Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMengapakah kita menghantar anak-anak ke sekolah? Soalan yang kedengarannya ringkas, namun agak sukar untuk kita memberikan jawapan yang meyakinkan. Setiap ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak pastinya mempunyai alasan yang terbaik untuk menjawab persoalan ini. Atau kita tidak pernah terfikir, adakah perlu untuk kita memberikan jawapan kepada soalan seumpama ini?
Secara tradisinya, setiap ibu bapa atau penjaga akan menghantar anak ke sekolah apabila mereka telah mencapai usia yang sepatutnya untuk mereka bersekolah untuk mendapat pendidikan secara sistematik. Jika begitu alasannya kita menghantar anak ke sekolah, bermakna kita hanya bermatlamat untuk melengkapkan “kebiasaan” bagi setiap ibu bapa penjaga sebelum ini, iaitu hanya menghantar anak ke sekolah kerana beranggapan sekolah sebagai tempat untuk mereka membesar, berkawan dan mendapat ilmu yang sepatutnya.
Hasilnya kita akan dapat melihat sekumpulan ibu bapa dan penjaga yang hanya mengharapkan sekolah akan memberikan ruang dan peluang kepada anak mereka untuk mendapatkan apa-apa yang diharapkan tadi, iaitu ruang untuk berkawan, mengisi ruang masa dengan pelbagai aktiviti dan mendapat ilmu pengetahuan yang sesuai untuk dipadankan dengan matlamat kerjaya anak-anak pada masa hadapan. Matlamat akhirnya diharapkan supaya anak-anak tersebut mampu membina kerjaya yang mampu menghasilkan pendapatan yang banyak ataupun bergaji besar, sehingga mereka terlupa tentang kepentingan penerapan nilai sebenar kepada anak-anak tersebut.
Senario ini merupakan realiti yang perlu kita hadapi sebelum dan pada waktu ini kerana didapati telah memberikan kesan terhadap pembentukan nilai akhlak dan peradaban ilmu yang sepatutnya. Hal ini dikatakan demikian kerana matlamat utama pendidikan kelihatan terarah semata-mata untuk bergaji besar, berpendapatan tinggi dan kaya sahaja sehingga mengabaikan penerapan nilai kemanusiaan. Proses ini sebenarnya hanya menghasilkan manusia yang kosong jiwa raganya, iaitu kumpulan manusia yang mungkin hebat keputusan akademiknya, namun gagal mengurus akhlak dan budi bahasa yang sewajarnya.
Sekolah sebagai sebuah institusi masyarakat yang berperanan untuk melahirkan insan yang padat dengan nilai kemanusiaannya sentiasa tercabar dengan keadaan yang membimbangkan. Pada hari ini, sering kali kita didedahkan dengan isu keruntuhan nilai dalam kalangan masyarakat. Peningkatan kes jenayah kolar putih dalam kalangan penjawat awam umpamanya amat membimbangkan. Kecurangan intelek dan keruntuhan akhlak dalam kalangan ilmuwan serta cerdik pandai telah berlaku saban waktu dan amat mendukacitakan.
Jika sebelum ini masyarakat sering mengaitkan aktiviti salah laku dan jenayah itu dengan golongan yang tidak berpelajaran, namun pada hari ini golongan yang sukses akademiknya juga merupakan golongan terbanyak yang terlibat dalam salah laku jenayah. Di manakah silapnya? Perlukah kita merasa bimbang tentang hal ini?
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan daripada Menteri Pendidikan,YB Fadhlina Sidek sebelum ini dengan tegas mengambil maklum tentang perkara ini. Sebagai langkah utama, perkara yang dicadangkan ialah menerusi penerapan nilai MADANI yang telah digagaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada awal tempoh pentadbiran beliau. Nilai MADANI yang memberikan penekanan terhadap pembangunan manusia secara holistik bagi melahirkan insan yang padat dengan nilai kemanusiaan ini dilihat sebagai formula yang tepat untuk membina kembali masyarakat Malaysia yang sepatutnya kita miliki, yakni melalui proses pendidikan di sekolah.
