16 Mei 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejenak mengimbas kembali soal pemilihan kerjaya pada suatu ketika dahulu, saya memilih kerjaya keguruan sebagai pilihan utama untuk mengenang jasa guru yang berjiwa malaikat. Keprihatinan mereka terhadap saya yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) sejak darjah satu pada tahun 1977 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pajam sehinggalah saya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2022 sememangnya merakamkan detik pahit dan manis yang tidak dapat dipadamkan. Semasa di darjah satu, guru kelas saya, Puan Minachi Suppiah Varathan, Puan Thanggamah Sivalinggam dan Encik Linggi Gaunder Singgaram merupakan antara insan berjiwa mulia. Begitu juga dengan Puan Jawahir Alias, Puan T. Dharmarajah dan Encik Karuppiah Santhanam di Sekolah Menengah Mantin pada tahun 1988; Dr. Suthanthiradewi J.N.J. Money di Pusat Pembelajaran Open University of Malaysia di Seremban dan Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam serta Profesor Madya Dr. Rohaidah Kamarudin dari Universiti Putra Malaysia. Barisan individu berjiwa “malaikat” ini menjadi antara insan yang merangsang saya untuk berjaya sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Bahasa Melayu.

Saya juga mengimbas kembali cara guru mengangkat murid bagaikan anak sendiri. Tiada seinci pun tindakan mereka yang boleh disalah tafsir, baik yang tegas ataupun tidak. Sebagai OKU, emosi saya sentiasa tergugat khasnya ketika diejek dan diperli oleh rakan-rakan. Ada kalanya saya terpaksa menyorokkan diri daripada penglihatan rakan semasa mengulang kaji pelajaran. Namun bergitu, saya bersyukur kerana guru-guru saya memberikan semangat untuk mara ke hadapan. Puan Jawahir sanggup menggunakan waktu rehat untuk menyemak latihan kendiri karangan dan membimbing saya untuk menambah baik mutu karangan subjek Bahasa Melayu. Puan Minachi Suppiah Varatahan dan Puan Tanggamah Sivalinggam pernah memberikan beberapa suap idli dan tose  semasa di sekolah rendah.  Lebih-lebih lagi kerana saya berasal dari keluarga penoreh getah di Gebok Estate Pajam yang serba kekurangan. Itulah antara sebab air mata saya  berlinangan setiap kali memperoleh apa jua anugerah baik dalam akademik mahupun kerjaya.

Dalam kerjaya, saya telah dianugerahi Tokoh Guru sebanyak dua kali sebagai Guru Cemerlang OKU Negeri Sembilan Tahun 2017 dan Guru Inspirasi MADANI OKU Negeri Sembilan Tahun 2023. Dengan menjunjung kasih dan rasa syukur kepada Tuhan, saya amat yakin untuk menyebut belaian kasih sayang guru-guru ini yang diibaratkan umpama titipan doa dan restu buat saya.

Sememangnya guru ibarat ibu dan bapa bagi seseorang murid di sekolah. Berkat kesungguhan ibu bapa dan guru-guru berjiwa malaikat yang membentuk saya, sikap dan peranan yang sama saya amalkan semasa mencurahkan ilmu kepada anak murid. Guru manakah yang tidak gembira sekiranya anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna kepada negara? Jiwa seorang guru sukar untuk dihitung. Terdapat juga guru yang mengejarkan anak muridnya ke hospital apabila mengalami gangguan kesihatan di sekolah. Tidak kurang juga, terdapat guru yang menanggung kos makanan bagi murid miskin supaya mereka dapat hadir ke kelas tambahan pada setiap petang. Ada juga guru yang mengeluarkan duit kocek untuk menanggung kos pembayaran yuran peperiksaan dan tuisyen kepada murid yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM). Secara umumnya, hanya insan berjiwa guru dapat menyantuni setiap anak muridnya ibarat anak sendiri.  Oleh itu, kasih sayang untuk murid-murid menjadi elemen paling berkesan dalam mendampingi murid itu untuk berjaya. Bak kata Sasterawan Negara Usman Awang tentang guru:

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat,

 Alur kesetiaan mengalirkan nasihat,

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat,

Seribu tahun katanya hikmat.

Oleh itu, seseorang guru perlulah sentiasa berakhlak mulia untuk melahirkan bakal pemimpin yang berakhlak mulia. Oleh itu, setiap individu perlulah menghargai belaian kasih sayang guru terhadap anak muridnya yang boleh diibaratkan sebagai titipan doa dan restu yang amat bernilai.

Dalam dunia pendidikan, murid-murid yang berkeperibadian mulia boleh dibentuk walaupun kurang pandai membaca, menulis dan mengira. Oleh itu, pemerhatian secara holistik terhadap setiap murid boleh menjadikan seseorang guru sebagai pendorong utama kemajuan murid dalam hidup. Menyingkap pengalaman saya, nada tegas dan “sebatan” guru suatu ketika dahulu berjaya menghasilkan produk yang berkualiti yakni anak bangsa yang dapat menabur bakti kepada negara. Kejayaan individu dalam sesuatu bidang seperti dunia perniagaan atau apa juga bidang sosial yang lain mungkin dilatari oleh gambaran ketegasan dan keriangan guru suatu ketika dahulu dalam isi hati mereka.

Cabaran Semasa

Negara berhadapan dengan cabaran melahirkan generasi masa depan yang dapat menempuh pelbagai pancaroba hidup. Kesan kecerdasan buatan atau artificial intelligence terhadap manusia masih belum kelihatan. Namun, kekhuatiran tentang pasaran kerja dan kelangsungan pengurusan keluarga sudah lama wujud. Nilai bersopan santun dan beradab dikhuatiri akan terpinggir. Dalam keadaan sebegini,  terdapat murid yang tidak berminat terhadap pembelajaran di sekolah. Mereka tidak mempunyai cita-cita untuk menentukan hala tuju hidupnya. Lebih-lebih lagi, persekitaran hidup yang kurang sihat menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pelajaran. Hal ini menyebabkan emosi murid tersebut terganggu. Terdapat murid yang tidak yakin untuk maju dalam pelajaran. Perkara ini menyebabkan murid tersebut kurang responsif dan tindak balas mereka terhadap pembelajaran amat terhad. Keadaan sebegini berkecenderungan untuk melibatkan mereka dalam kegiatan tidak bermoral seperti membuli rakan, mencuri, merogol dan samun. Peningkatan kadar penceraian yang menggugat institusi rumah tangga menunjukkan kelompangan dalam penyemaian nilai dan pembentukan sikap seseorang sejak kecil lagi.

Dalam konteks Malaysia, kanak-kanak terdiri daripada kanak-kanak tadika (berusia enam tahun ke bawah), kanak-kanak sekolah rendah (berusia tujuh hingga dua belas tahun) dan pelajar sekolah menengah (tiga belas hingga lapan belas tahun). Murid-murid ini terdiri dari kumpulan budaya yang pelbagai dan situasi yang berlainan. Menurut Abdul Munir Ismail dan Mohd Noor Daud (2014), terdapat beberapa faktor yang membelenggu sosialisasi kanak-kanak seperti konflik dalam rumah tangga, penceraian ibu bapa, pengurusan masa lapang yang tidak sistematik, pengaruh persekitaran, keadaan ekonomi keluarga, sikap ibu bapa yang kurang prihatin, kemewahan yang berlebihan dan situasi anak yatim. Faktor-faktor sedemikian mempengaruhi emosi dan motivasi murid-murid. Hal ini seterusnya mempengaruhi tumpuan dan penerimaan murid terhadap pembelajaran dalam kelas.  Menurut sumber berita Harian Metro pada 30 April 2019, stres dan gangguan jiwa ini mampu mewujudkan keinginan murid untuk membunuh diri. Stres ini bertambah rumit apabila murid tidak memperoleh skor pencapaian yang dapat memuaskan hati ibu bapa. Selain itu, kebejatan remaja dalam gejala sosial banyak dipengaruhi oleh faktor sama ada kurangnya kasih sayang atau kasih sayang secara berlebihan.

Guru-guru pula menghadapi kesukaran menangani masalah murid apabila kurang mendapat kerjasama daripada ibu bapa. Pernah juga ada guru yang jujur dan luhur terhadap amanah yang dipegang namun menjadi sasaran serangan pihak-pihak tertentu. Ketegasan dan keriangan merupakan antara kaedah guru dalam membentuk akhlak murid. Namun, guru-guru takut untuk menegur atau mengetahui keadaan sebenar murid kerana ancaman terhadap keselamatan diri mereka sendiri. Terdapat juga gejala guru dibuli oleh murid atau kumpulan tertentu. Gejala buli ini ditambah lagi dengan kerakusan penggunaan gajet yang mampu menjadi faktor yang boleh menghancurkan penghargaan buat kemurnian seorang guru. Kanak-kanak di “luar kawalan” seperti ini dikhuatiri akan menjadi beban kepada keluarga dan negara.

Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Pencapaian murid di sekolah dipengaruhi oleh kecerdasan mental atau perkembangan kognitif masing-masing. John Piaget mencadangkan empat elemen yang saling melengkapi, iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Skema bermaksud tingkah laku yang dikawal berdasarkan struktur mental. Kawalan struktur mental ini menyebabkan berlakunya penyerapan, iaitu proses memuatkan maklumat dalam struktur kognitif. Pemuatan maklumat ini mempengaruhi penyesuaian diri atau keseimbangan murid dengan persekitaran.  Pengalaman yang ditimba ini pula mempengaruhi keseimbangan struktur ilmu dalam mental.

Lanjutan daripada empat elemen tersebut, Jean Piaget menyebut tentang perkembangan kecerdasan kognitif yang berlaku dalam empat peringkat, iaitu sensori motor (sejak lahir hingga 2 tahun), pra-operasi (2 hingga 7 tahun), operasi teguh (7 hingga 11 tahun) dan operasi formal (11 tahun ke atas). Kanak-kanak di sekolah rendah sudah pun berada pada peringkat operasi teguh (Tahun 1 hingga Tahun 5) dan operasi formal (Tahun 6). Hal ini bermakna seseorang murid di sekolah harian biasa perlu mempunyai kecerdasan yang kukuh dan mantap. Namun, secara lumrahnya terdapat perbezaan aras kematangan dalam kalangan murid. Perkara ini memerlukan pertimbangan yang setimpal yakni, setiap murid perlu diadili dengan potensi masing-masing. Oleh itu, keprihatinan perlu diterapkan dalam jiwa dan raga seseorang guru.

Pembentukan Insan Harmoni

Setiap agama di muka bumi ini menerima hakikat bahawa kuasa tuhan melebihi segala-galanya. Dengan kuasa Tuhan, manusia dilahirkan di seluruh pelosok dunia. Walaupun mempunyai ideologi dan pegangan hidup yang berlainan namun semua bangsa harus bersatu hati dalam menjadikan seseorang manusia itu insan yang berguna. Oleh itu, falsafah pendidikan di Malaysia berhasrat untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada kuasa Tuhan.

Setiap insan haruslah berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.  Maka, peranan guru dalam membentuk sahsiah murid yang baik dan progresif menjadi satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.  Oleh itu, setiap guru diharapkan supaya dapat berkeperibadian mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menjamin pembangunan individu dan membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Dengan demikian, murid-murid akhirnya dapat didorong dengan belaian kasih sayang daripada seorang guru.

Kasih sayang merupakan salah satu elemen spiritual. Cendekiawan Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad @ Za’ba (1895-1973) mendefinisikan aspek spiritual ini sebagai pemilikan makna, tujuan dan nilai hidup melalui empat jalinan hubungan utama, iaitu hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan diri sendiri, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk alam sekitar termasuklah flora dan fauna. Berdasarkan definisi tersebut, guru penyayang yang dilengkapi dengan elemen spiritual ini boleh membentuk insan yang berjaya dalam hidup. Nilai manusiawi mereka merentasi aspek agama dan bangsa. Sesungguhnya, kasih sayang guru yang sejati dapat membentuk insan berguna demi kehidupan yang harmonis.

“Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera”

Dewasa ini, hubungan antara guru dan murid berpisah tiada. Maka, murid yang ceria dan guru yang bahagia mampu menjulang kebitaraan sekolah dan kesejahteraan negara. Keceriaan murid menjadi tunjang utama peranan guru dalam kelas dan masyarakat. Dengan itu, guru perlu menyantuni pelbagai ragam murid dalam kelas. Ada murid yang sangat cerdas, ada yang sederhana cerdas dan ada juga yang kurang cerdas. Begitu juga dari segi status sosioekonomi murid. Terdapat murid dari keluarga mewah dan terdapat juga yang berasal dari keluarga yang miskin.

