Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTEKNOLOGI melakarkan kemajuan berterusan yang membawa kepada inovasi demi inovasi dengan perubahan kehidupan manusia ke arah yang lebih baik. Sejak sistem komputer diperkenalkan lebih empat dekad lalu, bidang teknologi dunia terus mengalami perubahan yang drastik.
Begitu juga di Malaysia, dari segi penggunaan teknologi maklumat (IT) yang kemudiannya dilabelkan sebagai teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), iaitu selepas Malaysia memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Perubahan berlaku daripada analog kepada digital yang menyaksikan kehidupan setiap rakyat turut mengalami perubahan.
Setiap rakyat tidak terlepas daripada menikmati impak perubahan yang disajikan oleh siri inovasi. Cuma bentuk dan rupa inovasi itu berbeza dari semasa ke semasa. Pada pertengahan 1990-an kita hanya bercakap mengenai Internet dan gerbang IT. Kemudian kita didedahkan kepada terma TMK dan digital, dalam skala yang lebih luas dan mendalam kegunaannya. Begitu juga dengan panggilan kepada nama kementerian turut berubah. Di Malaysia, Kementerian Penerangan berubah menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan pada Disember lalu pula Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan Kementerian Digital, dengan harapan dapat lebih memperluaskan penggunaan, pengenalan dan penerimaan teknologi digital agar negara dan rakyat tidak ketinggalan jauh.
Kesemua itu menunjukkan bahawa inovasi demi inovasi menghidangkan kita dengan pelbagai kemudahan dan teknologi mutakhir yang menyediakan wadah untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Teknologi hanya merupakan satu wadah atau alat yang memudahkan cara dan kelangsungan kehidupan seharian manusia. Sebagai anggota masyarakat kita perlu melengkapkan diri kita dengan segala skil yang diperlukan untuk menikmati manfaat kemajuan teknologi terutama TMK secara maksima dan optimum.
Pada hari ini, satu daripada soalan yang sering ditanya ialah apakah perbezaan antara TMK dengan digital. Walaupun kedua-dua istilah tersebut membawa maksud yang sama, tetap mempunyai beberapa perbezaan. Kadangkala kedua-duanya digunakan secara bergantian. Dalam pengertian yang luas TMK dan digital memerlukan akan menawarkan impak dan nilai maksimum kepada syarikat atau tempat kerja. Terdapat tulisan yang mengatakan bahawa kita perlu melihat TMK sebagai “rumah” manakala digital sebagai “cara kehidupan di dalamnya”. Era Digital dicirikan oleh teknologi yang meningkatkan kelajuan dan keluasan perolehan pengetahuan dalam ekonomi dan masyarakat. Teori Determinisme Teknologi, Teori Evolusi dan beberapa yang lain, termasuk Teori Komunikasi menjelaskan tentang pembangunan teknologi dan penerima oleh pengguna dalam menjamin kelangsungan hidup.
Pada hari ini, impak persekitaran, sistem dan produk digital melibatkan setiap individu, proses dan aktiviti seharian. Hal ini termasuklah bidang pendidikan. Sehubungan dengan itu, setiap daripada kita perlu mempersiapkan diri untuk mendalami kemajuan yang disajikan oleh dunia digital supaya kita tidak ketinggalan. Susulan kepada siri pendekatan, dasar dan program yang telah diambil sejak MSC diperkenalkan pada Februari 1996, Dasar Pendidikan Digital (DPD) telah dilancarkan pada 28 November lalu dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan pendidikan digital negara berkait rapat dengan perkembangan teknologi digital pada peringkat global dan nasional. Hal ini memberikan cabaran baharu kepada sektor pendidikan untuk melakukan perubahan seiring dengan transformasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan kemajuan landskap pendidikan negara.
Dalam hal ini, menurut YB Fadhlina, DPD bermatlamat untuk melahirkan murid celik digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Dasar ini dibangunkan secara bersepadu dan secara menyeluruh, meliputi aspek pendidik dan pemimpin pendidikan, penyediaan infostruktur dan infrastruktur, kandungan yang berkualiti, dan penyertaan aktif rakan strategik. Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), DPD dilancarkan bagi memenuhi harapan kerajaan dalam melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing membabitkan pendidik dan murid.
