Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMendidik akal murid dan pelajar ke arah kecerdikan dan kebijaksanaan menjadi tugas guru di sekolah bagi menyambung tugas ibu bapa di rumah. Manusia merupakan sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Maha Pencipta. Hal ini demikian kerana manusia dilengkapi dengan akal fikiran serta minda yang cerdas bagi mempelajari ilmu pengetahuan. Akal yang cerdik akan melahirkan budi yang baik.
Konsep murid pula melibatkan mereka yang belajar di sekolah rendah. Manakala pelajar merupakan mereka yang belajar di sekolah menengah. Di sekolah rendah, pendidikan perkembangan akal diasuh dan dididik oleh para guru. Manakala di sekolah menengah akal digunakan untuk kemahiran berfikir ke arah kebijaksanaan dan kematangan dengan berfikiran secara positif.
Kini, guru sebagai pendidik dan pengajar di sekolah terus memainkan peranan dengan mendidik akal budi murid dan pelajar dalam era digital dengan seimbang. Murid dan pelajar dididik dengan seimbang dan menyeluruh bagi mengembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke tahap kesempurnaan.
Akal dapat membezakan antara manusia dengan haiwan. Ibu bapa berperanan mendidik akal anak-anak di rumah melalui perlakuan, contoh teladan dan juga percakapan bagi membentuk akal budi yang sempurna. Banyak murid dan pelajar yang cerdik tetapi tidak berakal, yakni tidak mampu berfikir ke arah kebijaksanaan dan kematangan.
Dalam era digital, pendidikan akal budi dan proses pendidikan digital sentiasa diseimbangkan bagi memacu murid dan pelajar menuju kebijaksanaan dan kematangan dalam kehidupan. Tiada keseimbangan dalam kehidupan jika seseorang itu mempunyai akal budi yang baik dan beradab tetapi tidak memahami peranan dan tugas seseorang dalam era digital.
Dasar Pendidikan Digital (DPD) merupakan kesinambungan Sekolah Bestari yang menekankan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai dengan menggunakan teknologi digital secara kreatif, inovatif dan beretika.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merangka DPD yang dapat mengoptimumkan potensi murid dan pelajar untuk menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap berkaitan dengan teknologi serta literasi digital. Hal ini sering dikaitkan dengan hasrat KPM untuk melahirkan murid dan pelajar yang holistik, seimbang, dinamik, tangkas, fleksibel dan adaptif dalam mendepani keperluan dan cabaran kehidupan masa hadapan.
Usaha ini akan melahirkan generasi celik komputer dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan ekonomi digital, selain melahirkan bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif.
Manusia yang berakal sentiasa mengingati dan memahami siapa Pencipta-Nya dan tugasnya apabila dilahirkan ke dunia ini. Manusia yang beragama ialah manusia yang berakal. Kata-kata ini sangat penting bagi setiap manusia, iaitu “Agama itu akal, tidak ada agama bagi siapa yang tidak berakal”.
Islam menyarankan peranan akal kepada manusia, iaitu akal berperanan untuk mempertingkatkan iman dan amal. Akal memandu manusia supaya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Agama lain juga mementingkan pendidikan akal ke arah kebaikan hidup di dunia.
Murid dan pelajar yang berakal tentu dapat membezakan antara yang hak dengan batil. Inilah kekuatan akal yang waras yang dapat berfikir secara bijaksana. Kata-kata bijak pandai mengatakan “Akal itu laksana payung yang tidak berguna kalau tidak terbuka”. Oleh itu, selalulah berfikiran terbuka dengan menerapkan minda yang positif. Hal ini memerlukan pendidikan secara berterusan dari sekolah rendah dan menengah. Tugas guru dalam mendidik akal budi dan mengajar ilmu pengetahuan melalui pelajaran di sekolah amat penting.
Guru masih berperanan penting sebagai pendidik dan pengajar di sekolah dalam usaha mendidik akal budi dan proses digital kepada murid dan pelajar. Pendidikan yang seimbang dapat membentuk murid dan pelajar berpotensi tinggi dalam kehidupan.
Islam mengharamkan perbuatan yang boleh merosakkan akal seperti minum arak, menagih dadah atau makan benda yang memabukkan. Pengharaman ini bertujuan untuk mengawal segala keburukan yang menjurus kepada perbuatan dan tindakan manusia yang boleh merosakkan akal.
Seterusnya dengan akal kita dapat membentuk manusia menjadi makhluk yang istimewa daripada makhluk lain. Dalam hal ini, perlunya usaha untuk meningkatkan daya fikir manusia supaya mereka berfikir, berusaha dan mereka cipta sesuatu yang boleh meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Ilmu sangat penting bagi setiap manusia tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana ilmu mampu meningkatkan daya berfikir serta dapat membantu kita untuk melakukan perubahan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat. Tanpa akal yang bijaksana dan seimbang, manusia tidak mampu berfikir dengan waras.