Namun begitu, kecerdasan kognitif tidak mengenal taraf sosioekonomi. Murid yang miskin tidak semestinya berkecerdasan rendah dan murid berkecerdasan tinggi tidak semestinya dari keluarga yang kaya. Dalam keadaan sebegini, kecerdasan yang berbeza menghasilkan potensi dan pencapaian yang berbeza. Terdapat juga murid yang merindui kasih sayang ibu bapa kerana kehilangan salah seorang atau kedua-dua orang tuanya, seterusnya mengharapkan kasih sayang, bantuan dan perhatian daripada guru. Pada kebiasaannya, murid yang nakal atau kurang memberikan tumpuan terhadap pelajaran mempunyai masalah tekanan emosi di sebaliknya. Hanya guru yang mendalami masalah mereka dapat memahami keadaan ini. Oleh itu, guru  seharusnya sentiasa bersedia menjadi tempat murid mengadu tekanan emosi. Hubungan yang mesra dan terkawal dapat menjadi penawar kepada murid untuk bersikap positif dan menerima ketentuan Tuhan.

Sehaluan dengan pujangga sedunia seperti Thiruvalluvar dan Kongzi, Za’ba turut melihat nilai kehidupan ini terlalu tinggi kerana hidup ini bukan hanya di dunia, tetapi suatu perjalanan menuju akhirat. Spiritual atau kerohanian merupakan pelengkap kepada kejadian manusia, iaitu akal dan jasmani. Sesungguhnya, seorang guru memainkan peranan sebagai mentor, agen perubahan, pendorong dalam kelas, fasilitator, perancang, pembimbing dan pemimpin. Hal ini menggambarkan bahawa seseorang guru memikul tanggungjawab yang berat dalam membentuk keinsanan dalam diri seseorang murid khasnya murid yang mempunyai kecerdasan yang rendah. Guru perlu bijak menangani murid agar dapat menyentuh jiwa mereka untuk menjadi lebih proaktif terhadap pembelajaran. Penyemaian cita-cita dan kriteria kejayaan boleh dijadikan sebagai asas harapan dalam menentukan hala tuju masa depan mereka.

Bagi murid yang dikenal pasti dengan kecerdasan yang rendah, guru seharusnya mengambil langkah yang berhemah dan sesuai untuk menyentuh jiwa murid tersebut. Perkara ini membantu murid untuk menyemai keyakinan dalam diri. Nilai ini seterusnya mendorong murid untuk meneroka pelbagai ilmu sehingga berjaya. Keakraban persahabatan antara guru dengan murid dapat melindungi anak murid daripada terjebak dalam gejala sosial. Guru di Malaysia merupakan antara guru yang berjaya membentuk insan yang bertakwa dan berbudi pekerti mulia. Sekiranya pada awalnya anak murid tidak mengerti untuk membaca, namun berkat suntikan semangat dan keyakinan daripada guru, seseorang murid diharapkan dapat menggenggam skrol ijazah dan menjadi seorang insan yang penuh bertanggungjawab pada keluarga, bangsa dan negara. Ternyata, guru pasti berasa bahagia apabila anak muridnya dapat mengikuti pengajaran dengan berkesan dan lebih bersyukur apabila melihat anak didiknya berjaya dalam lapangan institusi kekeluargaan dan pekerjaan.

Kasih sayang daripada guru dapat mengeluarkan seseorang daripada stres dan tanggapan negatif terhadap diri sendiri. Ada murid yang memperoleh markah rendah menganggap dirinya “kandas”, namun kasih sayang dan tunjuk ajar guru dapat menyuntik semangat murid untuk terus mencuba. Di samping itu, murid wajar diberikan panduan untuk melihat perkembangan kejayaan dari semasa ke semasa. Model kawalan kualiti pembelajaran yang sesuai perlu digunakan oleh murid untuk mengukur perkembangannya. Instrumen ini boleh disesuaikan dengan trend penaksiran semasa.

Seseorang guru yang penuh dedikasi dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipegang diumpamakan sebagai pelita yang menyala demi masa depan murid yang lebih cerah. Guru perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah tinggi kerana bukan setakat perlu patuh kepada pemerintah negara malah terikat dengan keadilan sejagat yang diadili tuhan. Oleh itu, guru perlulah sentiasa menilai perkembangan emosi dan perlakuannya secara kendiri. Hak murid untuk menerima ilmu perlu ditunaikan melalui sistem penyampaian yang sesuai. Ibu bapa pula perlu memahami niat murni seseorang guru lantas sentiasa menghargai jasanya dalam membentuk anak sebagai pewaris masa depan negara yang berguna. Ibu bapa dan guru perlulah saling menghargai dan menghormati. Dengan itu, kasih sayang guru dapat terus diangkat umpama titipan restu dari tuha,  sekali gus dapat mengikis usaha sesetengah oportunis yang kurang berhemah daripada memporak-perandakan keamanan dan ketenangan jiwa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.