DPD menggariskan empat objektif yang mencakupi usaha Kementerian Pendidikan untuk membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital serta mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.
KPM meletakkan sasaran DPD dapat memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital selain berupaya mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital. Dalam dasar yang sama, KPM turut menggariskan enam teras, iaitu murid fasih digital; pendidik kompeten digital; budaya kepemimpinan digital berwawasan; pengupayaan infrastruktur dan infostruktur; kandungan digital berkualiti; serta rakan strategik yang komited.
Dalam ucapan pelancaran DPD, YB Fadhlina juga menekankan bahawa pihaknya yakin menerusi teras strategik berkenaan, murid berupaya mengguna pakai teknologi digital untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi dan transformasi digital di sekolah, rumah atau di mana sahaja. Menteri Pendidikan menyedari masih terdapat jurang digital antara murid di kawasan bandar dengan di luar bandar. Untuk memastikan keseluruhan dasar ini berjalan dengan lancar, beliau berkata pihaknya perlu mengupayakan infostruktur dan infrastruktur dengan terus berusaha dalam meningkatkan keupayaan rangkaian Internet dan infrastruktur digital yang menjadi kunci untuk memastikan akses yang pantas dan canggih kepada teknologi digital.
Tambah beliau, infostruktur dan infrastruktur yang kukuh umpama jantung yang memacu sumber dan teknologi ke seluruh organisasi pendidikan termasuk menjadi asas kepada pembelajaran dan kemajuan dalam menyampaikan pendidikan berkualiti.
Bagi mengurangkan jurang akses sumber pembelajaran murid terutama di kawasan luar bandar dan di pedalaman, Kementerian Pendidikan memperkasakan sebanyak 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan untuk inisiatif pendidikan digital
Tambah YB Fadhlina, kesemua pusat itu dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). KPM, menurut beliau, sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah bilik darjah.
PdP secara silang dapat dilaksanakan antara kelas dengan sekolah yang meliputi di dalam dan juga luar negara. Pendekatan ini dapat mewujudkan PdP yang membudayakan teknologi secara imersif. Kesemua inisiatif ini dapat menambah baik ekosistem pendidikan digital secara berterusan.
Ternyata KPM mahu memastikan kesemua guru seluruh negara lebih kompeten dalam menggunakan teknologi digital. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan dilaporkan berkata, hal ini selaras matlamat utama dalam melahirkan lebih banyak murid fasih digital yang mahir menggunakan teknologi itu dalam mempertingkatkan disiplin ilmu yang telah dipelajari dalam bilik darjah.
Matlamat kita adalah untuk melahirkan anak fasih digital menerusi DPD agar mereka berupaya untuk meneroka, melaksanakan, menggunakan teknologi digital untuk mempertingkatkan disiplin ilmu yang dipelajari dalam bilik darjah,” kata beliau dan menambah, “… kerana itu, kita akan memastikan guru kita mesti kompeten dalam menggunakan teknologi digital dan memanfaatkan semua pendekatan digital yang ada bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran.
Sementara itu Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM, Zainal Abas memaklumkan bahawa lebih daripada 300,844 guru di seluruh negara telah disaring dan dikategorikan dengan tahap kompetensi digital serta pengetahuan terhadap DPD. Daripada jumlah itu, 65,092 guru atau 22 peratus berada pada tahap penguasaan asas, 230,785 (76 peratus) di tahap pertengahan dan 5,967 (dua peratus) pada tahap lanjutan.
“Pengesanan saringan tahap kompetensi digital guru masih berjalan dan dijangka selesai pada akhir Disember 2023. Kementerian sedang mengusahakan untuk melengkapkan golongan guru dengan kemahiran dan penggunaan teknologi digital dalam membantu proses PdP. Antara elemen yang ditekankan dalam teknologi pendidikan termasuklah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan menerusi pelantar DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) bagi memudahkan guru mencari dan mendapatkan bahan pengajaran bagi tujuan PdP dalam bilik darjah,” kata beliau.