Adab berfikir perlu berlandaskan beberapa buah sumber. Antaranya termasuklah sumber wahyu dan syariat Islam, kemampuan akal adalah terbatas kerana tidak dapat menjangkaui perkara ghaib selain yang diberitahu dalam wahyu. Selalulah membaca dan berfikir serta mencari jawapan daripada apa-apa yang dibaca bagi mendidik akal yang bijaksana dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Akal fikiran dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk. Kajian saintifik membuktikan bahawa penerokaan bidang ilmu yang praktikal adalah melalui kecerdikan akal. Kemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan akal yang cerdas mampu melahirkan murid dan pelajar yang seimbang dalam kehidupan.
Maklumat dan fakta yang tepat merupakan disiplin ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada setiap manusia. Matlamat yang jelas dengan berfikir secara lebih fokus dan terancang juga dapat dimanfaatkan melalui akal yang bijaksana. Dalam era digital, peranan guru memandu murid dan pelajar ke arah mencari maklumat yang betul, tepat dan sahih.
Cara berfikir yang betul adalah mengetahui batas dan kemampuan akal, mengetahui tujuan berfikir, mengetahui cara mencapai matlamat, mengetahui risiko yang akan berlaku, dan akhir sekali mengetahui perkara yang difikirkan.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga memerlukan akal yang sihat dan bijaksana dalam menjawab soalan peperiksaan. Hal ini akhirnya dapat diterjemahkan dalam kehidupan seseorang pada masa depan dengan penuh kebijaksanaan. Kemahiran berfikir merupakan cerminan kecekapan menggunakan akal dan menjalankan proses pemikiran dalam kehidupan.
Antara hikmah berfikir termasuklah mampu memantapkan keimanan seseorang agar sabar menghadapi dugaan sehingga berjaya di dunia dan di akhirat. Manusia juga dapat berfikir sebagai usaha ke arah kehidupan yang aman dan sejahtera di dunia dan mampu melaksanakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kehidupan.
Murid dan pelajar yang terdidik oleh guru dengan akal budi dan disiplin ilmu mampu memberikan inspirasi dan manfaat kepada manusia lain dalam melaksanakan tugas seharian dengan lebih baik dan berkesan. Seseorang itu akan dihormati dan disanjung oleh masyarakat kerana ilmu dan buah fikiran yang diberikan memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.
Murid dan pelajar yang berakal bijaksana sentiasa proaktif dan berdaya maju kerana akal fikiran yang baik mampu menggunakan peluang yang ada secara cermat dan terancang. Murid dan pelajar boleh menyelesaikan masalah dengan cepat kerana mempunyai akal fikiran yang cepat dan memberikan tindak balas dengan alasan dan bukti yang kukuh.
Seterusnya melalui akal membolehkan seseorang menceburi bidang-bidang baharu yang bermanfaat dan berdaya saing dalam lapangan yang diceburinya. Dalam hal ini, seseorang itu dapat menghindarkan diri daripada segala unsur khurafat yang merosakkan akidah, sekali gus menghindari unsur negatif yang mengancam keamanan negara. Akal budi yang baik dapat membentuk peribadi yang cantik.
Proses pendidikan berterusan akan membina akal yang cerdik dan dapat berfikir dengan baik dan bijaksana. Memetik kata-kata M. Luther King, “Perkara yang bertentangan dengan akal, tentu bertentangan pula dengan Tuhan”. Menurut tokoh Falsafah Yunani, Socrates, akal itu tidak lain daripada alat bagi mencari kebenaran dan kenyataan.
Begitulah peranan akal yang telah dididik di rumah oleh ibu bapa dan di sekolah oleh para guru bagi mencari kehidupan yang bahagia dan sempurna di dunia dengan berbekalkan ilmu pengetahuan sesuai dengan era digital.
Oleh itu, sebagai murid dan pelajar, gunakanlah akal secara bijak supaya dapat memanfaatkan kehidupan di dunia dan di akhirat. Kekuatan akal akan menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi ini untuk memakmurkan alam, negara dan kehidupan masyarakat pada masa depan.
Akal yang sihat dan waras adalah suatu nikmat. Hijrah akal kepada berakal dan berfikir ke arah kebaikan menjadikan manusia lebih positif, bijaksana dan sentiasa mencari perubahan ke arah kejayaan dalam hidup.
Cerdik pandai ada menyatakan, “Orang berakal percaya pada pekerjaannya, tetapi orang bodoh percaya pada angan-angannya.” Begitulah kekuatan akal yang boleh memandu dan menjadi cahaya ke arah kemajuan hidup.
Sebagai ibu bapa, didiklah akal anak-anak ke arah berfikiran positif dan cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan serta kehidupan. Manakala, sebagai guru pula melalui Pengajaran dan Pemudah Cara (PdPc) di sekolah juga dapat mendidik akal murid dan pelajar ke arah kecemerlangan dengan akal budi yang baik dan mampu menguasai teknologi digital.
Oleh itu, sebagai murid dan pelajar, peliharalah akal supaya sentiasa sihat, jauhi segala perkara yang boleh merosakkan akal seperti minuman keras, penagihan dadah dan sebagainya.
Akhirnya, guru boleh menasihati murid dan pelajar bahawa kesihatan yang baik pada tubuh seseorang akan menyumbang kepada akal yang cerdas, cerdik dan bijaksana. Inilah pesanan yang terbaik dan berkesan untuk murid dan pelajar di sekolah rendah dan menengah yang seharusnya selalu disampaikan dan diingatkan oleh para guru.