Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKarya yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan atau artifical intelligence (AI), juga disebut sebagai Generative AI (GA) semakin menjadi perhatian dalam dunia hak cipta. Perkembangan teknologi AI memungkinkan penciptaan karya seni, muzik, sastera, penulisan dan apa-apa jua rekaan karya kreatif dengan mudah dan cepat. Hal ini menimbulkan pertanyaan tentang siapa yang seharusnya memiliki hak cipta atas karya ini?
Secara tradisional, hak cipta diberikan kepada pencipta karya. Namun begitu, dalam konteks AI, penciptaan karya tidak melibatkan campur tangan manusia secara langsung. Keterlibatan manusia dalam penciptaan ini terhad sebagai pembantu atau pihak yang mengaturkan arahan “prompter” dalam menghasilkan karya dengan menggunakan teknologi tersebut. Persoalan terhadap pemilikan karya hak cipta ini adalah, “Apakah AI boleh dianggap sebagai “pencipta” karya” dan “Adakah karya Generative AI itu sendiri memenuhi syarat untuk memiliki hak cipta?”
Dalam membincangkan perkara ini, lebih tepat jika penulis membawakan kepada pembaca tentang definisi Generative AI di bawah World Intellectual Property Organization (WIPO) melalui majalah Generative AI: Navigating Intellectual Property. Dalam persoalan ini, WIPO menjelaskan Generative AI dalam gambaran menyeluruh sebagai:
…tools can create new content, such as text, computer code, images, audio, sound, and video, in response to a user’s prompt, such as a short, written description of the desired output. Current examples of generative AI tools include ChatGPT, Midjourney, Copilot and Firefly. Generative AI is based on machine learning and generative AI tools are trained using enormous amounts of data, often including billions of pages of text or images. Depending on the approach of the AI tool developer, training data sets may consist of freely available, unencumbered information (pure data), protected data (such as copyright protected works) or a mixture of both. The trained AI tool is then prompted by human input which triggers a complex series of often billions of calculations that determine the output. It is generally not possible to predict the output or determine whether and to what extent certain parts of the training data influence the output produced.
Secara ringkasnya, WIPO mentakrifkan Generative AI sebagai alat yang boleh mencipta kandungan baharu sebagai respons kepada arahan “prompt” pengguna, seperti teks, kod komputer, imej, audio, dan video. Alat ini dilatih menggunakan jumlah data yang besar dan berdasarkan pembelajaran mesin. Output yang dihasilkan oleh Generative AI dipicu dan dipandu oleh input manusia. Walau bagaimanapun, pengaruh data latihan terhadap output (penciptaan karya) tersebut sering kali tidak dapat meramalkan pengakhiran karya tersebut yang akan dihasilkan.
Di Malaysia, isu hak cipta berkaitan dengan karya yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan menjadi semakin penting. Undang-undang hak cipta di Malaysia mungkin perlu diselaraskan dengan perkembangan teknologi AI untuk menjawab persoalan pemilikan hak cipta atas karya-karya yang dihasilkan oleh AI. Sebagai contohnya, definisi “pencipta” dalam undang-undang hak cipta perlu diperluaskan untuk mencakupi karya-karya yang dihasilkan oleh AI, dan bagaimana hak cipta ini harus diperlakukan dan diterjemahkan melalui Akta Hak Cipta 1987 dari segi pemilikan dan perlindungan.
Bolehkah Karya Generative AI Mendapat Perlindungan Hak Cipta?
Untuk menentukan jika karya Generative AI boleh dilindungi hak cipta atau tidak, terdapat beberapa faktor perlu dipertimbangkan. Pertama, adakah karya tersebut memenuhi syarat-syarat asal keaslian atau dikenali sebagai “originality” yang diperlukan di bawah undang-undang hak cipta, walaupun karya tersebut dicipta secara automatik oleh AI? Di bawah perundangan undang-undang Hak Cipta, apabila menyebut tentang keaslian karya Generative AI, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pakar undang-undang.
