satu platform untuk membiasakan diri dengan saingan liga profesional. Saingan Liga Super dilihat terlalu sukar untuk kelab ini memberikan saingan kepada kelabyang sudah lama berkecimpung dalam liga itu seperti Johor Darul Ta’zim F.C., Perak F.C. dan Sri Pahang F.C.

Ketiadaan pengganti Kelantan F.C. telah menyebabkan pihak MFL mengurangkan kelab yang bertanding kepada 13 kelab untuk musim 2024/2025. Selain kelab Pantai Timur itu, kelab lain seperti Kedah Darul Aman F.C., Kuala Lumpur City F.C., Negeri Sembilan F.C. dan Sabah F.C. turut terpalit dengan masalah tunggakan gaji pemain dan staf. Namun, keempat-empat kelab ini telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan bakal mewarnai aksi Liga Super kali ini.

Sejak awal Mac lalu, semua kelab telah memulakan aksi pra-musim dengan mengadakan pelbagai kejohanan pra-musim dan perlawanan persahabatan. Ada kelab yang berkelana ke luar negara, ada kelab yang menentang kelab-kelab Asia Tenggara seperti kelab dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand dan ada kelab yang menentang sesama sendiri sebagai persediaan mendapatkan kecergasan perlawanan (match fitness) dan keserasian taktikal.

Dengan persediaan yang rapi oleh setiap kelab ini diharapkan saingan Liga Super 2024/2025 bakal merancakkan lagi saingan bola sepak tempatan. Peminat sukan bola sepak tanah air juga akan dapat melihat sama ada kelab Johor Darul Ta’zim F.C. mampu atau tidak untuk mencipta satu lagi sejarah mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut. Selain itu, saingan ini bakal menjadi lubuk kepada jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memilih kalangan pemain terbaik bagi mewakili pasukan kebangsaan Malaysia. Malaysia akan menghadapi pasukan kebangsaan Kyrgyzstan dan Taiwan dalam saingan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan Jun 2024 kelak.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.