Hari Guru pada hari ini, iaitu 16 Mei antara lain bertujuan untuk menghargai pendidik yang berperanan besar dalam pembinaan kebangsaan sebagaimana digariskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bertitik tolak daripada keperluan dan harapan itu, KPM telah memilih “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara MADANI” sebagai tema sambutan Hari Guru 2024, yang diumumkan 9 Mac lalu.
Sebagai komponen penting dalam PdP, guru perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu untuk disalurkan kepada anak murid mereka supaya proses itu membawa impak yang mendalam. Hal ini sekali gus dapat mencapai Dasar Pendidikan Kebangsaan dan visi KPM.
Satu daripada komponen asas agenda pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 ialah pendidikan berkualiti, yang bertujuan bagi memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama untuk semua. Teknologi digital telah muncul sebagai alat penting untuk mencapai matlamat tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi digital ini telah membuat anjakan paradigma dalam keseluruhan sistem pendidikan. Hal ini bukan sahaja penyedia pengetahuan tetapi juga pencipta bersama maklumat, mentor dan penilai. Peningkatan teknologi dalam pendidikan telah memudahkan kehidupan pelajar. Justeru itu, guru dan pendidik perlu merealisasikan semangat tema Hari Guru 2024.
Memperkenalkan teknologi ke dalam bilik darjah merupakan satu usaha yang mencabar walaupun terdapat minat dan pelaburan, teknologi selalunya tidak dapat digunakan secara produktif di sekolah pada skala yang lebih besar. Batasan sedemikian menjadi sangat penting dalam realiti hari ini di mana lebih banyak amalan pembelajaran jarak jauh dan gabungan digalakkan di sekolah. Di sini terletak peranan dan tugas setiap guru. Tema sambutan tahun ini menggambarkan keperluan pengisian itu.
Kita sedia maklum bahawa peranan guru pada abad ke-21 telah menjadi lebih kompleks dalam dunia yang berubah-ubah pada masa kini dan di sini pengetahuan hampir tidak terhad. Guru pada hari ini dikehendaki menjadi fasilitator yang membantu pelajar membuat pertimbangan tentang kualiti dan kesahihan sumber dan pengetahuan baharu, menjadi profesional bebas yang berfikiran terbuka dan kritis, dan pengantara antara pelajar dengan perkara yang perlu mereka ketahui.
Dalam era digital ini, peranan guru telah beralih daripada sekadar pendidik kepada pengurus tingkah laku sosial dan emosi pelajar; mentor untuk pembelajaran murid dan pembangunan keseluruhan sebagai warganegara yang seimbang; motivator untuk pelajar lambat (pemahaman) dan pelajar cepat dalam persekitaran digital.
Dunia semakin rumit, berdaya saing dan saling berkait. Untuk membolehkan individu terus hidup dan berkembang maju dalam era globalisasi dan pendigitalan, setiap individu terutama guru wajar melengkapkan dengan kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran kreatif dan celik maklumat. Pengajaran konvensional tidak mampu mendidik warganegara yang mencukupi untuk hidup pada abad ke-21. Oleh itu, guru perlu mengembangkan kemahiran dan pengetahuannya secara berterusan kerana perubahan yang berterusan amat penting dalam setiap aspek kehidupan.
Seiring dengan tema Hari Guru 2024, guru mempunyai tugas, peranan dan tanggungjawab yang amat besar dalam menerokai dan menguasai ilmu, kemahiran dan pengetahuan berkaitan dengan digital, supaya aset itu diterjemahkan dalam proses PdP.
Kini, kita berada di ambang terkini kemajuan teknologi dan pelbagai inovasi semasa. Guru kekal menjadi obor pembawa sinar dan sinaran dalam kehidupan setiap insan. Sebagaimana yang diharapkan oleh KPM dan juga Menteri Pendidikan, yang dizahirkan dengan pelancaran DPD, penguasaan kemahiran digital menjadi satu keperluan yang amat penting pada alaf ini, yang tidak boleh dinafikan dan dielakkan lagi, dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Pada masa yang sama, setiap pemegang taruh dalam bidang pendidikan perlu memainkan tanggungjawab masing-masing untuk melihat impak yang lebih gah.
Selamat Hari Guru!