Di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, syarat keaslian tidak memerlukan tahap kreativiti manusia yang signifikan tetapi sebaliknya hanya menetapkan bahawa karya itu merupakan hasil usaha intelektual yang asli pencipta serta memerlukan sedikit elemen kreativiti bagi melayakkan karya tersebut mendapat perlindungan hak cipta.
Di United Kingdom, kriteria keaslian dalam undang-undang hak cipta tidak memerlukan tahap kreativiti yang tinggi. Undang-undang hak cipta di sana menyatakan bahawa karya yang dihasilkan perlu mempunyai “sentuhan kreatif” yang mencerminkan usaha intelektual. Hal ini bermakna walaupun karya itu dicipta secara automatik oleh Generative AI tanpa campur tangan manusia dalam setiap langkah, karya itu masih boleh dianggap sebagai asli dan layak dilindungi di bawah undang-undang hak cipta United Kingdom.
Di Malaysia, pendekatan terhadap syarat keaslian dalam undang-undang hak cipta khususnya di bawah Seksyen 7, Akta Hak Cipta 1987 juga tidak memerlukan tahap kreativiti yang tinggi. Akta Hak Cipta 1987 menyatakan bahawa karya yang dilindungi hak cipta adalah karya yang dihasilkan oleh usaha intelektual yang asli daripada pencipta. Walau bagaimanapun, dalam konteks penciptaan karya Generative AI, terdapat persoalan tentang tahap campur tangan manusia yang diperlukan untuk memenuhi syarat keaslian. Dalam perbincangan di atas, walaupun karya tersebut dihasilkan secara automatik oleh AI, namun keputusan yang dibuat semasa pembangunan dan penghasilan AI dan penentuan parameter yang digunakan untuk mencipta karya masih perlu dikaitkan dengan keputusan manusia.
AI sebagai Pemilik Generative AI
AI sebagai pemilik Generative AI ialah suatu perkara yang baharu dan tidak pernah terjadi di mana-mana negara sebelum ini. Dalam undang-undang hak cipta global, secara tradisi, pemilik hak cipta ialah individu atau entiti manusia yang mencipta karya tersebut. Namun begitu, apabila dunia memasuki era AI dan digital, persoalan siapa yang sebenarnya memiliki hak cipta tidak terhad lagi kepada manusia semata-mata.
Di beberapa negara, terdapat usaha untuk mengiktiraf individu bukan manusia seperti binatang sebagai pemilik hak cipta. Contohnya, mahkamah di Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa haiwan tidak boleh memiliki karya hak cipta. Terkini, dalam kes mahkamah Stephen Thaler vs US Copyright Office, Stephen Thaler menggunakan sistem AI yang dipanggil Creativity Machine untuk menghasilkan pelbagai karya seni, termasuk muzik dan lukisan. Stephen Thaler mendakwa bahawa Creativity Machine (entiti bukan manusia) ialah pencipta sebenar karya tersebut dan memohon untuk mendapat hak cipta atas karya-karya tersebut atas nama Creativity Machine. Pejabat Hak Cipta Amerika Syarikat walau bagaimanapun menolak permohonan hak cipta Stephen Thaler dan menyatakan bahawa hak cipta hanya boleh diberikan kepada “orang yang hidup”. Oleh itu, Creativity Machine tidak memenuhi syarat sebagai pemilik hak cipta.
Kes Stephen Thaler ini secara langsung menunjukkan cabaran dan kepelbagaian isu-isu yang timbul apabila berhadapan dengan persoalan tentang pemilikan hak cipta atas karya yang dihasilkan oleh AI. Meskipun hak cipta untuk karya AI seperti yang dihasilkan oleh Creativity Machine mungkin masih belum jelas dalam beberapa undang-undang hak cipta, kes ini memperlihatkan keperluan meneliti dan memahami peraturan hak cipta yang relevan dalam konteks teknologi AI.