Hubungan antara sekolah dengan masyarakat merupakan jalinan intim yang terbina atas satu matlamat yang sama. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut seakan-akan telah retak dan timbul perasaan saling mencurigai di antara satu sama lain. Setiap isu yang berlaku di sekolah kebiasaannya akan menjadi medan untuk masyarakat dan sekolah saling menuding jari untuk meletakkan kesalahan tersebut pada pihak yang pada akhirnya akan berulang dan tidak mampu diselesaikan dengan baik.
Mengambil contoh isu buli di sekolah yang berlaku saban tahun terutamanya di sekolah berasrama. Kes seumpama ini sepatutnya dapat dibendung lebih awal jika setiap individu yang terlibat diberikan peluang yang sewajarnya untuk menyatakan masalah masing-masing. Setiap pihak termasuklah ibu bapa penjaga dan masyarakat serta pihak sekolah perlu berperanan untuk memberikan ruang bicara dan penyelesaian terhadap isu yang berlaku dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini, jalinan kemesraan hubungan antara sekolah dengan masyarakat merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu yang berkaitan dengan pelajar dan sekolah serta masyarakat.
Sekolah mempunyai peranan yang besar untuk membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dalam semua aspek kehidupan yang bukan sahaja sepanjang tempoh persekolahan, malah setelah menjadi ahli masyarakat, sekali gus mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Antara cara terbaik untuk membina hubungan antara sekolah dengan masyarakat pada waktu ini semestinya melalui nilai MADANi yang mula diterapkan dalam segenap lapisan masyarakat. Konsep MADANI yang telah diperkenalkan oleh kerajaan kini seharusnya dihayati oleh setiap ahli masyarakat untuk membina semula sebuah masyarakat yang saling menghormati, bekerjasama dan berpendidikan.
Definisi madani yang terkait dengan proses pembinaan sebuah tamadun manusia yang gemilang harus difahami dengan jelas oleh semua pihak. Nilai MADANI boleh menjadi jambatan yang menghubungkan dua entiti penting dalam proses pembentukan negara, iaitu sekolah dan masyarakat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah dan masyarakat mempunyai peranan masing-masing dalam proses melahirkan ahli masyarakat yang dihormati bukan sahaja dengan kecemerlangan akademiknya, malah turut cemerlang dari segi sahsiah dan budi bahasanya.
Akhirnya kita bertanya kembali kepada diri masing-masing, apakah tujuan asal kita menghantar anak-anak kita ke sekolah? Adakah hanya untuk memenuhi cita-cita kita agar mereka menjadi seseorang yang “kaya” harta benda dari sudut materialnya atau kita mahukan anak-anak tersebut bergelar “hartawan” dari segi akhlaknya? Semuanya akan terjawab dengan tindakan kita pada hari ini. Sebagai ahli masyarakat, kita perlu sentiasa peka terhadap pendidikan anak-anak di sekolah dan juga di luar sekolah. Manakala pihak sekolah pula berperanan mengaplikasikan setiap bentuk dan sistem yang telah dirancang untuk melahirkan ahli masyarakat yang terbaik melalui proses persekolahan.
Ibu bapa dan penjaga serta ahli masyarakat dan pihak sekolah perlu sentiasa melangkah seiring dan sejalan dalam menentukan hala tuju anak-anak kita. Tanggungjawab mendidik tidak hanya berada di bahu guru-guru dan sekolah, malah ibu bapa dan penjaga serta ahli masyarakat keseluruhannya juga mempunyai peranan masing-masing. Oleh itu, jalinkanlah hubungan antara semua entiti ini dengan “jambatan” nilai MADANI yang dicadangkan agar pada masa hadapan kita mempunyai generasi yang bijak dari segi ilmu dan tinggi budi pekertinya.
Penulis, Pensyarah Kanan di Kolej Ekonomi Tenaga dan Sains Sosial, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya.