Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenjelang sambutan Hari Belia Negara (HBN) pada 15 Mei 2024, penulis ingin mengimbau kembali usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek pada 19 Ogos 2023. Pelancaran modul tersebut bertujuan untuk membolehkan guru dan pelajar memahami serta menghayati nilai dan pengajaran baik yang terkandung di dalam himpunan hadis tersebut. Sebaik-baik sahaja dilancarkan, modul tersebut mendapat tentangan daripada beberapa parti politik dan NGO bukan Islam.
Hal ini demikian kerana mereka risau sekiranya modul tersebut menjejaskan kerukunan pelbagai kaum ataupun hak mereka sebagai penganut agama lain di Malaysia. Pada hakikatnya, penganut agama lain seharusnya bersyukur dan berlapang dada kerana ajaran yang baik akan menghasilkan individu yang berakhlak serta menghormati hak serta keperluan individu lain. Walau bagaimanapun, kerisauan terhadap modul ini perlu disusuli dengan pencerahan dari pelbagai pihak yang faham dan arif tentang modul hadis 40 ini. Maklumat yang salah pasti akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat yang kurang faham, termasuklah juga kepada mereka yang beragama Islam.
Perkara yang ingin diketengahkan oleh YB Fadhlina Sidek merupakan satu aspirasi murni bagi melahirkan generasi Islam yang jelas dan faham akan agama yang dianuti. Perkara ini tidak seharusnya menjadi kebimbangan kepada penganut agama lain kerana kefahaman yang jelas berkaitan dengan agama yang dianuti akan melahirkan generasi muda yang cakna dengan keperluan mereka yang berbeza dan peka terhadap perubahan alam sekitar. Modul hadis 40 yang dibangunkan ini adalah selari dengan saranan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi untuk diedarkan ke seluruh sekolah.
Perkara ini mengingatkan penulis tentang perkara yang dibincangkan oleh penulis bersama-sama rakan berlainan agama sewaktu penulis kembali dari England selepas melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah falsafah. Kami berbincang mengenai kefahaman agama yang dangkal akan melahirkan pelampau (extremist) dan pengganas (terrorist) yang berbahaya kepada negara. Walau agama apa pun yang dianuti oleh seseorang, kita perlu mendapat kefahaman yang betul tentang agama yang dianuti. Hal ini bagi memastikan mereka tidak terpesong dari ajaran agama yang kebanyakannya mempunyai nilai sepunya dan bermatlamatkan kebaikan serta nilai murni.
Dalam konteks Hadis 40, ada menyebut, “Tidak beriman di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri dan hampir tiga suku daripada 40 hadis tersebut mengetengahkan tentang akhlak baik. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Dalam hadis ini menerangkan perasaan dengki, marah, tidak amanah dalam urusan seharian serta memutuskan silaturahim amat ditegah. Perasaan dengki dan marah juga dikenali sebagai sifat mazmumah (sifat tercela) yang perlu dibersihkan dari diri. Dari sudut psikologi barat, Sigmund Freud menjelaskan bahawa sifat negatif ini dikenali sebagai Thanatos yang membawa maksud unsur kematian dan menghancurkan. Sekiranya sifat ini dibiarkan tanpa kawalan boleh membawa kerosakan kepada diri individu tersebut.
Hadis seterusnya menyentuh tentang keperluan membantu dan sensitif terhadap keperluan orang lain untuk mendapatkan balasan yang baik hasil daripada perbuatan baik tersebut: Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan dunia, nescaya Allah SWT akan memudahkan kesulitan di hari kiamat dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan nescaya Allah SWT akan mudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Dari segi psikologi, secara alaminya manusia akan berada dalam keseimbangan atau homeostasis apabila tingkah laku mereka selari dengan tujuan mereka dijadikan. Manusia secara fitrah juga mengharapkan tingkah laku baik di balas dengan baik sepertimana yang diketengahkan di dalam hadis ini. Kefahaman dan penterjemahan hadis ini dapat membentuk karakter individu yang seimbang. Oleh itu, kefahaman berkaitan dengan akhlak yang baik sejak peringkat awal kanak-kanak dapat membantu mereka membuat pilihan yang baik dalam kehidupan mereka kelak.
Pembentukan modul hadis 40 juga bertujuan untuk memperkukuh Rukun Negara yang pertama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Empat teras Rukun Negara yang lain juga selaras dengan modul yang dirangka dan harus diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku. Antara karakter yang boleh diterjemahkan termasuklah tingkah laku saling membantu dan saling menghormati antara individu merentas kepercayaan dan warna kulit, menjaga dan mendahulukan hubungan silaturahim berbanding dengan kepentingan diri, beradab sopan dalam menyampaikan idea ataupun hujah serta berdisipin dalam melaksanakan setiap amanah yang diberikan. Contoh karakter tersebut boleh dihasilkan daripada pemahaman masyarakat terhadap modul tersebut yang turut terkait dengan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Kepercayaan tanpa pembuktian tidak akan menghasilkan jiwa yang merdeka. Oleh itu, guru yang memberikan didikan kepada anak-anak di sekolah perlu diberikan latihan yang mencukupi agar menjadi lebih kreatif dalam menyampaikan modul tersebut. KPM juga pasti telah menyediakan latihan yang bersesuaian untuk para guru yang bakal menyampaikan modul ini kepada para pelajar. Guru selaku pembimbing utama dalam pelaksanaan modul ini harus jelas akan objektif utama modul ini agar konsep dan nilai yang hendak disampaikan oleh guru dapat dijiwai oleh para pelajar. Selain itu, sekiranya modul ini dilaksanakan dengan baik, kita dapat memperbetul salah faham terhadap ajaran Islam dan dapat menambah baik modul ini dari semasa ke semasa.
Selain pembentukan karakter belia, Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi juga boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada para guru untuk melaksanakan aktiviti pengukuhan di dalam dan di luar bilik darjah. Modul ini diharap dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia bagi menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama yang terdapat di bumi Malaysia sekali gus membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan generasi masa hadapan.