Di Malaysia, isu hak cipta berkaitan dengan pemilikan karya yang dihasilkan oleh AI juga belum diatur secara khusus. Akta Hak Cipta 1987 menyatakan bahawa hak cipta diberikan kepada pencipta karya yang memenuhi syarat-syarat hak cipta. Namun begitu, definisi “pencipta” tidak menyentuh secara langsung tentang AI. Oleh itu, belum ada keputusan mahkamah atau undang-undang yang secara khusus yang mengiktiraf AI sebagai pemilik hak cipta. Perkara ini menimbulkan cabaran untuk menentukan siapa yang sepatutnya memiliki hak cipta atas karya yang dihasilkan oleh AI di Malaysia.
Status Perbincangan pada Peringkat Antarabangsa
Pada peringkat antarabangsa, terdapat perbincangan yang sedang berlangsung tentang status hak cipta bagi karya yang dihasilkan oleh AI melalui sesi dialog, The WIPO Conversation on Intellectual Property and Artificial Intelligence yang berlangsung baru-baru ini pada 15 Mac 2024 di Geneva, Switzerland. Antara isu utama yang sedang dibincangkan termasuklah:
Dalam menjawab persoalan ini, perlu dipertimbangkan beberapa aspek yang sedang dibincangkan pada peringkat antarabangsa. Pertamanya, berkaitan dengan pemilik hak cipta. Beberapa buah negara dan pertubuhan antarabangsa seperti Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) sedang mengkaji sama ada AI boleh diiktiraf sebagai pemilik hak cipta. Beberapa pendapat mengatakan bahawa pemilik AI atau pembuat AI sepatutnya menjadi pemilik hak cipta, sementara yang lain berpendapat bahawa hak cipta sepatutnya diberikan kepada individu atau entiti yang mengawal AI tersebut.
Kedua, berkaitan dengan kriteria keaslian karya hak cipta. Pendapat mengatakan karya yang dihasilkan oleh AI tidak memenuhi ciri-ciri keaslian kerana karya tersebut tidak kreatif dan dihasilkan dengan hanya pengumpulan data serta penciptaan karya secara sistematik melalui “Big Data”. Oleh yang demikian, tiada usaha dan keputusan yang dilaburkan atas penghasilan tersebut.
Ketiga, berkaitan dengan perlindungan hak cipta. Undang-undang hak cipta perlu diselaraskan dengan perkembangan teknologi AI untuk memastikan karya yang dihasilkan oleh AI mendapat perlindungan yang sewajarnya. Hal ini bermakna, persoalan sama ada karya tersebut layak atau tidak mendapat perlindungan hak cipta sepatutnya lebih tertumpu kepada sama ada karya Generative AI wajar dilindungi ataupun tidak.
Keempat, berkaitan dengan kebertanggungjawaban. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab jika terdapat pelanggaran hak cipta yang melibatkan karya yang dihasilkan oleh AI? Beberapa pihak berpendapat bahawa pemilik atau pembuat AI seharusnya bertanggungjawab, sementara yang lain berpendapat bahawa pengguna karya AI juga perlu dipertanggungjawabkan. Pada pendapat peribadi penulis, seharusnya pihak yang mencipta teknologi penghasilan Generative AI dipertanggungjawabkan dalam perkara ini.
Cadangan Penggubalan kepada Perundangan Sedia Ada
Dalam konteks cadangan penggubalan kepada perundangan sedia ada di bawah undang-undang hak cipta berkaitan dengan karya yang dihasilkan oleh AI, terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan merujuk kepada perbincangan sebelum ini. Antaranya termasuklah:
Dengan mempertimbangkan aspek ini, cadangan penggubalan kepada perundangan sedia ada dan tidak terhad kepada Akta Hak Cipta 1987 boleh membantu menyelaraskan undang-undang dengan perkembangan teknologi AI serta memastikan hak pemilik hak cipta dilindungi dengan sewajarnya.
Hala Tuju
Hala tuju dalam isu hak cipta berkaitan dengan karya yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan perlu mengambil kira beberapa faktor penting. Beberapa cadangan hala tuju yang boleh dipertimbangkan termasuklah:
Hala tuju ini diharapkan dapat mencapai penyelesaian yang terbaik dalam mengurus isu hak cipta yang berkaitan dengan AI dan memastikan perkembangan teknologi ini memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat secara amnya.
Kredit foto: Hitesh Choudhar | Unsplash