Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sukan Komanwel 2026 bakal dilangsungkan dalam skala yang kecil pada edisi kali ini. Temasya sukan yang dianggotai oleh negara-negara Komanwel atau negara bekas jajahan British kali ke-23 ini akan dilangsungkan di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos. Sebanyak 74 buah negara mengesahkan akan menyertai temasya sukan ini dengan hanya 3,000 orang atlet yang akan menyertai 10 acara sukan, termasuklah enam acara sukan para.

Glasgow akan menganjurkan Sukan Komanwel ini buat kali kedua setelah menganjurkannya pada tahun 2014. Sukan Komanwel 2026 juga bakal menjadi Sukan Komanwel pertama yang dianjurkan selepas kemangkatan Queen Elizabeth pada tahun 2022 dan pertama kali dianjurkan di bawah Ketua Komanwel yang baharu, King Charles III.

Pemilihan Glasgow sebagai tuan rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Sukan Komanwel sendiri juga dilihat hampir terkubur setelah penarikan diri tuan rumah asal bagi edisi 2026. Sebelum ini, wilayah Victoria, Australia telah dipilih oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

Namun begitu, pada 18 Julai 2023, Victoria terpaksa menarik diri daripada menjadi tuan rumah sukan itu disebabkan masalah kewangan. Sejarah penarikan diri tuan rumah ini bukanlah yang pertama apabila Durban, Afrika Selatan pernah menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 disebabkan oleh masalah yang sama sebelum Birmingham, England menawarkan diri sebagai pengganti.

Situasi ini bagaimanapun tidak sama seperti yang berlaku untuk Sukan Komanwel 2022 apabila CGF kesuntukan masa untuk memilih tuan rumah baharu dengan baki hanya tiga tahun sahaja lagi. Durban menarik diri pada tahun 2017 dengan memberikan masa yang panjang kepada CGF untuk menawarkan penganjuran kepada negara lain untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2022.

Oleh itu, CGF cuba menawarkan hak tuan rumah Sukan Komanwel 2026 kepada beberapa buah negara untuk menjadi tuan rumah termasuklah Malaysia. Pada 11 Mac 2024, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melaporkan bahawa mereka ditawarkan oleh CGF untuk menjadi tuan rumah edisi 2026 dengan bantuan sumbangan kewangan sebanyak £100 juta. Namun begitu, kerajaan menolak pelawaan tersebut dengan alasan bahawa jumlah bantuan yang diberikan oleh pihak CGF tidak mencukupi untuk menganjurkan sukan bertaraf dunia itu. Pada masa yang sama, Malaysia juga dalam persediaan untuk menganjurkan Sukan SEA yang bakal dianjurkan pada tahun 2027.

Selain Malaysia, Singapura dan Ghana turut menyatakan minat untuk menganjurkan temasya sukan tersebut sebelum masing-masing menarik diri kerana mengambil kira dari sudut kemampuan kewangan.

Selepas itu, akhirnya Scotland mula menawarkan diri untuk menganjurkan temasya itu. Pada 17 September 2024, kerajaan Scotland telah mengumumkan bahawa mereka bersetuju untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria dan Glasgow dipilih sebagai tuan rumah kali ini dalam skala yang lebih kecil.

Senarai 10 sukan yang akan dipertandingkan dalam edisi 2026 ialah bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, olahraga, boling padang, tinju, lumba basikal, judo, bola jaring, renang dan angkat berat. Tidak seperti sukan antarabangsa yang lain seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA, acara Sukan Komanwel kali ini turut digabungkan dengan sukan para berbanding dengan temasya sukan lain seperti Sukan Paralimpik, Sukan Asia Para dan Sukan SEA Para. Enam sukan para yang akan dipertandingkan pula ialah bola keranjang 3×3 berkerusi roda, para olahraga, para boling padang, para lumba basikal trek, para renang dan para angkat berat. Jumlah kutipan pingat akan menggabungkan sukan normal dan juga sukan para.

Kontinjen Malaysia menghantar sebanyak 59 orang atlet untuk menyertai lapan acara sukan termasuk enam acara sukan para, iaitu bola keranjang 3 x 3, gimnastik artistik, olahraga, boling padang, judo, renang, lumba basikal trek dan angkat berat. Jaguh lumba jauh Paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam majlis perasmian Sukan Komanwel kali ini.

Pihak MOM tidak meletakkan sebarang jumlah pungutan pingat untuk edisi kali ini kerana jumlah penyertaan yang kecil. Pada edisi 2022, kontinjen Malaysia telah berjaya menduduki tempat kesepuluh daripada jumlah keseluruhan kontinjen yang bertanding dengan membawa pulang tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Sukan Komanwel 2010 di India menjadi edisi paling cemerlang bagi Malaysia apabila berjaya mengutip sebanyak 12 pingat emas, 10 pingat perak dan 13 pingat gangsa, sekaligus mengatasi pencapaian ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 1998.

Pihak CGF berharap Sukan Komanwel akan terus kekal relevan untuk tahun akan datang. Jika suatu ketika dahulu, Sukan Komanwel pernah diiktiraf sebagai sukan kedua terbesar di dunia. Namun kini, setiap kontinjen lebih tertumpu kepada temasya sukan benua seperti Sukan Asia yang lebih berprestij serta menawarkan kelayakan terus ke Sukan Olimpik. Sukan Komanwel kini hanya kekal sebagai sukan persahabatan bagi mengeratkan hubungan semua negara jajahan British, lebih-lebih lagi kini diadakan dalam skala yang lebih kecil dan dilihat semakin hambar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi